Monday, July 7, 2008

Felda buka ladang kelapa sawit di Brazil

07/07/2008 3:14pm


PUTRAJAYA 7 Julai — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Felda akan membuka ladang komersil kelapa sawit di kawasan seluas 100,000 hektar di Brazil tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Felda melalui anak syarikatnya, Felda Global Ventures Brazil Sdn Bhd, dengan modal berbayar RM25 juta akan melaksanakan projek itu secara usaha sama dengan syarikat dari Barzil, Braspalma.

Felda akan memiliki ekuiti 70 peratus manakala Braspalma 30 peratus dalam syarikat usaha sama itu, katanya kepada para pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Buat permulaan, katanya, 20,000 hektar ladang kelapa sawit akan dibangunkan di Tefe, di negeri Amazonas, Brazil dengan kadar pembukaan ladang antara 3,000 dan 5,000 hektar setahun.

Katanya penanaman kelapa sawit itu turut akan dilakukan di Manaus, yang merupakan ibu negeri Amazonas. “Pelaburan Felda di Brazil itu sejajar dengan visi kita untuk melihat Felda menjadi pemain global, kita nak Felda sebaris dengan syarikat seperti Petronas,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Felda.

Najib menjangkakan pelaburan Felda di Brazil itu akan memberikan pendapatan yang lebih besar kepada badan itu dan Felda mesti membuat pelaburan dalam bidang produktif kerana ia memerlukan sumber kewangan yang kukuh bagi membiayai bonus, duit raya dan menganjur skim latihan bagi para peneroka.

Ditanya mengenai perkembangan pelaburan Felda di negara lain, beliau berkata kawasan seluas 20,000 hektar sedang dibangunkan di Kalimantan, 5,000 hektar akan dimajukan di Papua New Guinea dan 45,000 hektar akan dibangunkan di Aceh.

Selain itu, Felda turut mempunyai pelaburan dalam industri biodiesel di Quebec, Kanada dan Boston serta Cincinnati, Amerika Syarikat dalam usahanya mengembangkan sayap perniagaannya di dunia.

—BERNAMA

Saturday, July 5, 2008

D8 perlu bersatu suara supaya berkesan

05/07/2008 10:35am


KUALA LUMPUR 5 Julai — Lapan Negara Islam Membangun (D-8) perlu bersatu suara, terutama dalam memerangi harga petroleum yang tinggi dan krisis makanan global, bagi memastikan ia ditangani secara serius oleh organisasi utama seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menyuarakan perkara ini berkata setakat ini D-8 belum membuat pendirian bersama terhadap dua isu itu dan jika D-8 dapat mengemukakan cadangan padu membabitkan dua isu global ini, ia akan mampu menarik perhatian pertubuhan utama lain.

“Kita masih belum bercakap mengenai spekulator pasaran niaga hadapan minyak. Ia kini menjadi isu utama. Isunya bukanlah kekurangan minyak, tetapi kerja spekulator. Mereka ini yang duduk di satu tempat dan memiliki wang, berjaya menaikkan harga minyak. Peningkatan harga minyak bukan kerja pengeluar petrol,” katanya kepada Bernama pada temu bual di sini.

Sesi Mesyuarat Peringkat Menteri D-8 ke-11 bermula pagi ini sebelum Sidang Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan Keenam D-8, pada Selasa.

D-8 yang dibentuk pada 1997, ialah forum bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan luar bandar, pembangunan sumber manusia, sains dan teknologi, tenaga, pertanian dan kesihatan, di negara anggota.

Wednesday, July 2, 2008

Laporan Kajian Separuh Penggal RMK9

Agenda pembangunan diteruskan
Teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat, semalam
KIRA-kira dua tahun lalu, pada 31 Mac 2006, saya membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan sebagai wadah rancangan pembangunan lima tahun negara untuk tempoh 2006-2010. Rancangan itu menggariskan hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun pertama dalam fasa kedua pelaksanaan Wawasan 2020. [+]


Maklumat lanjut Klik Sini

Dewan kecoh isu peraturan

KUALA LUMPUR 1 Julai - Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan supaya peraturan mesyuarat tidak digunakan bagi membolehkan ahli Dewan mencelah pada sesi soal jawab.

Langkah itu menyebabkan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) membantah dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut.

Wan Junaidi menjelaskan, cadangan itu bertujuan supaya urusan soal jawab tidak terganggu dengan perkara tidak berkaitan bagi membolehkan lebih banyak soalan dapat dijawab oleh menteri berkaitan.

''Saya telah merujuk dengan amalan Dewan Rakyat di beberapa negara maju seperti England dan New Zealand yang juga tidak membenarkan peraturan mesyuarat dibangkitkan dalam sesi soal jawab.

''Kita bukan melarang terus peraturan mesyuarat dibangkitkan tetapi kita mahu ia dihadkan hanya jika ada pelanggaran yang nyata berlaku," katanya menjawab kritikan Po Kuan itu.

Po Kuan mendakwa cadangan itu melampaui kuasa Yang Dipertua Dewan yang juga tertakluk pada peraturan mesyuarat ketika mempengerusikan persidangan.

Terdahulu, sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Wan Junaidi mengemukakan cadangan itu selepas mendengar Peraturan Mesyuarat 36.12 yang dibangkitkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).

Tajuddin ketika membangkitkan peraturan itu, meminta Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang didakwa menghina dan mempertikai kewibawaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di luar dewan.

Semalam, Pandikar Amin mengarah Gobind keluar dewan dan digantung dua hari daripada Dewan Rakyat kerana mencabar kewibawaan Yang Dipertua.

Saranan Tajuddin itu turut disokong Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyifatkan tindakan Gobind sebagai keterlaluan.

