Sunday, January 15, 2012

Prosiding rayuan didengar lima hakim

Oleh NORLIZAH ABAS utusanputrajaya@utusan.com.my PUTRAJAYA 14 Jan. - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria mengumumkan mulai bulan ini prosiding rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah di Mahkamah Persekutuan tidak lagi didengar oleh panel tiga hakim, sebaliknya akan didengar oleh panel lima hakim bersidang. Dalam perkembangan baru itu, beliau turut memberitahu bahawa semua permohonan kebenaran merayu di mahkamah tertinggi negara bagi kes-kes sivil juga akan didengar oleh panel lima hakim bermula Mac ini. "Langkah itu diambil bertujuan memperbaharui dan meningkatkan kualiti keputusan dan penghakiman kes-kes jenayah dan sivil," ujar Arifin ketika berucap merasmikan pembukaan Tahun Perundangan 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Selain Arifin, terdapat 10 lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang mengikut giliran. Mereka termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Shariff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum. Dalam ucapannya, Ketua Hakim Negara turut mengumumkan prestasi pencapaian badan kehakiman tahun lalu bagi pelupusan rayuan ekoran penambahan jumlah panel hakim bersidang secara harian dan bulanan. Arifin berkata, walaupun pendaftaran bagi permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan meningkat sebanyak 21 peratus, 527 permohonan dilupuskan bagi tahun lalu berbanding 437 permohonan bagi tahun sebelumnya. Menurut beliau, meskipun pendaftaran rayuan sivil turut meningkat melebihi 100 peratus, sebanyak 55 peratus daripada rayuan yang difailkan pada tahun lalu berjaya dilupuskan. Ketua Hakim Negara berkata, sebanyak 235 rayuan jenayah di Mahkamah Persekutuan berjaya dilupuskan tahun lalu berbanding 186 kes pada 2010. Katanya, Mahkamah Rayuan turut melaksanakan beberapa langkah bagi mempercepatkan kes-kes tertunggak termasuk mengkelaskan kes-kes kepada kategori tertentu. Beliau menjelaskan, kategori itu ialah kes-kes interlokutori, rayuan jenayah melibatkan hukuman bunuh dan rayuan jenayah melibatkan penjawat awam yang mana jumlah panel bersidang akan ditambah. Jelasnya, inisiatif yang diambil membuahkan hasil apabila sejumlah 8,064 rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan berbanding 5,935 kes bagi tahun sebelumnya.

