Tuesday, November 4, 2008

Tiada penyelewengan

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.

‘‘Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter itu sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.

Azmi menjelaskan, sebelum ini sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.

‘‘Kementerian Kewangan telah membuat perakuan untuk memilih Eurocopter pada harga RM1.604 bilion walaupun terdapat sebuah syarikat lain yang menawar kos lebih rendah.

‘‘Ini kerana pengalaman kita mendapati wujud peraturan ketat oleh negara syarikat itu berasal sekiranya kita ingin menaik taraf helikopter yang dibeli,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, skop penilaian oleh PAC hanya melibatkan harga yang ditawar ketika tender dan tidak dapat mencadangkan harga terbaik yang sepatutnya dibeli berdasarkan perbandingan dengan negara lain kerana pakej Eurocopter mempunyai harga berbeza mengikut keperluan tentera negara terbabit.

Dalam pada itu, Azmi berkata, PAC kurang senang kerana tiada penilaian fizikal dilakukan terhadap helikopter yang bakal dibeli sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.

‘‘Kita juga mengambil berat akan hakikat bahawa jika dilewatkan pembelian Eurocopter, harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan sehingga Februari 2009. Selepas itu rundingan harga baru perlu dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, PAC juga memandang serius tentang kelewatan untuk mendapatkan helikopter baru kerana ia akan menyebabkan Nuri yang telah berusia 42 tahun terpaksa diguna sehingga tahun 2015.

‘‘Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan rakyat berikutan 10 buah Nuri telah terhempas dan mengorbankan 95 orang.

‘‘Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat perakuan Nuri boleh dipakai sehingga 20 tahun lagi, kita berpendapat perlu dilakukan proses naik taraf bagi membolehkan ia beroperasi pada waktu malam dan mempunyai sistem pemanduan automatik ketika operasi menyelamat,” ujarnya.

Bagi menjamin tidak wujud sebarang kelemahan daripada segi penilaian teknikal, tambahnya, PAC telah mendapat perakuan Kementerian Pertahanan dan TUDM untuk mewujudkan pangkalan data yang merekodkan masalah yang timbul dalam pembelian terdahulu termasuk pesawat pejuang Skyhawk dan kereta perisai Scorpion sebagai rujukan.

Kata beliau, pihaknya juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan panel penilai bebas di semua kementerian untuk memantau segala pembelian yang besar dan menggunakan wang banyak supaya rakyat berasa yakin bahawa segala perolehan dibuat dengan telus.

Menurut Azmi, PAC juga membuat keputusan untuk terus memantau proses pembelian Eurocopter kerana ia adalah kes berprofil tinggi dan akan memanggil balik pegawai berkenaan jika wujud isu-isu baru yang berbangkit.

‘‘Jika kerajaan membuat keputusan untuk membelinya, maka PAC mencadangkan kepada pihak TUDM supaya diadakan pemeriksaan rapi sebelum menerima helikopter yang sudah siap,” ujarnya.

Mengenai nilai RM1.604 bilion itu berbeza daripada jumlah terbaru yang diumumkan oleh Abdullah iaitu RM1.607 bilion pada minggu lalu, beliau menjelaskan, angka yang disebut Perdana Menteri adalah termasuk kos penghantaran helikopter tersebut.

Thursday, October 30, 2008

Suruhanjaya lantik hakim dibentang hujung tahun - PM

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rang undang-undang berhubung penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dijangka dapat dibentangkan di Parlimen menjelang hujung tahun ini.

Perdana Menteri berkata, setelah cadangan penubuhan suruhanjaya tersebut diumumkan April lalu, proses penggubalan undang-undang yang berkaitan kini sedang giat dilakukan dan perkembangannya amat positif.

''Penubuhan suruhanjaya ini bukan sahaja sekadar suatu keinginan sebaliknya ia suatu keperluan kerana sistem semasa boleh menimbulkan keraguan tentang integriti dan kewibawaan (mereka yang dilantik).

''Oleh itu, suruhanjaya ini apabila diwujudkan kelak akan mempunyai strukturnya sendiri dengan penekanan kepada ketelusan melalui proses pelantikan berdasarkan merit,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan LawAsia Ke-21 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi, Presiden LawAsia, Mah Weng Kwai dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Pada awal bulan lalu, Abdullah menyenaraikan tiga inisiatif utama yang akan dilakukannya sebelum melepaskan jawatan pada Mac depan dengan salah satu daripadanya ialah membentangkan rang undang-undang berkaitan penubuhan suruhanjaya bagi melantik hakim.