''Kita adalah pembuat undang- undang, bukannya pelanggar undang-undang," katanya merujuk tindakan Gobind yang terus mencabar kewibawaan Pandikar di luar dewan.

Mengulas perkara yang dibangkitkan itu, Wan Junaidi berkata, isu itu tidak akan dibahaskan dalam dewan sebaliknya akan dibincangkan dengan Pandikar Amin dan seorang lagi Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee untuk menetapkan keputusan

Lebih 28 peratus banduan warga asing

02/07/2008 4:52pm


KUALA LUMPUR 2 Julai - Sebanyak 14,809 daripada 37,446 banduan di penjara di seluruh negara merupakan warga asing, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung.

Menurutnya, jumlah banduan itu melebihi 28 peratus daripada kapasiti yang sepatutnya dapat ditampung oleh semua penjara di negara ini hingga berlaku kesesakan.

"Bagaimanapun kesesakan di penjara dapat dielakkan apabila kerajaan memperkenalkan sistem parol dan sistem melepaskan lebih ramai penghuni penjara yang menerima hukuman ringan," katanya menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

- Utusan

Wednesday, June 25, 2008

Dr. Mahathir tidak akan pohon semakan penghakiman

PUTRAJAYA 25 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak akan mengemukakan permohonan semakan penghakiman terhadap hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Lingam.

Sebaliknya bekas perdana menteri itu bersedia untuk pergi ke mahkamah.

"Saya sudah pun bersalah. Kerana asas yang digunakan Suruhanjaya Diraja adalah jika sesuatu itu boleh berlaku, maka ia sudah berlaku jika ia boleh berlaku.

"Kerana ada kemungkinan saya telah dipengaruhi oleh Lingam dan dengan itu saya telah dipengaruhi oleh Lingam. Ini merupakan kriteria baru bagi bukti di mahkamah. Jadi saya sudah pun bersalah. Jadi apa gunanya saya mengemukakan rayuan," katanya dengan sinis.

Dr. Mahathir berkata beliau terpaksa akur dengan standard baru itu yang sudah menjadi kelaziman di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau akan memohon semakan kehakiman seperti mana yang dilakukan oleh bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hartawan Tan Sri Vincent Tan dan peguam Datuk V.K Lingam baru-baru ini.

Dr. Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku

"Smart Growth", nukilan Prof. Salleh Buang, oleh isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Ditanya sama ada beliau bersalah seperti didakwa, Dr Mahathir secara sinis menjawab:"Bersalah seperti dihakimi. Suruhanjaya itu dianggotai mereka yang bijak pandai. Ada hakim-hakim, hakim-hakim yang berpengalaman yang berkata boleh jadi saya telah dipengaruhi dan dengan itu saya perlu disiasat.

"Saya tidak akan mengemukakan rayuan. Saya akan pergi ke mahkamah," katanya.

Lingam didakwa terbabit dalam klip video kontroversi selama 14 minit yang menurut suruhanjaya itu memaparkan beliau berbual di telefon berhubung urusan pelantikan hakim dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

PengaruhBerdasarkan hasil inkuiri suruhanjaya itu, Tengku Adnan dan Tan dikatakan mempunyai pengaruh secara langsung dalam pelantikan dan kenaikan pangkat para hakim.

Panel juga mencadangkan agar Lingam, Dr. Mahathir, Tengku Adnan, Tan, Ahmad Fairuz dan Ketua Hakim Negara yang telah bersara Tun Mohd Eusoff Chin disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Hasutan 1961, Akta Profesion Undang-undang 1976, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Kanun Keseksaan.

Mengulas kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Ian H.C Chin yang mempertahankan dakwaannya bahawa beliau (Dr. Mahathir) telah membuat ugutan secara halus terhadap hakim melalui kata-kata yang bermaksud demikian iaitu "di sana-sini" pada persidangan hakim pada 1997.

"Saya juga ada dengar desas- desus di sana-sini yang beliau seorang hakim yang rasuah," kata Dr Mahathir.

- Bernama

Monday, June 23, 2008

Tiada usul undi tak percaya terhadap PM hari ini

23/06/2008 5:35pm


KUALA LUMPUR 23 Jun — Usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diperkatakan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, nampaknya tidak akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Persidangan hari ini hanya membincangkan satu usul iaitu usul kenaikan harga petroleum dan barangan, yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, dan ia masih dalam peringkat perbahasan setakat ini.

Shahrir dijadual menggulung dan menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan pada perbahasan itu sebelum persidangan hari ini ditangguhkan.

Sehingga berita ini ditulis, kedua-dua anggota Parlimen dari SAPP iaitu Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau), yang diuar-uarkan akan menyokong undi tak percaya itu, tidak kelihatan di dewan.

Eric yang dihubungi memberitahu beliau telah pulang ke Sabah kerana melawat seorang saudara yang meninggal dunia, manakala Dr. Chua tidak dapat dihubungi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ditemui berkata, setakat ini pejabat speaker tidak menerima sebarang usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri.

Sebaliknya Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang telah mengemukakan kepada pejabat Speaker semalam notis bagi usul tergempar untuk membincangkan suatu dakwaan terbaru berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut Peraturan Mesyuarat 18 (1), sesuatu usul perlu dihantar ke Pejabat Speaker 24 jam sebelum ia boleh dikemuka dalam persidangan dan sama ada usul itu boleh dibentang ataupun tidak, ia terpulang kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Yang Dipertua akan menggunakan tiga asas dalam membuat pertimbangan terhadap sesuatu usul tergempar iaitu ia membabitkan perkara yang tertentu, berkepentingan rakyat, dan harus disegerakan.

Beliau mempunyai kuasa menolak sesuatu usul jika ia didapati tidak mematuhi satu daripada tiga asas berkenaan. — BERNAMA.