Saturday, September 24, 2011
Keanggotaan PBB: Malaysia sokong pengumuman Palestin
25/09/2011 1:57pm
KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kerajaan Malaysia mengalu-ngalukan sokongan kuat pengumuman Presiden Mahmoud Abbas pada Jumaat untuk keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sungguhpun Israel dan negara-negara lain mempertikaikan bahawa keamanan hanya boleh dicapai menerusi rundingan dan bukan melalui resolusi PBB, Malaysia berpendapat bahawa ini adalah keputusan dan penyelesaian realistik yang paling penting untuk mencari kedamaian selamanya di Timur Tengah.
"Malaysia menolak sepenuhnya pertikaian yang dikemukakan Israel mengenai proses keamanan yang buntu khasnya berkaitan isu penempatan haram di Tebing Barat. Dalam pandangan Malaysia, penempatan haram merupakan punca utama masalah dan hendaklah dipindahkan,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan di sini.
Kerajaan Malaysia berpandangan bahawa keanggotaan dalam PBB tidak akan menjejaskan proses keamanan, sehubungan itu, pertikaian membantah keanggotaan Palestin di PBB adalah lemah, tidak berasas dan tidak munasabah.
"Sudah tiba masanya mereka yang membantah keanggotaan Palestin di PBB mendengar suara majoriti yang jelas dilihat apabila mereka berdiri hormat kepada Presiden Mahmoud Abbas,” kata kenyataan itu.
Tawaran Israel untuk mengadakan rundingan serta merta dan usaha Kuarted itu menjadualkan semula rundingan dalam masa sebulan nampaknya usaha terdesak untuk tidak membolehkan Palestin daripada mendapatkan keanggotaan.
Malaysia akan membantu Palestin dalam mendapatkan jumlah undi yang diperlukan untuk Majlis Keselamatan PBB di Perhimpunan Agung itu, menurut kenyataan itu. - Bernama
Thursday, September 15, 2011
Dua akta baru ganti ISA
Oleh Mior Hisham Zulkifli, Nazura Ngah, Ahmad Johari Mohd Ali, A Anand Kumar, Haspaizi Mohd Zain, Badrul Kamal Zakaria, Nasaruddin Parzi dan Aizuddin Sapian
bhnews@bharian.com.my
2011/09/16
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan terus dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik. Malah, Perdana Menteri menegaskan undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan lebih pendek dan sebarang tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah, kecuali undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan di bawah kuasa menteri. Majlis Peguam menyambut baik janji diumumkan Perdana Menteri memansuhkan ISA dan menamatkan kuat kuasa perisytiharan darurat, keputusan berkenaan selaras peruntukan Perlembagaan negara. - Lim Chee Wee, Presiden Majlis Peguam “Umumnya kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman, kecuali undang-undang berkaitan keganasan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung sempena sambutan Hari Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam tadi.
Najib menjelaskan undang-undang baru itu bermatlamat memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara, tetapi kerajaan akan tetap memastikan hak dan kebebasan asasi mereka yang terbabit terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam ucapannya, Najib turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1956, selain mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 bagi memenuhi kehendak semasa.
“Kita tidak teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan,” katanya sambil menjelaskan secara prinsipnya kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 membabitkan penghapusan pembaharuan tahunan, sebaliknya digantikan dengan pengeluaran lesen tahunan sehingga dibatalkan.
Kajian semula terhadap Seksyen 27 Akta Polis 1967 pula akan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Bagaimanapun, katanya, kebenaran berhimpun diberi selaras kaedah yang akan ditetapkan kelak, di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.
Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan langkah-langkah yang diumumkan itu adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib dan berhemah sebagai pelengkap penting kepada inisiatif transformasi ekonomi serta penyampaian awam dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.
Beliau juga menegaskan kerajaan akan terus komited menjunjung sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan kerana pemerintahan hari ini terzahir dan dikudratkan oleh kehendak rakyat.
Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan akan membentangkan usul kepada Parlimen bagi mengisytiharkan tiga proklamasi darurat yang diisytiharkan dulu ditamatkan kuatkuasanya mengikut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
“Kecuali darurat akibat konfrontasi 1964 yang dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang diisytiharkan sebelum ini masih dianggap berkuat kuasa sehingga hari ini.
“Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau,” katanya.
Sejarah negara Malaysia pasca-merdeka memperlihatkan empat proklamasi darurat diisytiharkan, iaitu pada 3 September 1964 ketika konfrontasi dengan Indonesia, diikuti proklamasi darurat 15 Mei 1969 selepas apabila tercetusnya tragedi 13 Mei.
