Sunday, January 6, 2008

Koperal polis terima suapan dipenjara

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Seorang anggota polis berpangkat koperal dihukum penjara tiga tahun dan denda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan suapan RM1,000, enam tahun lalu.

Hakim Nursinah Adzmi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM25,000 terhadap Abdul Rahman Baba, 45, bagi tuduhan meminta wang suapan.

Beliau memerintahkan tertuduh dihukum penjara tambahan 10 bulan jika gagal membayar denda.

Abdul Rahman juga dihukum penjara masing-masing tiga tahun dan denda RM10,000 bagi tuduhan kedua dan ketiga iaitu bersetuju dan menerima rasuah atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara dijalankan secara serentak.

Nursinah di dalam penghakiman ringkasnya berkata, walau tertuduh mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan serta tidak mempunyai sabitan lampau, namun kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Katanya, alasan RM1,000 sebagai ganti rugi berikutan kecederaan yang dialami tertuduh juga tidak dapat diterima kerana dalam masa yang sama dia gagal mengeluarkan saman kepada pengadu yang jelas melanggar undang-undang lalu lintas.

Beliau membenarkan permohonan peguam tertuduh, Dr. Radzuan Ibrahim untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Nursinah memerintahkan tertuduh membayar denda hari ini selain jumlah ikat jamin ditingkatkan dari RM3,000 kepada RM6,000.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa meminta suapan RM5,000 daripada pengadu, Mohd. Hafizi Mohd. Hakim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didakwa melakukan kesalahan lalu lintas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Balai Polis Tun H. S. Lee, di sini pada kira-kira pukul 6.30 petang, 11 Disember 2001.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima suapan RM1,000 bagi tujuan tersebut di tempat serta tarikh yang sama pada kira-kira pukul 7.30 malam.

Abdul Rahman turut didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Mohd Hafizi melalui rakan sekerjanya, Lans Koperal Husin Abdul Rahman pada kira-kira pukul 1.30 petang, 14 Disember 2001.

Dia didakwa di bawah Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama bagi setiap pertuduhan.

Mohon injunksi halang MAIWP tuntut mayat isteri

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Seorang pengurus pusat snuker hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi sementara untuk menghalang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menuntut mayat isterinya yang meninggal dunia Ahad lalu.

Ngiam Tee Kong, 52, turut memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), ejen atau kakitangannya daripada menyerahkan mayat Mong Sau Lan, 53, kepada MAIWP.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan oleh beliau melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau turut memfailkan writ saman dan surat perakuan segera bagi membolehkan permohonan tersebut didengar secepat mungkin.

Permohonan tersebut dijadual didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Lau Bee Lan, esok.

Dalam writ saman tersebut, Tee Kong selaku plaintif menamakan HUKM defendan pertama dan MAIWP defendan kedua.

Melalui pernyataan tuntutannya, Tee Kong mendakwa, Sau Lan meninggal dunia pada 30 Disember tahun lalu dan mayatnya kini masih berada di bilik mayat HUKM.

Beliau mendakwa, mereka berkahwin pada tahun 1979 di Pendaftaran Sivil, Petaling Jaya dan sebelum meninggal dunia, isterinya itu mengamalkan ajaran agama Kristian.

Dakwanya, beliau telah menuntut mayat isterinya dari HUKM tetapi dimaklumkan bahawa mayat tersebut hanya akan diserahkan kepadanya jika beliau mengesahkan bahawa isterinya merupakan seorang beragama Islam semasa meninggal dunia.

Beliau turut dimaklumkan bahawa penyerahan mayat itu kepadanya bertujuan mengadakan upacara sembahyang Kristian dan selepas itu mayat tersebut harus dikembalikan kepada MAIWP bagi tujuan pengebumian secara Islam.

Plaintif mendakwa, beliau enggan mematuhi permintaan tersebut dan menuntut mayat isterinya diserahkan kepadanya sebagai suami yang sah kepada Sau Lan tetapi defendan-defendan tidak bersetuju dengan permintaannya itu.

Katanya, pada 31 Disember tahun lalu, beliau telah diserahkan surat ‘Perakuan Masuk Islam’ isterinya di bawah kuasa Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang bertarikh 31 Disember 2007.

Mengikut surat itu, katanya, isterinya telah memeluk agama Islam pada pukul 10.45 pagi, 24 Disember tahun lalu di sebuah rumah di Flat Sri Melaka, Cheras dan didaftarkan di jabatan tersebut pada 31 Disember lalu.

