Saturday, August 9, 2008

Jaga sensitiviti, kesabaran orang Melayu

Oleh zulkiflee bakar
(wartawan utusan)

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan Majlis Peguam terus bermain dengan api apabila ingin menganjurkan forum awam bertajuk 'Memeluk Islam', hari ini.

Sama ada forum itu akan dibatalkan ataupun tidak berikutan pelbagai desakan termasuk daripada kerajaan dan parti politik Melayu tetapi apa yang jelas sudah ada keberanian di pihak tertentu untuk menyentuh perkara-perkara sensitif berkaitan dengan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Sebelum ini, Majlis Peguam juga pada Jun lalu tanpa mempedulikan pelbagai kritikan turut menganjurkan forum bertajuk 'Kontrak Sosial'.

Namun adalah jelas majlis berkenaan yang dianggotai oleh mereka yang bijak pandai dalam undang-undang tidak memahami atau sengaja melupakan sensitiviti orang Melayu.

Mereka turut melakukan forum-forum seumpama itu yang disifatkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai 'bermain api'.

Oleh itu adalah perlu Majlis Peguam belajar untuk memahami sensitiviti berhubung perkara berkenaan dan jangan terlalu ghairah menganjurkan forum yang boleh mencetuskan kontroversi serta konflik di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Hakikatnya, majlis tersebut sengaja mencari fasal dengan berbuat demikian tetapi apabila kerajaan bertindak tegas maka mereka akan menjerit-jerit bahawa apa yang mereka lakukan adalah kebebasan bersuara.

Tetapi mereka lupa bahawa kebebasan tersebut bukan bererti mana-mana pihak berhak untuk mengadakan forum yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Selain itu, persoalan juga timbul kenapakah sejak kebelakangan ini Majlis Peguam menunjukkan keberanian luar biasa dengan menganjurkan forum berkaitan orang Melayu dan Islam, biarpun mereka mengetahui ia amat bahaya.

Mungkin bagi Majlis Peguam, mereka bertindak demikian kerana merasakan inilah saat terbaik berbuat demikian memandangkan orang Melayu kini berpecah akibat keputusan pilihan raya umum lalu.

Namun mereka terlupa bahawa isu yang disentuh akan dilihat oleh orang Melayu tanpa mengira apa juga ideologi politik yang mereka pegang.

Ketegasan pemimpin UMNO dan Pas yang sekata menentang forum 'Memeluk Islam' itu dengan jelas membuktikan bahawa orang Melayu akan bersatu jika kepentingan bangsa dan agama mereka digugat.

Oleh itu Majlis Peguam yang begitu bijak dalam bab undang-undang janganlah cuba mencabar kesabaran orang Melayu dan Islam.

Tidak perlu berdolak-dalih berhubung kenapa forum seumpama itu diadakan. Kalau Majlis Peguam jujur, mereka seharusnya menganjurkan forum yang lebih menjurus ke arah menyatukan semua kaum di negara ini dan bukannya berusaha mencabar kepentingan mana-mana kaum.

Mungkin majlis berkenaan mempunyai kedegilan tersendiri tetapi percayalah apa yang cuba mereka lakukan tidak akan menguntungkan rakyat.

Janganlah menganggap bahawa tujuan forum itu sudah disalah tafsir sedangkan hakikatnya Majlis Peguam yang berdolak-dalih.

Kenapakah forum itu hendak diadakan sekarang? Kenapa tidak diadakan ketika ada kes berkaitan tajuk forum tersebut? Semua ini jelas membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan penganjuran berkenaan.

Kepada orang Melayu pula, mereka tidak harus memandang sepi tindakan majlis tersebut. Ini kerana ia jelas membuktikan perpecahan sesama mereka dan andaian bahawa cengkaman kuasa politik semakin longgar telah memungkinkan ada pihak-pihak tertentu cuba menggugat kepentingan dan hak mereka.

Selama ini, kita mungkin tidak pernah memikirkan bahawa ada pihak berani berbuat demikian tetapi tindakan Majlis Peguam sudah membuktikan sebaliknya.

