Showing posts with label Mahkamah Rayuan. Show all posts
Showing posts with label Mahkamah Rayuan. Show all posts

Thursday, February 16, 2012

Dua bekas pengurus besar kanan TH dibebaskan: Mahkamah Rayuan

2012/02/16
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan dua bekas pengurus besar kanan Tabung Haji (TH) yang dihukum penjara 10 tahun atas kesalahan pecah amanah dan menipu membabitkan wang RM200 juta institusi itu, 10 tahun lalu. Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara membenarkan rayuan terakhir Datuk Mohd Amin Sidek dan Datuk Mohammad Shafie bagi mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. Sebaik saja penghakiman, Mohd Amin, 60 dan Mohammad, 62, tidak dapat menahan perasaan sebak dan berpelukan. Selepas itu, mereka memeluk ahli keluarga, rakan-rakan dari TH dan jiran masing-masing yang berada di mahkamah sejak pagi tadi. "Saya sangat bersyukur dan berterima kasih pada keluarga dan kawan-kawan dari Tabung Haji yang banyak memberikan sokongan kepada saya, juga terima kasih kepada peguam-peguam saya," kata Mohammad dalam nada yang sebak. Beliau berkata, selama 10 tahun menunggu kes itu selesai, akhirnya keputusan yang dinanti itu amat menggembirakannya sambil menyifatkan badan kehakiman negara ini adil dan telus. Mohd Amin pula berkata beliau amat bersyukur dengan keputusan itu dan percaya kebenaran akan tetap dibuktikan. "Daripada awal lagi saya menjangkakan keputusan ini kerana saya tahu saya tidak bersalah," katanya. Kedua-dua mereka diwakili oleh peguam, Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Sulaiman Abdullah dan Zamani Ibrahim. Hakim Ramly ketika membacakan keputusan itu berkata setelah meneliti hujahan dan semua fakta, mahkamah mendapati pelaburan asing membabitkan wang TH itu didedahkan dalam kertas cadangan yang dimajukan kepada menteri yang berkenaan. Katanya, penemuan fakta berkaitan pelaburan asing yang bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan itu menyebabkan pertuduhan menipu tidak boleh dipertahankan. Ramly berkata, Hakim Bicara (Hakim Mahkamah Sesyen) telah tersilap arah ketika membuat keputusan mensabitkan mereka terhadap pertuduhan pecah amanah kerana tiada elemen niat ketidakjujuran. Beliau berkata, tiada isu penyembunyian fakta mengenai pelaburan asing perlu mendapat kelulusan menteri kerana keterangan daripada saksi pendakwaan dalam keterangan berkata, pelaburan jangka pendek itu tidak memerlukan kelulusan menteri. Ramly berkata, keterangan itu menimbulkan keterangan yang munasabah pada perayu (Mohd Amin dan Mohammad) berhubung elemen ketidakjujuran. "Oleh itu sabitan dan hukuman tidak selamat untuk dipertahankan. Dengan ini rayuan perayu dibenarkan, sabitan dan hukuman diketepikan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan," katanya. Mohd Amin, bekas pengurus besar kanan (kewangan) dan Mohammad, bekas pengurus besar kanan (pelaburan), masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 tahun Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari 2007, selepas mendapati mereka bersalah melakukan pecah amanah wang TH. Bagi tuduhan melakukan pecah amanah, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di ibu negara di antara 14 Julai 2000 dan 11 Mei 2001. Kedua-dua bekas pegawai kanan itu turut dihukum penjara enam tahun setiap seorang atas dua kesalahan menipu dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kelulusan pelaburan dana itu. Mereka dituduh bersama-sama menipu Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di JPM Putrajaya antara 29 Jun 2000 dan 27 Julai 2001. Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak. - BERNAMA