Wednesday, October 5, 2011

Salah tanggapan mengenai kedudukan Islam punca Malaysia dianggap negara sekular

2011/10/06 AHLI jawatankuasa Majlis Peguam, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir mungkin perlu menjelaskan lebih lanjut dan menunjukkan di mana perkataan sekular yang terkandung dalam Perlembagaan negara bagi menguatkan hujah beliau bahawa struktur asas Perlembagaan Persekutuan berdasarkan sekularisme dan bukan teokrasi (sistem kerajaan yang menggunakan hukum agama sebagai dasar pemerintahan negara) yang tersiar dalam akhbar baru-baru ini. Bersandarkan pendapat bahawa struktur asas Perlembagaan Persekutuan berdasarkan sekularisme, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda untuk membolehkan pelaksanaan hukum hudud walaupun ada cadangan meminda Perlembagaan dan diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga. Jika begitu, bagaimana pula kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan – Islam is the religion of Fede-ration – dan di mana perkataan demokrasi, sekular atau agama rasmi jika benar wujud dalam Perlembagaan, kata Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja ‘10 Salah Tanggapan Mengenai Kedudukan Islam di Malaysia’ pada Muzakarah Pakar Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam di Malaysia anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia, baru-baru ini. Beliau berkata, apa yang berlaku sejak dulu hingga kini ialah prinsip ajaran Islam tidak diberi perhatian sewajarnya dalam penggubalan dasar ekonomi, pendidikan, sosial, budaya serta dasar lain digubal kerana alasannya, kita masyarakat majmuk. Oleh sebab itulah berlaku salah tanggapan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hingga sering dirujuk sebagai agama rasmi menyebabkan Malaysia disifatkan negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama rasmi. Salah tanggap Islam negara sekular berpunca daripada hakikat Perlembagaan negara dirintis suruhanjaya diketuai Lord Reid. Namun, tidak ramai menyedari fungsi dan peranan suruhanjaya ini hanya menyediakan laporan ke arah penggubalan Perlembagaan. Daripada cadangan dikemukakan dalam memorandum Perikatan berkaitan agama negara, hanya dua perkara diterima dan dipersetujui untuk dimasukkan dalam Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan tanpa menafikan hak penganut agama lain mengamalkan agama mereka. Bagaimanapun, prinsip tidak menafikan ciri sekular negara ini tidak dimasukkan dalam mana-mana bahagian dalam Perlembagaan. Justeru, rakyat Malaysia wajib menerima hakikat tiada sepatah pun perkataan sekular wujud dalam Perlembagaan. Jadi, kenapa Malaysia masih dianggap negara sekular? Ada pihak cuba memberikan hujah mengelirukan dengan mengemukakan hujah kes Che Omar Che Soh yang sering digunakan pengamal dan pelajar undang-undang kononnya Tun Salleh Abas pernah memutuskan Malaysia ialah negara sekular. Cerita ini amat mengelirukan kerana Salleh hanya mengatakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa adalah undang-undang sekular, bukannya negara ini negara sekular. Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sudah memberikan tafsiran lebih meluas kepada Islam iaitu satu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam. Jelaslah mahkamah tertinggi negara telah menggubal tafsiran Islam yang diberikan Tun Salleh dalam kes Che Omar kepada tafsiran yang luas. Hairannya, kenapa umat Islam masih mahu berpegang kepada tafsiran sempit itu. Dalam isu ini, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat, apa pun tanggapan kita terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan hari ini, satu yang jelas ialah Malaysia bukan negara sekular. Katanya, dari segi konsepnya adalah ganjil mengatakan negara ini sekular sedangkan pada masa sama, ada peruntukan mengenai agama dalam Perlembagaan. “Negara sekular yang sebenar tidak mengizinkan negara turut serta dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan agama,” katanya. Titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, supaya tafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia amat penting diingatkan semula, manakala semua persetujuan yang sudah dicapai harus dihormati, perlu diberi perhatian. Begitu juga penegasan baginda ketika bertitah pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia bahawa prinsip asas, terutama yang menyentuh Islam dan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan negara tidak boleh dikompromikan sama sekali. Menurut baginda, Islam akan terhakis apabila tanggungjawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas kerana Islam kini mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara prinsip yang menyentuh aqidah. Melihat kepada senario yang berlaku, usaha memperbetulkan salah tanggapan terhadap kedudukan Islam perlu dilakukan dan menjadi kewajipan pemerintah memelihara Islam sebagai agama negara dan menjadikan negara ini negara Islam yang sebenarnya. Caranya ialah melalui transformasi sistem pengurusan Islam dalam semua aspek iaitu pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan sosial yang dibentuk peraturannya berasaskan syariat Islam seperti Piagam Madinah yang digubal Rasulullah SAW untuk membentuk sebuah negara menempatkan penduduk berbilang bangsa serta kaum. Prinsip Piagam Madinah yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah memelihara kesatuan ummah dan kedaulatan negara, dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warga negara, menegakkan keadilan sosial, kebebasan beragama dan tanggungjawab terhadap bukan Islam. Hanya apabila sistem pentadbiran negara diuruskan berasaskan kepada ajaran Islam, barulah perkara lain bersangkutan keperluan serta tuntutan semasa dapat dilaksanakan termasuk pelaksanaan hukum hudud atau undang-undang Islam. Hukum hudud bukan tidak boleh dilaksanakan kerana salah tanggapan bahawa Malaysia bukan negara Islam tetapi hukum itu tidak mampu dilaksanakan selagi sistem pentadbiran serta pengurusan negara tidak benar-benar mengikut syariat Islam.

Monday, October 3, 2011

Dewan Rakyat lulus usul tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung pilihan raya