Sebelum itu, berlakunya proklamasi darurat 14 September 1966 membabitkan pertikaian politik di Sarawak dan akhirnya proklamasi darurat 8 November 1977 membabitkan Kelantan juga atas alasan sama.
Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat atau terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang mengungkai proklamasi atau ordinan itu.
INFO: 3 perisytiharan darurat masih berkuat kuasa sejak merdeka
•Perisytiharan Darurat 1969 di Persekutuan (diisytiharkan pada 15 Mei 1969 akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969)
•Perisytiharan Darurat 1966 di Sarawak (diisytiharkan pada 14 September 1966 membolehkan kerajaan menyelesaikan pertikaian politik di Sarawak yang berbangkit daripada kes Stephen Kalong Ningkan.)
•Perisytiharan Darurat 1977 di Kelantan (diisytihar pada 8 November 1977 menyelesaikan pertikaian politik yang timbul di negeri itu yang ketika itu di bawah pemerintahan PAS.)
Wednesday, September 14, 2011
Penentuan tarikh pilihan raya "hak istimewa" kerajaan: Dr M
2011/09/14
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penentuan tarikh pilihan raya umum di negara ini adalah "hak keistimewaan" kerajaan dan tiada pihak boleh mempertikaikannya.
Beliau berkata, sebagai kerajaan yang memerintah, mereka juga mempunyai "keistimewaan" untuk membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya berkenaan. "Dalam dunia ini tidak ada perbincangan berkenaan dengan tarikh pilihan raya. Itu adalah hak mutlak kerajaan...di mana negara-negara pun macam itu. "Kalau dia (pembangkang) nak tentukan (tarikh pilihan raya), biar dia jadi kerajaan dulu...tetapi lepas dia jadi kerajaan dia tidak akan bagi kita pun...," katanya.
Dr Mahathir yang juga penasihat Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON) ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tiga unit model Saga "Electric Vehicle" (EV) dan lima unit "Range Extender Electric Vehicle" (REEV) oleh syarikat itu kepada kerajaan untuk dipandu uji di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Dr Mahathir diminta mengulas mengenai desakan pembangkang yang didakwa mahu berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai tarikh pilihan raya umum akan datang.
Mengenai tindakan pembangkang yang meletakkan beberapa syarat berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen, Dr Mahathir percaya kerajaan akan menerima cadangan mereka jika ia "waras" dan sesuai.
"Tetapi kerajaan mungkin ada pendapat yang berbeza," katanya.
Sebelum ini, Kabinet bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan dianggotai sembilan anggota Parlimen.
Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai lima anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) manakala wakil pembangkang terdiri tiga orang manakala seorang wakil rakyat Bebas.
Mengenai desas-desus bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Februari tahun depan, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: "saya kenal (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tetapi saya tak boleh baca hati dia." - BERNAMA
Arifin Zakaria angkat sumpah Ketua Hakim Negara
2011/09/14
KUALA LUMPUR: Tan Sri Arifin Zakaria hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang bersara wajib pada 9 September lalu.
Arifin menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini. Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Selain Arifin, Tan Sri Md Raus Sharif turut mengangkat sumpah dan menerima surat cara pelantikan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula dikurniakan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tan Sri Arifin Zakaria hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang bersara wajib pada 9 September lalu.
Arifin menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini. Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Selain Arifin, Tan Sri Md Raus Sharif turut mengangkat sumpah dan menerima surat cara pelantikan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula dikurniakan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya. - BERNAMA
Monday, September 5, 2011
Tan Sri Arifin Zakaria dilantik Ketua Hakim Negara
2011/09/05
KUALA LUMPUR: Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib berkata Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal. Perdana Menteri berkata semua pelantikan berkuat kuasa 12 September ini.
"Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Zaki Tun Azmi di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara, khususnya dalam mentransformasikan badan kehakiman sehingga berjaya mengurangkan kes-kes tertunggak di semua peringkat mahkamah, demi memberi keadilan yang pantas kepada semua pihak.
"Saya juga memaklumkan persaraan awal Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun yang telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
"Kerajaan amat berterima kasih atas segala jasa beliau kepada badan kehakiman, khususnya dalam memimpin Mahkamah Rayuan," katanya.
Najib juga berkata Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib berkata Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal. Perdana Menteri berkata semua pelantikan berkuat kuasa 12 September ini.
"Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Zaki Tun Azmi di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara, khususnya dalam mentransformasikan badan kehakiman sehingga berjaya mengurangkan kes-kes tertunggak di semua peringkat mahkamah, demi memberi keadilan yang pantas kepada semua pihak.
"Saya juga memaklumkan persaraan awal Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun yang telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
"Kerajaan amat berterima kasih atas segala jasa beliau kepada badan kehakiman, khususnya dalam memimpin Mahkamah Rayuan," katanya.
Najib juga berkata Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan. - BERNAMA
Saturday, August 27, 2011
Dr Tony Tan Presiden baru Singapura
2011/08/28
SINGAPURA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Tony Tan Keng Yam menjadi presiden ketujuh republik ini, memenangi pertandingan empat penjuru itu dengan 7,269 undi atau perbezaan 0.34 peratus selepas kiraan semula undi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yam Ah Mee mengumumkan keputusan itu pada awal pagi ini selepas beliau membenarkan kiraan semula undi berikutan perbezaan jumlah undi antara dua calon utama adalah kurang dua peratus daripada jumlah undi yang sah. Keng Yam memperoleh 744,397 atau 35.19 peratus daripada jumlah undi yang sah manakala Dr Tan Cheng Bock mendapat 737,128 undi atau 34.85 peratus. Tan Jee Say meraih 529,732 undi atau 25.04 peratus dan Tan Kin Lian mendapat 103,931 undi atau 4.91 peratus.
Ini adalah kali pertama Singapura menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan presiden.
Ia juga julung kalinya menyaksikan pertandingan dalam Pilihan Raya Presiden sejak 1993.
Presiden ialah ketua negara dan memegang jawatan itu bagi tempoh penggal enam tahun. - BERNAMA
Saturday, August 20, 2011
‘Kerusi panas’ Peguam Negara
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

TAN SRI ABDUL GANI PATAIL
--------------------------------------------------------------------------------
BEBERAPA jawatan pegawai perkhidmatan awam memang merupakan ‘jawatan panas’ sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 54 tahun lalu.
Selain ketua-ketua di jabatan keselamatan, kesihatan dan kebajikan yang sentiasa ‘panas punggung’, individu yang berani memegang jawatan Peguam Negara juga sentiasa tidak senang duduk terutama dalam menghadapi kes-kes kontroversi yang menjadi tumpuan ramai.
Sejak sebelum merdeka lagi Malaysia telah mempunyai Peguam Negara sendiri tetapi jawatan itu diisi oleh wakil British di Tanah Melayu.
Antara 1955 hingga 1959, jawatan itu disandang oleh Thomas Vernor Alexander Brodi yang kemudian digantikan Tan Sri Cecil M. Sheridan sehingga 1963.
Tahun gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia pada 1963 akhirnya menyaksikan pelantikan Peguam Negara Melayu yang pertama, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang memegang jawatan itu selama 14 tahun sehingga 1977.
Jawatan itu kemudian diserahkan kepada Tan Sri Hamzah Abu Samah (1977-1980), Tan Sri Abu Talib Othman (1980-1993) dan Tan Sri Mohtar Abdullah dari 1994 hingga 2000.
Kedatangan abad ke-21 turut menyaksikan rekod baharu apabila jawatan panas Peguam Negara buat kali pertamanya disandang seorang wanita, Datuk Seri Ainum Mohd. Saaid pada 1 Januari 2001.
Malangnya, beliau terpaksa meletak jawatan selepas hanya satu tahun berkhidmat atas faktor kesihatan sebelum digantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang memulakan tugas pada 1 Januari 2002 sehingga kini.
Merupakan antara sebilangan kecil penjawat awam yang dilantik terus oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara bertindak selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan yang memerintah.
Ini termasuk menggunakan kuasa dan budi bicaranya untuk menerus, menjalankan atau menghentikan sebarang pendakwaan di mahkamah kecuali di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.
Sudah pasti keputusan sama ada untuk mendakwa atau tidak, dan juga bila untuk mendakwa akan mengundang tentangan dan sokongan daripada pelbagai pihak.
Ini jelas apabila Abdul Gani yang kini duduk di kerusi panas itu menerima tekanan umum dan juga orang kenamaan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan segera ke atas peserta dan penganjur perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu terutama sekali Pengerusinya, Datuk S. Ambiga.
Kerusi itu juga terus membakar berikutan tekanan orang ramai yang kecewa pendakwaan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerap tertangguh atau sengaja ditangguhkan.