Friday, February 10, 2012

Kes Altantuya: Azilah belum fail petisyen rayuan

2012/02/10 PUTRAJAYA: Tarikh pendengaran rayuan dua pegawai polis yang disabitkan kesalahan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu masih belum ditetapkan berikutan seorang daripada mereka iaitu Cif Insp Azilah Hadri masih belum memfailkan petisyen rayuannya. Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Kanageswari Nalliah menetapkan 9 Mac untuk tarikh pengurusan kes akan datang bagi membolehkan peguam yang mewakili Azilah mendapatkan semua rekod rayuan dan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya memfailkan petisyen rayuan. Peguam yang mewakili Azilah, J. Kuldeep Kumar berkata petisyen rayuan tidak dapat difailkan kerana beliau hanya menerima 40 jilid daripada 57 jilid dokumen itu. Katanya ini kerana mahkamah telah menghantar dokumen itu kepada Azilah di penjara. Kuldeep Kumar berkata dokumen itu kemudiannya dihantar kepadanya secara berperingkat dalam tempoh enam bulan lalu dan menurutnya beliau akan mendapatkan baki 17 jilid lagi dokumen itu daripada mahkamah. Sementara itu, peguam Kitson Foong yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar berkata tarikh pendengaran itu akan hanya ditetapkan oleh mahkamah untuk mendengar rayuan itu apabila semua dokumen dikemukakan di mahkamah. Katanya petisyen rayuan untuk Sirul Azhar telah difailkan dan beliau sedang menimbangkan untuk memfailkan alasan rayuan tambahan. Kitson dan peguam Lim Kon Keen mewakili Sirul Azhar. Timbalan Pendakwa Raya Devinderjit Kaur mewakili pihak pendakwaan. Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April, 2009, selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam pada 18 Oktober, 2006, dan 9.45 malam hari berikutnya. Perbicaraan kes mereka berlangsung selama 159 hari. Kedua-dua mereka yang juga anggota komando Unit Tindakan Khas polis, kemudiannya memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan. Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dituduh bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan wanita Mongolia itu. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober, 2008, tanpa dipanggil membela diri. Azilah dan Sirul memberikan keterangan dalam pembelaan mereka, dengan Azilah memberikan keterangan dari kandang saksi manakala Sirul dari kandang tertuduh. Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mendapati pembelaan oleh kedua-dua mereka hanya berupa "penafian dan saling menyalahkan sesama sendiri". - BERNAMA

Wednesday, February 1, 2012

Beng Hock: Mahkamah Rayuan benarkan keputusan dicabar

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_06.htm 02/02/2012 11:44am KUALA LUMPUR 2 Feb. - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk mencabar keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang membuat keputusan terbuka mengenai kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu. Keputusan sebulat suara itu diputuskan oleh panel tiga hakim mahkamah itu yang diketuai oleh Hakim Datuk Sulaiman Daud setelah berpuas hati mengenai terdapat persoalan undang-undang yang boleh diteruskan. - UTUSAN

Monday, September 26, 2011

Mahkamah Rayuan ketepikan keputusan membebaskan lima lelaki

Berita harian online 26 sept 2011 2011/09/26 PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan lima lelaki membela diri atas tuduhan membunuh selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Baharu yang melepas dan membebaskan mereka. Panel tiga hakim terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwa supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membebaskan lima orang itu tanpa diminta membela diri. Hakim Zaleha berkata, mahkamah Rayuan berpendapat wujud kes prima facie terhadap Rasdi Ngasiman, 29; Samsudin Muhammad Yusuf, 29; Zaini Sabtu, 26; Zainal Sabtu, 28; dan Mohd Yazid Tukimin, 28. Beliau kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk mereka membela diri. Lima lelaki itu adalah antara sembilan orang yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 19 November 2007 kerana kematian Md Ridzuan Jumaat, 19, di padang permainan di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai, Johor Baharu. Bagaimanapun, pihak pendakwa meneruskan rayuan hari ini terhadap lima orang itu selepas ia tidak dapat menyerahkan notis pendengaran rayuan pada empat yang lain. Hakim Zaleha kemudian menetapkan 8 Nov bagi sebutan kes Rosman Jiman, 30; Mohd Eddy Mohamed, 28; Mohd Nazri Dempok dan Mohd Syawal Shamsuddin, 25; selepas timbalan pendakwa raya Najib Zakaria memberitahu mahkamah bahawa beliau akan cuba menyerahkan notis ke atas empat orang itu. Terdahulu, Najib berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad (kini hakim Mahkmah Rayuan) silap bila beliau membebaskan lima orang itu tanpa memerintahkan mereka membela diri. Beliau berkata, pakar patologi mendapati sebab kematian Ridzuan ialah kecederaan berganda, besar kemungkinan disebabkan pukulan benda tumpul. Mayat Ridzuan ditemui terapung dekat tebing sungai oleh seorang pemandu lori Ng Chiew Piae ketika sedang memancing. Najib berkata, hakim perbicaraan membebaskan mereka atas alasan terdapat keraguan tentang sebab kematian sebagaimana dinyatakan oleh ahli patologi yang menyatakan terdapat kemungkinan mati lemas. Beliau berkata, bukti pendakwaan menunjukkan si mati dipukul oleh responden, termasuk dengan helmet dan batang kayu, dan juga ditendang akibat cemburu, yang cukup untuk dibuat kesimpulan bahawa responden memang mahu membunuh Md Ridzuan. Najib berkata, keterangan teman wanita si mati yang menemaninya (si mati) ke padang permainan itu dan mengenalpasti responden sebagai orang yang memukul si mati yang tidak mempunyai peluang untuk mempertahan diri. Peguam K Sandrasegaran berkata, tidak terdapat kaitan antara rantaian peristiwa kerana tidak terdapat bukti yang mengaitkan serangan itu di padang permainan dengan kejadian lemas. - BERNAMA