Tee Kong mendakwa, perakuan masuk Islam tersebut tidak mengikut kuasa yang sah menurut undang-undang bagi mengesahkan isterinya telah memeluk agama Islam apatah lagi ia tidak menyatakan nama Islam wanita itu.

Beliau turut mendakwa pendaftaran pemelukan agama Islam yang dilakukan oleh isterinya selepas meninggal dunia adalah tidak mengikut peruntukan-peruntukan Seksyen 89(1) Akta Pengurusan Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Saturday, December 29, 2007

Heroin: Budak 16 tahun hadapi tuduhan hukuman mati

Oleh: NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin di kawasan kediamannya kira- kira dua minggu lalu.

Tertuduh yang dikatakan tidak bersekolah itu hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid.

Tiada sebarang pengakuan diambil daripada tertuduh.

Remaja yang tinggal di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng di sini didakwa mengedar 13 paket lutsinar mengandungi heroin seberat 25 gram di hadapan flat itu kira-kira pukul 5 petang, 16 Disember lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Dia turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas tuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine atau syabu ke dalam badan di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arifin Hisham memohon satu tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia.

Mahkamah menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Thursday, December 27, 2007

Peguam dipercayai seleweng wang pelanggan RM746,000 ditahan

JOHOR BAHRU 26 Dis. – Polis menahan seorang peguam yang dipercayai melakukan pecah amanah wang RM746,000 milik tujuh pelanggannya terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Wang milik mangsa itu sepatutnya diserahkan kepada pemaju perumahan bagi pembelian rumah lapan tahun lalu.

Polis percaya suspek yang berusia 41 tahun itu turut terlibat dalam kes yang sama di Kuala Lumpur sebelum ini.

Peguam itu diberkas di rumahnya di Pontian pada Ahad lalu dan kini ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Nasbah Jusoh berkata, siasatan mendapati peguam berkenaan disyaki menyeleweng wang milik ketujuh-tujuh pelanggannya itu dari 1999 hingga 2001.

“Kes itu melibatkan wang pinjaman perumahan kakitangan kerajaan terbabit yang diserahkan kepada peguam berkenaan selaku panel guaman syarikat pemaju perumahan berkaitan,” kata Nasbah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya: “Peguam itu diberkas kerana gagal menyerahkan wang pinjaman pelanggannya kepada syarikat pemaju perumahan terbabit.”

Menurut Nasbah, semua mangsa dalam kes itu adalah rakyat negeri ini termasuk seorang pesara polis.

Beliau menambah, berikutan terdapat maklumat bahawa peguam itu turut disyaki melakukan kesalahan yang sama di negeri lain terutama di Kuala Lumpur, polis kini memperluaskan siasatan terhadapnya.

Beliau berkata, polis sedang meneliti setakat mana penglibatannya dalam kes-kes pecah amanah selain kes yang membabitkan tujuh pelanggan di Johor itu.

“Kita ada maklumat tentang kemungkinan suspek terlibat dalam pecah amanah di Kuala Lumpur, jadi kita sedang siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi menahan mana-mana individu lain yang berkemungkinan turut bersubahat dalam kegiatan pecah amanah tersebut.

“Selain soal siasat terhadap suspek, kita mungkin akan mengambil keterangan saksi-saksi termasuk pegawai syarikat pemaju perumahan selain mangsa-mangsa,” ujarnya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Thursday, December 6, 2007

Pilihan raya Malaysia bebas

Kajian dua badan antarabangsa dapati rakyat yakin proses pengundian adil

KUALA LUMPUR: Satu kajian oleh dua badan antarabangsa mendapati proses pilihan raya di Malaysia paling bebas dan adil di kalangan negara Asia.

Hasil kaji selidik oleh TNS dan Gallup International mendapati rakyat negara ini bukan saja antara penyokong kuat demokrasi di Asia, malah mempunyai keyakinan paling tinggi bahawa pilihan raya yang dijalankan di Malaysia adalah bebas dan adil.

Kajian itu dijalankan antara Jun hingga Ogos lalu membabitkan 60,000 rakyat di 56 negara Asia. Di Malaysia, kajian yang dilaksanakan secara bersemuka itu bermula dari 2 Julai hingga 5 Ogos lalu membabitkan 1,250 penduduk bandar di Semenanjung.



Dalam jawapan berhubung soalan sama ada pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil, Malaysia mencatat 74 peratus, manakala 69 peratus menyatakan negara ini ditadbir mengikut kemahuan rakyat.