Kes berprofil tinggi seperti kes Anwar itu juga didakwa bermotifkan politik selepas pendakwaan serupa dibuat terhadapnya pada 1998 dan kini merupakan antara kes paling banyak penangguhan direkodkan atas pelbagai faktor dan alasan.
Itupun belum lagi bara kepanasan kes kematian mengejut Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah serta Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba dipolitikkan pihak tertentu dapat diredakan.
Abdul Gani juga mungkin pernah ‘terbakar’ akibat bahang kontroversi kes rakaman mangsa ketuk ketampi dalam keadaan bogel di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 2005.
Kes itu bukan sahaja dimainkan ahli politik pembangkang sebagai wanita Cina tetapi kemudian terbukti sebagai wanita Melayu, malahan mangsa rakaman itu bertindak menyaman kembali polis dan kerajaan.
Mengetuai pasukan pendakwaan dalam beberapa kes berprofil tinggi sebelum menyandang jawatan Peguam Negara, Abdul Gani tentu memahami bebanan yang perlu dihadapi mana-mana individu yang berani duduk di kerusi panas itu.
Mohtar yang memegang jawatan itu dari 1994 hingga 2000 juga terpaksa berhadapan cabaran besar dengan kes Anwar di pertengahan tempoh pelantikannya yang heboh diperkatakan seluruh dunia sepanjang 1998.
Sebelum itu, beliau terpaksa berhadapan dengan kes rasuah bola sepak Liga Perdana sekitar Januari 1995, di samping usaha mewartakan fatwa pengharaman Al-Arqam sebagai satu undang-undang sekitar Ogos 1994.
Mohtar mengakhiri tempoh pelantikannya dalam menguruskan kes pendakwaan 29 anggota kumpulan Al-Ma‘unah pada penghujung tahun 2000 selepas anggota kumpulan itu ditahan di Bukit Jenalek, Sauk, Kuala Kangsar, Perak sekitar bulan Julai tahun yang sama.
Tuduhan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba menggulingkan kerajaan terhadap anggota kumpulan itu berlarutan sehingga selepas persaraan beliau.
Sebelum zaman Mohtar, jawatan Peguam Negara disandang Abu Talib selama 13 tahun antara 1980 hingga 1993.
Beliau turut merasa bahangnya melalui beberapa kes besar termasuk skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) berjumlah RM2.5 bilion sekitar Mac 1986 yang turut melibatkan pihak berkuasa di Hong Kong.
Beliau kemudian berhadapan kes permohonan habeas corpus 16 penduduk Kampung Memali pada Mei 1986 yang menyaksikan beliau memohon Hakim Mustapha Hussein dilucutkan kelayakan mendengar permohonan tersebut, seterusnya menyebabkan Abu Talib didakwa menghina mahkamah oleh Majlis Peguam.
Abu Talib turut menyelar Perdana Menteri Australia ketika itu, Bob Hawke pada Julai 1986 berikutan pemimpin itu mengatakan hukuman gantung sampai mati terhadap dua warganegaranya di Malaysia selepas didapati bersalah memiliki dadah sebagai suatu perbuatan ganas (barbaric).
Pada Mac 1987, beliau mengendalikan antara kes paling besar yang pernah diletakkan di bawah tanggungjawabnya melibatkan pendakwaan beberapa individu dalam kes peras ugut Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Individu yang didakwa dalam kes tersebut turut direkod mendakwa aktiviti mereka didalangi sebuah pergerakan beribu pejabat di Kuala Lumpur yang mempunyai bilik merakam perbualan telefon para pemimpin negara.
Bagi Hamzah yang dilantik sebagai Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara antara 1977 hingga 1980 pula, bahang kerusinya dirasai ketika pembentangan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979 pada Januari 1979.
Tindakan itu diambil berikutan keputusan Majlis Privy mengenepikan hukuman mati ke atas penjenayah, Botak Chin yang dituduh di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memiliki senjata api dan bom tangan dalam kawasan keselamatan.
Pada Jun 1980, beliau turut menolak saranan hukuman mati atas kesalahan-kesalahan khusus di bawah ISA diubah kepada penjara seumur hidup sebelum mengambil keputusan bersara pada September tahun sama atas faktor kesihatan.
Secara umumnya, penyandang jawatan Peguam Negara pasti tidak akan terlepas merasa tekanan menguruskan satu atau lebih kes kontroversi yang boleh mengundang kemarahan rakyat dan individu kenamaan.
Maka, hanya mereka yang benar-benar mampu dan berani sahaja boleh duduk di kerusi ‘berapi’ yang mampu membakar tuannya sendiri itu.
Subscribe to:
Posts (Atom)