Justeru pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu tidak harus duduk diam, mereka tidak boleh membiarkan sahaja UMNO dan Pas berjuang menghalang Majlis Peguam.

Sebaliknya mereka juga perlu tegas berbuat demikian bagi memberi isyarat yang jelas kepada majlis berkenaan bahawa apa yang mereka lakukan pada hakikatnya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Apa pun keadaannya adalah diharapkan Majlis Peguam yang kononnya semakin berani ini memahami bahawa mereka sedang melakukan perkara yang boleh menggugat demokrasi dan perpaduan di negara ini.

Ingatlah bahawa soal bangsa dan agama jika tersilap ditangani boleh menghancurkan sebuah negara majmuk seperti Malaysia, oleh itu jangan melampaui batas!

Thursday, August 7, 2008

BIMP-EAGA diminta berganding bahu

KOTA KINABALU 6 Ogos - Amalan berganding bahu secara berterusan antara sektor awam dan swasta merupakan asas penting dalam menjayakan objektif penubuhan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kedua-dua pihak perlu saling berganding bahu menjayakan agenda tersebut bagi faedah dan kemajuan bersama.

''Sektor swasta ialah enjin pembangunan BIMP-EAGA, manakala sektor awam sebagai fasilitator pembangunan. Justeru, kedua-duanya mesti berganding bahu memastikan misi dan visi pembangunan mencapai realiti,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kastam BIMPEAGA kali kedua, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Abd. Rahman Abd. Hamid; Pengarah Kastam Sabah, Datuk Md. Yusop Mansor dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin.

Menurut Musa, sektor swasta berkeupayaan menyediakan pelaburan dan pembangunan, manakala kerajaan boleh melaksanakan strategi-strategi yang diperlukan dalam melaksanakan sesuatu projek demi kebaikan rakyat.

Musa berkata, ekoran itu sektor awam perlu terus mencipta suasana pelaburan yang kondusif dan menyediakan infrastruktur fizikal dan fasiliti komersial yang mencukupi.

Selain itu, katanya, sektor awam juga hendaklah menyalurkan maklumat terkini dan sentiasa memaklumkan mengenai kemahiran baru yang dapat meningkatkan kemampuan sumber manusia.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, kerajaan dan sektor swasta bukan sahaja menggariskan isu-isu penting menjayakan visi BIMP-EAGA, malah berusaha mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang mempunyai daya saing tinggi.

Sementara itu, katanya, inisiatif ini juga akan melengkapi usaha kerajaan melancarkan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang terletak di dalam kawasan BIMP-EAGA.

''Kejayaan koridor ini yang merupakan pelan jangka panjang memperbaiki kehidupan dan merangsang pembangunan tinggi melalui inisiatif pilihan akan turut melonjakkan ekonomi dalam BIMP-EAGA dan menyokong kewujudan AEC,'' ujarnya.

Wednesday, August 6, 2008

Polis serah sapina kepada Anwar

06/08/2008 12:50pm


KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Brickfields, Deputi Supritendan Jude Pareira menyerahkan sapina kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediamannya di Segambut Dalam di sini pada pukul 12.05 tengah hari ini.

Pegawai polis berkenaan tiba di rumah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau berada di rumah Anwar selama 15 minit untuk menyerahkan sapina tersebut yang menghendaki Anwar berada di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, esok.

Dua anggota polis ditahan ekoran kehilangan bahan bukti dadah

06/08/2008 2:42pm


JOHOR BAHRU 6 Ogos — Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff hari ini mengesahkan bahawa dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan sejumlah dadah dari bilik bahan bukti, Jumaat lepas.

Beliau berkata kedua-dua anggota itu yang ditahan pada Jumaat dan Sabtu lepas kini direman seminggu bagi memberi keterangan mengenai kejadian berkenaan.