2011/10/03 KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung penambahbaikan proses pilihan raya tanpa sebarang bantahan. Usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pagi tadi dipersetujui sebulat suara meskipun ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya kerajaan memberi jaminan tidak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dalam tempoh pelantikan jawatankuasa itu selama enam bulan. Beberapa ahli Parlimen pembangkang, termasuk Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) yang membangkitkan perkara itu menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu sebagai gimik kerajaan semata-mata. "Bila beri tempoh enam bulan untuk Jawatankuasa Pilihan Khas ini berbincang dan melaksanakan tanggungjawab, kita minta jaminan bahawa tidak ada pilihan raya dipanggil dalam tempoh itu kerana ini kehendak Perdana Menteri sendiri untuk mengadakan transformasi. "Memang kita tidak nafikan hak Perdana Menteri untuk memanggil pilihan raya tetapi adakah hak itu sesuatu yang tidak boleh berubah?" soal Salahuddin ketika membahaskan usul itu. Menjawab persoalan itu, Mohamed Nazri ketika menggulung usul itu menegaskan Jawatankuasa Pilihan Khas itu bukan jaminan pilihan raya tidak diadakan kerana kuasa untuk memanggil pilihan raya terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri. "PRU-13 bukan pilihan raya yang terakhir bagi Malaysia (dan) selepas itu dunia kiamat. Kalau pilihan raya cepat, kita akan laksanakan (cadangan Jawatankuasa) dalam PRU-14, 15, 16...," kata Mohamed Nazri. Menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) mengenai penggunaan dakwat kekal, Mohamed Nazri berkata perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan untuk menilainya. Mohamed Nazri berkata, pada pilihan raya lalu kita tak dapat laksanakan penggunaan dakwat kekal itu pada saat akhir atas kekangan membabitkan Perlembagaan. "Antaranya soal kedudukan pengundi. Kalau mengikut Perlembagaan jika seseorang pengundi sudah mendaftar sebagai pengundi, dia ada hak untuk mengundi. Tetapi jika tiba hari pengundian, ada pengundi yang membuat bantahan kerana tidak mahu dicalit (dakwat), jadi bagaimana kedudukan dia sebagai pengundi? "Itu antara masalah yang kita jangka boleh berlaku. Pada masa itu kita sememangnya tak ada jawapan yang boleh diberikan, sebab itu pada saat akhir kita tarik balik. Tapi sekarang kita sudah ada penemuan dan kita serahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dinilai bagi dilaksanakan pada PRU akan datang," katanya. Berhubung tempoh pelantikan jawatankuasa selama enam bulan, Mohamed Nazri berkata, ia satu tempoh munasabah dan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyegerakan transformasi dalam pelaksanaan sistem pilihan raya di negara ini. Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bertanggungjawab untuk mengkaji perkara yang akan memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan pada pilihan raya akan datang. Jawatankuasa itu terdiri daripada sembilan ahli Dewan Rakyat, iaitu lima ahli daripada Barisan Nasional (BN) (termasuk seorang menteri sebagai Pengerusi), tiga ahli daripada pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas. Menerusi penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu, pihak yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya di negara ini melalui wakil mereka di Parlimen turut berpeluang memberi pendapat dan mengkaji secara mendalam sistem pilihan raya yang difikirkan lebih baik bagi mendukung dan mengukuhkan lagi demokrasi di negara ini. - BERNAMA

Monday, September 26, 2011

Mahkamah Rayuan ketepikan keputusan membebaskan lima lelaki

Berita harian online 26 sept 2011 2011/09/26 PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan lima lelaki membela diri atas tuduhan membunuh selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Baharu yang melepas dan membebaskan mereka. Panel tiga hakim terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwa supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membebaskan lima orang itu tanpa diminta membela diri. Hakim Zaleha berkata, mahkamah Rayuan berpendapat wujud kes prima facie terhadap Rasdi Ngasiman, 29; Samsudin Muhammad Yusuf, 29; Zaini Sabtu, 26; Zainal Sabtu, 28; dan Mohd Yazid Tukimin, 28. Beliau kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk mereka membela diri. Lima lelaki itu adalah antara sembilan orang yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 19 November 2007 kerana kematian Md Ridzuan Jumaat, 19, di padang permainan di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai, Johor Baharu. Bagaimanapun, pihak pendakwa meneruskan rayuan hari ini terhadap lima orang itu selepas ia tidak dapat menyerahkan notis pendengaran rayuan pada empat yang lain. Hakim Zaleha kemudian menetapkan 8 Nov bagi sebutan kes Rosman Jiman, 30; Mohd Eddy Mohamed, 28; Mohd Nazri Dempok dan Mohd Syawal Shamsuddin, 25; selepas timbalan pendakwa raya Najib Zakaria memberitahu mahkamah bahawa beliau akan cuba menyerahkan notis ke atas empat orang itu. Terdahulu, Najib berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad (kini hakim Mahkmah Rayuan) silap bila beliau membebaskan lima orang itu tanpa memerintahkan mereka membela diri. Beliau berkata, pakar patologi mendapati sebab kematian Ridzuan ialah kecederaan berganda, besar kemungkinan disebabkan pukulan benda tumpul. Mayat Ridzuan ditemui terapung dekat tebing sungai oleh seorang pemandu lori Ng Chiew Piae ketika sedang memancing. Najib berkata, hakim perbicaraan membebaskan mereka atas alasan terdapat keraguan tentang sebab kematian sebagaimana dinyatakan oleh ahli patologi yang menyatakan terdapat kemungkinan mati lemas. Beliau berkata, bukti pendakwaan menunjukkan si mati dipukul oleh responden, termasuk dengan helmet dan batang kayu, dan juga ditendang akibat cemburu, yang cukup untuk dibuat kesimpulan bahawa responden memang mahu membunuh Md Ridzuan. Najib berkata, keterangan teman wanita si mati yang menemaninya (si mati) ke padang permainan itu dan mengenalpasti responden sebagai orang yang memukul si mati yang tidak mempunyai peluang untuk mempertahan diri. Peguam K Sandrasegaran berkata, tidak terdapat kaitan antara rantaian peristiwa kerana tidak terdapat bukti yang mengaitkan serangan itu di padang permainan dengan kejadian lemas. - BERNAMA