Sementara itu, Perdana Menteri mengakui wujud cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha memperkenal dan melaksanakan suruhanjaya tersebut di negara ini.

Katanya, pada masa ini pun ada pelbagai pandangan tentang bentuk fungsi serta wajah komposisi suruhanjaya itu.

''Bagaimanapun apabila kita ketepikan segala kepentingan peribadi atau pertubuhan yang diwakili, saya yakin kita mampu mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap bentuk suruhanjaya ini.

''Dan apabila suruhanjaya ini ditubuhkan kelak, terpulang kepada pihak hakim sendiri untuk menjadikan badan kehakiman sebagai satu institusi yang kita dapat banggakan.

''Dalam hal ini, saya yakin para hakim kita mampu untuk memenuhi matlamat ini,'' jelasnya.

Menurut Perdana Menteri, pelantikan Zaki sebagai Ketua Hakim Negara merupakan pilihan tepat kerana beliau dilihat sebagai individu yang mempunyai kesungguhan untuk menjayakan pembaharuan dalam badan kehakiman.

Katanya, ini dapat dilihat walaupun baru sahaja dilantik, Zaki telah menyuarakan hasratnya kepada pihak kerajaan untuk menangani masalah kes tertunggak yang merupakan satu usaha cukup baik bagi mengukuhkan keyakinan rakyat.

''Beliau memaklumkan mahu menambah bilangan mahkamah dan para hakim kerana ia pendekatan utama bagi menangani kes tertunggak.

''Walaupun permintaan itu melibatkan kewangan, namun saya di pihak kerajaan bersetuju memberi komitmen kepada apa yang diminta beliau sekalipun apa yang diminta itu melibatkan wang,'' jelasnya.

Agong serah watikah pelantikan Ketua Hakim Negara





Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan watikah pelantikan Ketua Hakim Negara kepada Zaki Tun Azmi pada istiadat menghadap dan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. -BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 29 Okt. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Sheriff dan Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria di Istana Negara di sini.

Majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Zaki, 63, anak bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Azmi Mohamed, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada September tahun lalu dan dua bulan kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Alauddin, 62, sebelum ini dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 5 September 2007 manakala Ariffin, 58, adalah Hakim Mahkamah Persekutuan sejak tahun 2006 dan berpengalaman sebagai Hakim Mahkamah Rayuan selama enam tahun sejak tahun 1996.

Dalam satu istiadat lain, Tuanku Mizan menerima watikah pelantikan daripada enam duta besar dan seorang pesuruhjaya tinggi asing.

Mereka ialah Emile Rwamasirabo (Rwanda), Marc Barety (Perancis), Tapio Kalevi Saarela (Finland), Svend Waever (Denmark), Ensar Eminovic (Bosnia and Herzegovina) dan Liu Jian (China) selain Pesuruhjaya Tinggi Papua New Guinea, Veali Vagi.

– Bernama

Mahkamah tolak saman cuai RM136 juta ke atas kerajaan

30/10/2008 4:22pm


PUTRAJAYA 30 Okt. – Kerajaan Malaysia hari ini berjaya mengenepikan saman cuai bernilai RM136 juta yang difailkan oleh 184 penternak babi dan waris mereka yang meninggal dunia akibat wabak virus Nipah 1998-1999 selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mem benarkan rayuan kerajaan dengan kos.

Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan 184 penternak babi itu.

Hakim Nik Hashim dalam penghakimannya berkata, kerugian yang dituntut oleh penternak babi berkenaan dalam saman itu adalah diakibatkan oleh penyakit virus Nipah dan kerugian itu bukan diakibatkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, tuntutan oleh penternak babi itu tidak kukuh dan dengan itu wajar ditolak.

Katanya, dalam sebarang dakwaan terhadap kerajaan, pegawai kerajaan yang Didakwa bertanggungjawab melakukan tindakan itu perlu dibuktikan sebelum kerajaan dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi tindakan itu.

Beliau berkata, tidak memadai untuk sekadar mengenal pasti pegawai itu tanpa memasukkan pegawai itu sebagai satu pihak kerana tindakannya itu perlu dibuktikan. - Bernama

Wednesday, October 29, 2008

Pemilikan ekuiti Melayu hanya 19 peratus

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Pencapaian bumiputera dalam pemilikan ekuiti syarikat senaraian awam setakat ini baru mencapai 19 peratus, jauh daripada 30 peratus yang disasarkan sewaktu Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan kerajaan pada 1970.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, sehubungan itu cadangan agar syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam dimansuhkan tidak boleh diterima sama sekali.