Kedua-dua peratusan itu adalah yang tertinggi dalam senarai 10 negara Asia. Singapura masing-masing mencatat 66 peratus dan 47 peratus, Indonesia (58 peratus dan 37 peratus), Hong Kong (51 peratus dan 57 peratus), India (55 peratus dan 55 peratus), Korea Selatan (55 peratus dan 19 peratus), Jepun (50 peratus dan 29 peratus), Filipina (22 peratus da 42 peratus) dan Pakistan (16 peratus dan 19 peratus).

Thailand pula mencatat 26 peratus berhubung soalan sama ada negara itu ditadbir mengikut kemahuan rakyat, manakala peratusan untuk soalan pertama tidak dinyatakan. Pada peringkat dunia, kedua-dua soalan itu masing-masing mencatat 47 peratus dan 31 peratus.

"Sikap yakin dan percaya kepada ketelusan pilihan raya itu berbeza dengan sentimen yang diluahkan oleh lebih daripada separuh responden dalam wilayah ini, yang tidak menyifatkan proses pilihan raya negara masing-masing sebagai adil," menurut kenyataan bertajuk 'Kaji Selidik: Demokrasi di Asia' yang dikeluarkan TNS, semalam.

TNS yang beribu pejabat di London, adalah kumpulan pembekal maklumat dan pasaran global. Kumpulan itu menjadi pembekal utama penyelidikan dan analisis berkaitan panel pengguna, kepakaran media dan internet serta perkhidmatan mengukur penonton televisyen dan pendengar radio.

Gallup International yang ditubuhkan pada 1947 dan didaftarkan di Zurich pula dianggotai agensi di 65 negara di serata dunia yang menjalankan kaji selidik pendapat dan pasaran di lebih 100 negara.

Menurut kenyataan itu, walaupun sistem demokrasi jelas diterima, kritikan kuat dibuat mengenai keberkesanannya di seluruh rantau dengan purata 53 peratus percaya pilihan raya di negara masing-masing tidak bebas dan adil, manakala 61 peratus berpendapat kerajaan mereka tidak mengikuti kehendak rakyat dalam membuat keputusan.

"Ini jauh berbeza di Malaysia dengan ramai rakyatnya berbanding negara lain di wilayah ini, yang berpendapat pilihan raya mereka adalah sah dan sebagai rakyat, mereka diwakili dengan baik melalui tindakan kerajaan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, hasil kaji selidik di seluruh Asia mendapati hampir lapan daripada 10 yang ditemui (78 peratus) bersetuju dengan idea bahawa demokrasi mungkin mempunyai masalah, tetapi ia adalah sistem kerajaan yang terbaik.

Bagaimanapun, di Malaysia 85 peratus bersetuju dan lima peratus tidak bersetuju mengenai idea itu.

Kajian itu juga mendapati purata tujuh daripada 10 yang ditemui (73 peratus) mengaku berpuas hati bahawa demokrasi secara keseluruhannya wujud di rantau ini. Di Malaysia, 88 peratus bersetuju manakala enam peratus tidak bersetuju.

Abdul Hamid Ketua Hakim Negara


PUTRAJAYA: Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 1 November lalu bagi menggantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersara wajib pada 31 Oktober lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam kenyataannya semalam turut mengumumkan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaki Azmi, sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, berkuat kuasa mulai tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pelantikan Abdul Hamid serta Zaki diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri dan selepas mengadakan rundingan dengan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.



Abdullah berkata, Mahkamah Persekutuan sedang berurusan dengan Istana Negara untuk menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan kedua-duanya serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia Abdul Hamid sebagai Ketua Hakim Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Hamid, 65, memangku jawatan Ketua Hakim Negara sejak 1 November lalu berikutan persaraan wajib Ahmad Fairuz. Beliau dilantik Presiden Mahkamah Rayuan pada 29 September lalu berikutan kematian Tan Sri Abdul Malek Ahmad, 31 Mei lalu.

Sementara itu, sumber Pejabat Ketua Hakim Negara ketika dihubungi petang semalam, berkata Abdul Hamid dijadual mengangkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman di sini, Selasa ini.

"Sempena majlis itu, beliau juga akan menyampaikan ucapan dasar sebagai Ketua Hakim Negara yang baru," katanya.

Mengulas pelantikan Abdul Hamid, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang, menyifatkannya sebagai wajar dan tepat bersesuaian dengan kedudukannya sebagai Pemangku Ketua Hakim Negara.