Saturday, September 24, 2011

Keanggotaan PBB: Malaysia sokong pengumuman Palestin

25/09/2011 1:57pm KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kerajaan Malaysia mengalu-ngalukan sokongan kuat pengumuman Presiden Mahmoud Abbas pada Jumaat untuk keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sungguhpun Israel dan negara-negara lain mempertikaikan bahawa keamanan hanya boleh dicapai menerusi rundingan dan bukan melalui resolusi PBB, Malaysia berpendapat bahawa ini adalah keputusan dan penyelesaian realistik yang paling penting untuk mencari kedamaian selamanya di Timur Tengah. "Malaysia menolak sepenuhnya pertikaian yang dikemukakan Israel mengenai proses keamanan yang buntu khasnya berkaitan isu penempatan haram di Tebing Barat. Dalam pandangan Malaysia, penempatan haram merupakan punca utama masalah dan hendaklah dipindahkan,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan di sini. Kerajaan Malaysia berpandangan bahawa keanggotaan dalam PBB tidak akan menjejaskan proses keamanan, sehubungan itu, pertikaian membantah keanggotaan Palestin di PBB adalah lemah, tidak berasas dan tidak munasabah. "Sudah tiba masanya mereka yang membantah keanggotaan Palestin di PBB mendengar suara majoriti yang jelas dilihat apabila mereka berdiri hormat kepada Presiden Mahmoud Abbas,” kata kenyataan itu. Tawaran Israel untuk mengadakan rundingan serta merta dan usaha Kuarted itu menjadualkan semula rundingan dalam masa sebulan nampaknya usaha terdesak untuk tidak membolehkan Palestin daripada mendapatkan keanggotaan. Malaysia akan membantu Palestin dalam mendapatkan jumlah undi yang diperlukan untuk Majlis Keselamatan PBB di Perhimpunan Agung itu, menurut kenyataan itu. - Bernama