‘‘Sebelum mengutarakan cadangan begitu, pihak-pihak berkenaan harus mengkaji kedudukan ekonomi kaum Melayu dan bumiputera terlebih dahulu,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Meraikan Kejayaan GiatMara di sini hari ini.

Beliau menambah, syarikat bukan bumiputera yang sebenarnya tidak bekerjasama dengan usahawan bumiputera demi kepentingan perniagaan mereka.

‘‘Sebagai contoh, beberapa bulan lalu kementerian saya telah berusaha mempertemukan 260 syarikat bukan bumiputera yang belum mempunyai 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dengan para usahawan bumiputera,” jelasnya.

Namun, katanya, daripada 260 syarikat bukan bumiputera yang dijemput, hanya enam syarikat yang menghadirinya dan program mempertemukan ahli-ahli perniagaan itu disifatkan sebagai gagal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai semalam, yang meminta kerajaan menarik balik syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

Tiong Lai berkata, merit atau daya saing sesuatu syarikat itu yang perlu diberikan keutamaan dan bukannya persoalan berkaitan ekuiti bumiputera.

Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang sengaja mahu menyentuh hak Melayu dan bumiputera demi kepentingan politik mereka.

‘‘Justeru, isu sensitif sebegitu tidak perlu dikemukakan sekarang kerana masalah krisis ekonomi global bukan hanya melanda negara baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar penekanan diberikan terhadap aspek mewujudkan kerjasama yang jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di negara ini.

Tegasnya, dalam memastikan hak Melayu dan bumiputera terjamin seperti dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan BN tidak pernah menafikan hak kaum bukan bumiputera.

Malahan sebagai contoh, katanya, GiatMara telah menerima ribuan pelajar kaum India sungguhpun penubuhan Mara dikhususkan untuk membantu Melayu dan bumiputera.

Dr. Mahathir tidak setuju hapus ekuiti bumiputera

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam tidak boleh dihapuskan sekarang kerana penghapusannya belum tentu menjamin daya saing syarikat-syarikat tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai bahawa penghapusan pegangan ekuiti itu akan memastikan daya saing syarikat berkenaan.

Katanya, apabila sudah mencapai matlamat ekuiti pemilikan 30 peratus bumiputera, maka ketika itu bolehlah syarat tersebut dimansuhkan.

''Kalau sudah tercapai matlamat, ekuiti itu patut kita hapuskan. Sekarang belum tercapai. Banyak lagi nak kena buat. Kalau 20 peratus hari ini tidak berkembang, sedangkan ekonomi berkembang 20 peratus, itu akan kurang, jadi ini semua kena ambil kira.

''Kalau kita sudah capai, kita hapuslah, belum capai tak boleh. Walaupun kita boleh ubah tapi matlamat kita kena jaga. Saya fikir waktu ini tak bolehlah. Bukan masa nak buat penyesuaian apa-apa pun, dunia sedang huru-hara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, sekiranya hak bumiputera mahu dikurangkan kepada 20 peratus maka hak bukan bumiputera seharusnya diturunkan juga.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pertikaian hak-hak istimewa orang Melayu, beliau berkata, orang selalu bercakap tentang hak keistimewaan Melayu tetapi lupa bahawa orang bukan Melayu juga ada hak mereka.

''Ya, kita selalu cakap. Tetapi orang bukan Melayu ada hak juga. Kalau ambil hak Melayu, maka kena ambil hak bukan Melayu. Kita kena cakap secara rasional, jangan tumpu satu pihak sahaja," ujarnya.

Mengulas sama ada wujud perpecahan berikutan pertandingan antara anak beliau, Datuk Mukhriz dan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, Dr. Mahathir berkata, tidak bermakna dengan adanya pertandingan maka timbul juga perpecahan.

Agong serah watikah pelantikan Ketua Hakim Negara

29/10/2008 5:40pm


KUALA LUMPUR 29 Okt — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Sheriff dan Hakim Besar Malaya Datuk Ariffin Zakaria, di Istana Negara di sini.


Majlis dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.


Zaki, 63, anak bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Azmi Mohamed, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada September tahun lalu dan dua bulan kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Alauddin, 62, sebelum ini dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 5 Sept 2007 manakala Ariffin, 58, adalah Hakim Mahkamah Persekutuan sejak tahun 2006 dan berpengalaman sebagai Hakim Mahkamah Rayuan selama enam tahun sejak tahun 1996. - Bernama