Monday, November 1, 2010

Minda Pengarang: Orang Melayu perlu cari titik persamaan demi perpaduan bangsa, agama

2010/11/01
PERINGATAN Raja-Raja Melayu agar tiada lagi mana-mana pihak mempersoalkan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang menjadi asas permuafakatan kaum di negara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Majlis Raja-Raja Melayu, pastinya melahirkan kegusaran itu, selepas mengambil kira perkembangan terkini suasana politik semasa, terutama apabila ada pihak yang berani mencabar Perlembagaan Persekutuan. Kebimbangan Raja-Raja Melayu itu ditambah pula dengan tindakan kumpulan ini yang sanggup memainkan isu perkauman bagi tujuan politik sempit mereka. Mereka seperti dengan sengaja mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, terutama membabitkan hak dan keistimewaan orang Melayu. Semestinya, bagi setiap lapisan rakyat yang cintakan keamanan dan mementingkan perpaduan kaum yang sudah lama terjalin di negara ini, tindakan kumpulan tidak bertanggungjawab ini yang mahu bermain dengan api perlu ditolak sepenuhnya. Majlis Raja-Raja Melayu yang bermesyuarat bagi kali ke-222 di Istana Negara baru-baru ini, sudah mengisytiharkan akan tetap berpegang teguh kepada kontrak sosial itu, sebagai satu semangat permuafakatan serta persefahaman antara kaum dengan persetujuan Raja-Raja Melayu. Kontrak sosial adalah watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil. Sebagai rakyat Malaysia yang taat dan patuh kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara, sewajarnya kita akur dengan nasihat Raja-Raja Melayu itu. Majlis Raja-Raja Melayu adalah benteng penting dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Tiada sesiapa, mahupun parti politik yang berkuasa boleh meminda mana-mana artikel dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

Sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan di negara ini jelas memberi banyak kebaikan dan manfaat kepada rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. Raja-Raja Melayu adalah umpama payung yang memayungi sekalian rakyat tanpa mengira kaum bagi menikmati kemakmuran dan kesejahteraan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, kita tidak menolak ada pihak yang kurang senang dengan sistem kita amalkan sejak merdeka ini dan cuba meruntuhkan sistem sedia ada bagi meraih kuasa politik. Oleh itu, menjadi tugas kita bersama untuk mempertahankan sistem yang ada daripada sebarang ancaman sama ada dari dalam, mahupun pihak luar demi memastikan negara kita terus aman dan makmur. Pada masa sama, Raja-Raja Melayu juga sedar bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana pendirian dan fahaman politik yang berbeza-beza menjadikan mereka lemah. Akibatnya, orang Melayu mudah diperkotak-katikkan. Mereka ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan dan terpinggir daripada arus pembangunan negara. Orang Melayu sepatutnya menjadikan ajaran Islam sebagai teras perpaduan dan pengukuhan tali silaturahim sesama mereka. Persoalannya, sampai bilakah pemimpin dan pertubuhan Melayu di negara ini akan terus bertelagah? Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama sama ada pada peringkat nasional atau negeri pemerintahan masing-masing. Oleh itu, pertubuhan Melayu, termasuk politik di negara ini, seharusnya menerima nasihat Raja-Raja Melayu sejajar kehendak Islam untuk mencari titik persamaan demi perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Friday, October 29, 2010

Keluarga Sosilawati fail saman RM40j terhadap peguam

29/10/2010 7:07pm

KUALA LUMPUR 29 Okt - Keluarga Datuk Sosilawati Lawiya akan memfailkan saman RM40 juta terhadap peguam N. Pathmanabhan dan lima lagi tertuduh kerana didakwa menyebabkan kematian jutawan kosmetik itu secara salah.
Menurut satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh firma guaman, Kamarudin & Partners di sini hari ini, saman tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada pukul 10 pagi, Selasa ini.
Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, 41, bersama tiga pekerja ladangnya didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat, Selangor atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga rakannya.
Tiga hari kemudian, dua pekerja ladang yang sama, U. Suresh dan K. Sarawanan dihukum penjara tujuh tahun di mahkamah tersebut setelah mereka mengaku bersalah menghapuskan mayat dengan cara membakar keempat-empat mangsa terbabit.
Dalam kejadian tersebut, Sosilawati, 47, mati dibunuh pada 30 Ogos lalu bersama pemandunya, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38. - Utusan

Wednesday, October 27, 2010

Lelaki tikam 32 kali dipenjara 20 tahun




2010/10/27


RAHIM dikawal anggota polis dibawa keluar selepas dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.KOTA BHARU: Seorang pemuda dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi semalam, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang wanita dengan menikamnya sebanyak 32 kali di Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, empat tahun lalu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kampung, Rahim Ngah, 33, selepas pihak pendakwa meminda tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama. Tertuduh dituduh dengan niat mencederakan Norazlina Awang, 31, sehingga menyebabkan kematiannya di sebuah rumah bernombor 1003, Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, antara jam 8 hingga 9 pagi, pada 14 September 2006. Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, perbuatan yang dilakukan tertuduh berat kerana menyebabkan kematian selain mengambil kira serangan yang dilakukan terhadap mangsa dahsyat serta kejam.