Thursday, September 15, 2011

Dua akta baru ganti ISA

Oleh Mior Hisham Zulkifli, Nazura Ngah, Ahmad Johari Mohd Ali, A Anand Kumar, Haspaizi Mohd Zain, Badrul Kamal Zakaria, Nasaruddin Parzi dan Aizuddin Sapian bhnews@bharian.com.my 2011/09/16 KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan terus dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik. Malah, Perdana Menteri menegaskan undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan lebih pendek dan sebarang tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah, kecuali undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan di bawah kuasa menteri. Majlis Peguam menyambut baik janji diumumkan Perdana Menteri memansuhkan ISA dan menamatkan kuat kuasa perisytiharan darurat, keputusan berkenaan selaras peruntukan Perlembagaan negara. - Lim Chee Wee, Presiden Majlis Peguam “Umumnya kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman, kecuali undang-undang berkaitan keganasan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung sempena sambutan Hari Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam tadi. Najib menjelaskan undang-undang baru itu bermatlamat memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara, tetapi kerajaan akan tetap memastikan hak dan kebebasan asasi mereka yang terbabit terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Dalam ucapannya, Najib turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1956, selain mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 bagi memenuhi kehendak semasa. “Kita tidak teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan,” katanya sambil menjelaskan secara prinsipnya kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 membabitkan penghapusan pembaharuan tahunan, sebaliknya digantikan dengan pengeluaran lesen tahunan sehingga dibatalkan. Kajian semula terhadap Seksyen 27 Akta Polis 1967 pula akan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Bagaimanapun, katanya, kebenaran berhimpun diberi selaras kaedah yang akan ditetapkan kelak, di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa. Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan langkah-langkah yang diumumkan itu adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib dan berhemah sebagai pelengkap penting kepada inisiatif transformasi ekonomi serta penyampaian awam dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif. Beliau juga menegaskan kerajaan akan terus komited menjunjung sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan kerana pemerintahan hari ini terzahir dan dikudratkan oleh kehendak rakyat. Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan akan membentangkan usul kepada Parlimen bagi mengisytiharkan tiga proklamasi darurat yang diisytiharkan dulu ditamatkan kuatkuasanya mengikut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. “Kecuali darurat akibat konfrontasi 1964 yang dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang diisytiharkan sebelum ini masih dianggap berkuat kuasa sehingga hari ini. “Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau,” katanya. Sejarah negara Malaysia pasca-merdeka memperlihatkan empat proklamasi darurat diisytiharkan, iaitu pada 3 September 1964 ketika konfrontasi dengan Indonesia, diikuti proklamasi darurat 15 Mei 1969 selepas apabila tercetusnya tragedi 13 Mei. Sebelum itu, berlakunya proklamasi darurat 14 September 1966 membabitkan pertikaian politik di Sarawak dan akhirnya proklamasi darurat 8 November 1977 membabitkan Kelantan juga atas alasan sama. Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat atau terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang mengungkai proklamasi atau ordinan itu. INFO: 3 perisytiharan darurat masih berkuat kuasa sejak merdeka •Perisytiharan Darurat 1969 di Persekutuan (diisytiharkan pada 15 Mei 1969 akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969) •Perisytiharan Darurat 1966 di Sarawak (diisytiharkan pada 14 September 1966 membolehkan kerajaan menyelesaikan pertikaian politik di Sarawak yang berbangkit daripada kes Stephen Kalong Ningkan.) •Perisytiharan Darurat 1977 di Kelantan (diisytihar pada 8 November 1977 menyelesaikan pertikaian politik yang timbul di negeri itu yang ketika itu di bawah pemerintahan PAS.)

Wednesday, September 14, 2011

Penentuan tarikh pilihan raya "hak istimewa" kerajaan: Dr M

2011/09/14 PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penentuan tarikh pilihan raya umum di negara ini adalah "hak keistimewaan" kerajaan dan tiada pihak boleh mempertikaikannya. Beliau berkata, sebagai kerajaan yang memerintah, mereka juga mempunyai "keistimewaan" untuk membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya berkenaan. "Dalam dunia ini tidak ada perbincangan berkenaan dengan tarikh pilihan raya. Itu adalah hak mutlak kerajaan...di mana negara-negara pun macam itu. "Kalau dia (pembangkang) nak tentukan (tarikh pilihan raya), biar dia jadi kerajaan dulu...tetapi lepas dia jadi kerajaan dia tidak akan bagi kita pun...," katanya. Dr Mahathir yang juga penasihat Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON) ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tiga unit model Saga "Electric Vehicle" (EV) dan lima unit "Range Extender Electric Vehicle" (REEV) oleh syarikat itu kepada kerajaan untuk dipandu uji di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini. Dr Mahathir diminta mengulas mengenai desakan pembangkang yang didakwa mahu berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai tarikh pilihan raya umum akan datang. Mengenai tindakan pembangkang yang meletakkan beberapa syarat berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen, Dr Mahathir percaya kerajaan akan menerima cadangan mereka jika ia "waras" dan sesuai. "Tetapi kerajaan mungkin ada pendapat yang berbeza," katanya. Sebelum ini, Kabinet bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan dianggotai sembilan anggota Parlimen. Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai lima anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) manakala wakil pembangkang terdiri tiga orang manakala seorang wakil rakyat Bebas. Mengenai desas-desus bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Februari tahun depan, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: "saya kenal (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tetapi saya tak boleh baca hati dia." - BERNAMA