Sambil menyokong penuh pelantikan itu, beliau berkata, Abdul Hamid mempunyai pengalaman luas dan berkebolehan tinggi dalam bidang perundangan dan kehakiman, sekali gus mampu menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

"Kita percaya Perdana Menteri sudah mengambil kira semua aspek apabila membuat keputusan ini. Kami harap Abdul Hamid dapat meningkatkan semula imej badan kehakiman yang banyak disentuh sebelum ini.

"Kita juga harap semua pihak memberi sokongan dan kerjasama kepada Ketua Hakim Negara yang baru bagi melaksanakan tanggungjawabnya agar kepentingan negara dan kebebasan badan kehakiman terus disanjung tinggi," katanya.

Peguam veteran, Karpal Singh, juga menyifatkan pelantikan Abdul Hamid sebagai pilihan terbaik kerana memiliki perwatakan serta kewibawaan yang secocok.

"Beliau hanya ada kira-kira setahun untuk mengembalikan kegemilangan badan kehakiman negara yang dilanda banyak kontroversi sejak kebelakangan ini kerana usianya mencecah 65 tahun sekarang.

"Namun, saya yakin kalau ada sesiapa yang boleh melakukannya, beliau adalah orangnya terutama bagi menyelamatkan badan kehakiman daripada kemelut klip video Datuk V K Lingam yang hebat diperkatakan sekarang," katanya.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan, pula mengucapkan tahniah kepada Abdul Hamid dan Zaki, tetapi mengakui terkejut dengan pelantikan Zaki yang baru dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan.

"Namun, kami percaya Zaki mampu menampilkan integriti dan kewibawaan secocok dengan kedudukan beliau," katanya.

Ambiga berkata, badan kehakiman perlu membuktikan ia bebas daripada sebarang tekanan atau berat sebelah kepada mana-mana pihak, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadapnya.

Tuesday, November 20, 2007

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah hadapi lima tuduhan rasuah

IPOH 20 Nov. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shafie hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan berkaitan rasuah berjumlah RM5,200 yang membabitkan tiga kes berasingan.

Dua daripada pertuduhan itu membabitkan urusan pernikahan, manakala satu lagi bagi tujuan melepaskan ikat jamin satu kes jenayah syariah.

Hassan Basri, 53, yang menjadi hakim syarie pertama didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan rasuah, mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Hassan Basri didakwa meminta wang suapan RM3,000 daripada Mohamad Imran Abdullah sebagai dorongan melepaskan wang ikat jamin kepada Yoong Hor Kit berhubung lima kes jenayah syariah, di Restoran Wawa, Tambun, kira-kira 8.15 malam 15 Ogos lepas.

Dia juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menerima wang suapan itu daripada orang yang sama untuk kes sama dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran BFN 9060 di tempat meletak kenderaan di Taman D.R. Seenivasagam di sini kira-kira 3.25 petang 6 Sept lepas.

Pertuduhan ketiga pula membabitkan dakwaan meminta wang suapan RM1,100 juga daripada Mohamad Imran bagi membantu Mohamad Asri A Bakar berkahwin dengan Nor Farihan Hassan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Restoran Wawa, Tambun, kira-kira 8.30 malam 15 Ogos.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menerima wang suapan itu daripada orang sama untuk kes sama dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran BFN 9060 di tepi Hotel Hillcity di sini kira-kira 6 petang 17 Ogos.

Hassan Basri juga didakwa menerima wang suapan RM1,100 daripada orang sama sebagai dorongan bagi mengeluarkan surat kebenaran berkahwin kepada Mohd Jefri Afandi Ahmad dan Nur Liza Musa bagi membolehkan kedua-duanya berkahwin tanpa melalui prosedur ditetapkan, dalam kereta bernombor pendaftaran sama di tempat meletak kenderaan Taman D.R. Seenivasagam, kira-kira 3.20 petang 6 Sept.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi tuduhan pertama dan ketiga; dan mengikut Seksyen 11(a) akta sama bagi tuduhan kedua, keempat dan kelima.

Semua pertuduhan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Tan Hooi Leng menetapkan kes itu dibicarakan pada 31 Mac tahun depan.

Beliau turut membenarkan Hassan Basri diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan atau RM20,000 keseluruhannya, manakala pasportnya diserahkan ke mahkamah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, manakala peguam S. Theivanthiran dan T. Shan mewakili tertuduh.

Terdahulu, Nordin memohon mahkamah menahan pasport tertuduh kerana pihaknya menerima maklumat tertuduh sering melakukan perjalanan ke Indonesia.

Mahkamah juga diberitahu bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan.

- Bernama