“Cukup saya katakan kita telah menahan dua anggota polis. Saya sahkan mereka ditahan untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Menurutnya pihaknya juga mengesahkan laporan polis berhubung kehilangan dadah berkenaan dibuat oleh Jabatan Narkotik Johor pada Jumaat lepas dan kehilangan dadah itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihaknya bagaimanapun tidak boleh menjelaskan butiran lanjut kehilangan dadah itu bagi mengelak prejudis memandangkan dadah berkenaan sebahagian eksibitbahan eksibit yang masih dalam perbicaraan.- BERNAMA.

Monday, July 28, 2008

Pakar motivasi bersama isteri dituduh terima deposit haram RM222 juta

KUALA LUMPUR 28 Julai - Seorang pakar motivasi dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima deposit tanpa lesen yang melibatkan pelaburan sebanyak RM222 juta antara Januari dan Julai tahun lalu.

Dr. Jailani Jabar, 48, dan Dr. Latifah Taib, 47, didakwa melakukan perbuatan itu melalui syarikat milik mereka, Jai Network Systems Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kuantan, Pahang.

Pasangan itu menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 250(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jailani dibenarkan ikat jamin RM1 juta manakala isterinya, Latifah dibenarkan jamin sebanyak RM500,000. Kes terhadap kedua-dua tertuduh itu akan disebut semula pada 29 Ogos depan.

Pada 23 Julai lalu, suami isteri itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan kerana menghadapi 189 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai hampir RM170 juta. - Utusan

Thursday, July 24, 2008

Zaid enggan umum bayaran ex-gratia kepada bekas hakim

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengumumkan jumlah bayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain.

Beliau berkata tindakan itu sebagai menghormati permintaan hakim-hakim berkenaan yang memohon supaya jumlah berkenaan dirahsiakan daripada umum.

“Mereka (bekas hakim itu) bimbang jika jumlah itu disebut akan menimbulkan pelbagai persoalan. Mereka cakap boleh tak kalau tak umum dan kerajaan bersetuju. Bukan niat nak rahsiakan (jumlah ex-gratia)...sekarang nak tunai janji dengan hakim tersebut.



“Ini bukan soal takut nak dedahkan berapa jumlah bayaran ex-gratia yang diterima... tapi nak lindungi maruah dan menghormati permintaan mereka yang tercapai semasa perbincangan dengan mereka sebelum keputusan pembayaran itu dibuat,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 di Dewan Negara hari ini.

Antara mereka yang mendesak untuk mengetahui jumlah bayaran itu ialah Senator Datuk Abd Rashid Ngah, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 itu kemudiannya diluluskan Dewan Negara, yang antaranya bagi membolehkan seseorang hakim itu dihitung tempoh perkhidmatannya bermula dari tarikh beliau memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, bagi maksud perkiraan jumlah pencen.

Bekas hakim yang menerima pembayaran ex-gratia ialah bekas Hakim Mahkamah Agung iaitu Datuk George Seah dan Tan Sri Suleiman Pawanteh, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh.

Pada persidangan Dewan Rakyat 15 Julai lalu, Zaid yang didesak Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) turut enggan mendedahkan jumlah bayaran itu atas alasan sama. — Bernama

Wednesday, July 23, 2008

Mahkamah Pilihan Raya tolak petisyen DUN Simpang Empat

23/07/2008 3:01pm


KANGAR 23 Julai — Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak dengan kos, petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, yang dikemukakan oleh bekas anggota Exco kerajaan negeri Perlis, Zahari Bakar, berkaitan penggunaan poster dan lambang negeri Perlis semasa kempen pilihan raya.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membacakan keputusan petisyen itu di sini hari ini berkata, pempetisyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi dewan undangan negeri kawasan Simpang Empat gagal membuktikan dengan memuaskan mengenai kesalahan pilihan raya yang berkaitan poster itu.

Pada 28 April lepas Zahari, 53, memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya 8 Mac itu dengan alasan responden mempamerkan poster yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak serta penerbit, selain penggunaan lambang negeri pada poster itu semasa tempoh kempen.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 itu, Zahari tewas kepada Rus’sele Eizan dengan majoriti 53 undi, apabila beliau memperolehi 2,825 undi dan Rus’sele mendapat 2,878 undi.

- Bernama