“Mangsa ditikam sebanyak 32 kali dan saya tidak boleh bayangkan seksanya mangsa meninggal dunia dan sepanjang kerjaya saya sebagai hakim, ini adalah kes jenayah paling kejam pernah saya hakimi.

“Mangsa seorang perempuan yang tidak boleh mempertahankan diri dan lebih menyayat hati ia dilakukan di depan anak mangsa yang ketika itu berusia hampir setahun. Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum 20 tahun dari tarikh ditangkap dan kamu (tertuduh) bernasib baik tidak menerima hukuman gantung sampai mati selepas hukuman dipinda ke hukuman membunuh tanpa niat,” katanya.

Dalam prosiding semalam, pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anwar Wahab, manakala D Dorairaj mewakili tertuduh.
Sebelum itu, Dorairaj dalam rayuannya meminta supaya diberi pertimbangan terhadap hukuman yang dikenakan dan anak guamnya bersedia menerima hukuman dari tarikh ditangkap.

Khairul Anwar membantah permohonan dengan meminta supaya mahkamah memberikan hukuman yang mencerminkan pihak kehakiman mengambil berat perbuatan itu.

Friday, October 22, 2010

'Pindaan Perlembagaan hanya dengan kelulusan Majlis Raja-Raja'

2010/10/22


Dr Shamrahayu Abdul AzizKUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya membabitkan kedudukan Melayu hanya boleh dibuat dengan kelulusan Majlis Raja-Raja walaupun memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz (kanan), berkata sebarang pindaan membabitkan kedudukan Melayu, termasuk Perkara 153 yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan dua pertiga majoriti pada bacaan kali kedua dan ketiga. “Selepas itu, pindaan berkenaan perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja berdasarkan peruntukan Perkara 38 (Majlis Raja-Raja) Fasal 4 dan Fasal 5 dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. Fasal 4, Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan menyebut: “Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Fasal 5, Perkara 38 pula menyebut: “Majlis Raja-Raja perlu dirujuk sebelum membuat apa-apa perubahan mengenai dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153”.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyentuh perizaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu.

Beliau mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengenai kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera hanya boleh dipinda selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang dianggotai sembilan Raja Melayu walaupun mendapat dua pertiga majoriti di Parlimen.
Shamrahayu menjelaskan pindaan kepada undang-undang dan perlembagaan di Parlimen boleh dilakukan melalui empat cara iaitu dengan mendapat majoriti mudah di Parlimen, majoriti dua pertiga, majoriti dua pertiga dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri/Gabenor Sabah dan Sarawak (pindaan membabitkan negeri terbabit) dan majoriti dua pertiga dengan kelulusan Majlis Raja-Raja bagi pindaan membabitkan kedudukan Melayu

Sunday, October 10, 2010

Ujian pertama diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016

FORMAT baru Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diganti penilaian sekolah, akan diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, rundingan meja bulat terakhir mengenai pelaksanaan UPSR dan PMR bersetuju UPSR dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala PMR diganti penilaian sekolah. “Sistem pendidikan ini ada putarannya. Kalau anak kita belajar sekarang, takkanlah tahun depan tiba-tiba (belajar) dengan sistem baru, dia akan menanggung beban, susah esok pada dia.

“Tapi kohort (kumpulan) yang baru mungkin akan masuk 2011 dan ujian pertama (diadakan) pada 2016. Pada waktu itu, kita akan adakan UPSR baru dan PMR dalam bentuk penilaian sekolah,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di bandar raya ini, semalam.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan berangkat ke Melbourne bagi menghadiri beberapa acara termasuk perasmian Dewan Malaysia Melbourne.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementerian.
Beliau berkata, antara perubahan dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.

“Bagi UPSR, maknanya walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, tapi bentuk dan formatnya agak berbeza. Ini dikatakan penambahbaikan yang kita akan lakukan.

“Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tetapi Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah,” katanya.

Muhyiddin berkata, proses transformasi membabitkan penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR memerlukan tempoh enam tahun untuk disiapkan mengambil kira semua aspek dalam sistem pendidikan itu.

“Saya fikir dalam tempoh seminggu dua ini apabila selesai dan laporan lengkap (diterima), kita akan maklumkan secara muktamad (proses penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR),” katanya.

Monday, October 4, 2010

Majistret dipenjara enam tahun

Oleh Norliza Wasilan

2010/10/04
Didenda RM40,000 selepas didapati bersalah minta dua suapan RM8,000

KOTA BHARU: Seorang majistret dihukum penjara enam tahun dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana terbabit dalam dua kes rasuah membabitkan RM8,000.

Hakim, Sabariah Othman, ketika menjatuhkan hukuman bagi pertuduhan pertama menetapkan tertuduh, Mohd Firdaus Ramlan, 28, dipenjara tiga tahun serta denda RM15,000 dan jika gagal membayarnya, boleh dikenakan penjara 12 bulan. Beliau juga menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan denda RM25,000 bagi pertuduhan kedua atau penjara 18 bulan jika gagal membayarnya kepada Mohd Firdaus. Hukuman penjara berjalan serentak mulai semalam. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperoleh rasuah wang tunai RM3,000 daripada Md Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang, kira-kira jam 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu, sebagai dorongan melepaskan lelaki itu daripada kesalahan jenayah dilakukannya.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Firdaus didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Md Shani atas tujuan sama di Bilik Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai di sini, 6 Oktober lalu.

Tuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Ketika prosiding semalam, Mohd Firdaus diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed, manakala SPRM oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa.

Abdul Razak dalam hujahnya, memohon mahkamah memberi keputusan sewajarnya dan tidak bersimpati kepada tertuduh, selain perlu mengambil kira keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman.

Selepas hakim membuat keputusan, Sukri memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sabariah kemudian membenarkan permohonan itu tetapi memerintahkan denda RM40,000 dibayar dalam tempoh tiga bulan.

"Hukuman denda ditangguh tiga bulan dan tertuduh perlu membayar jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin," katanya.

Tuesday, September 28, 2010

Penghakiman tidak sah - Karpal

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 27 Sept. - Buat pertama kali dalam sejarah perundangan, Mahkamah Persekutuan diminta mengisytiharkan bahawa semua penghakiman kes sivil dan jenayah yang ditulis dalam bahasa Inggeris, sebagai tidak sah dan terbatal kerana melanggar Perlembagaan.
Ia berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) yang mewajibkan semua prosiding (selain pemberian keterangan oleh saksi) dijalankan dalam bahasa kebangsaan.
Sehubungan itu, mahkamah akan memutuskan keputusan penting itu pada satu tarikh lain sama ada semua penghakiman bermula dari peringkat perbicaraan hingga rayuan, ditulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia.
Ia akan diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar.
Pertikaian berhubung penggunaan bahasa Inggeris dalam penghakiman bertulis dibangkitkan hari ini ketika mahkamah mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan saman malunya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Terdahulu, peguam Karpal Singh (gambar) yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhujah, keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Oktober tahun lalu tidak sah dan tiada kesan kerana penghakimannya ditulis dalam bahasa Inggeris.
Peguam bela menghujahkan, tindakan hakim Mahkamah Rayuan itu secara terang-terangan bercanggah dengan perlembagaan sedangkan beliau sepatutnya lebih arif dan menyedari perkara tersebut.
Sehubungan itu, menurut Karpal, panel berkenaan sewajarnya mengarahkan Mahkamah Rayuan menulis penghakiman dalam bahasa kebangsaan.
''Oleh kerana penghakiman tersebut tidak sah, saman malu Ketua Pembangkang itu terhadap Dr. Mahathir harus dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan,'' ujar Karpal.
Bagaimanapun, Datuk V.K. Lingam yang mewakili Dr. Mahathir memohon agar bantahan awal itu ditolak kerana Karpal sepatutnya menghujahkan persoalan undang- undang yang spesifik bagi menyokong permohonannya mendapatkan kebenaran merayu.
Menurut Lingam, isu pertikaian bahasa perlu dikemukakan melalui permohonan berbeza dengan memfailkan afidavit tertentu bagi menyokongnya.
Selain itu, peguam bela menyatakan, Mahkamah Rayuan sudah memberi kelonggaran kepada Karpal untuk berhujah dalam bahasa Inggeris atas permintaannya dan tidak sepatutnya penggunaan bahasa pula dipertikaikan oleh peguam bela berkenaan.
''Panel ini tidak harus membenarkan bantahan awal tersebut kerana ia akan mengundang prinsip undang- undang yang tidak betul,'' hujah Lingam.
Sementara itu di luar mahkamah, Karpal memberitahu pemberita, pertikaian mengenai tindakan hakim menulis penghakiman dalam bahasa Inggeris merupakan isu undang-undang baru yang belum pernah dibangkitkan sejak kemerdekaan.
Justeru, beliau mencadangkan agar semua penghakiman mahkamah ditangguhkan sehingga Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan terhadap bantahan awal tersebut.
''Saya bukannya menentang penggunaan bahasa Inggeris (di mahkamah) tetapi kesan terhadap keputusan itu penting melainkan terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan penghakiman ditulis dalam bahasa itu,'' ujar Karpal.
Anwar memohon kebenaran merayu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri mengetepikan saman malu RM100 juta terhadapnya kerana didakwa memanggil beliau 'homoseksual'.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak dalam penghakimannya menyatakan, Perkara 152 dibaca bersama Seksyen 8 menghendaki semua prosiding (selain keterangan saksi) dijalankan dalam bahasa kebangsaan melainkan jika mahkamah memberi pertimbangan agar sebahagiannya dijalankan dalam bahasa Inggeris.
Dalam penghakiman bertulis bertarikh 2 November tahun lalu, Hakim Abdul Malik menyatakan, kegagalan mengemukakan memorandum rayuan dalam bahasa Malaysia menjadikan rekod rayuan Anwar cacat dan menyebabkan rayuannya diketepikan.
Pada 4 Julai 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman malu Anwar dengan kos setelah berpendapat, saman tersebut tidak dapat dikekalkan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.