Monday, September 26, 2011

Mahkamah Rayuan ketepikan keputusan membebaskan lima lelaki

Berita harian online 26 sept 2011 2011/09/26 PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan lima lelaki membela diri atas tuduhan membunuh selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Baharu yang melepas dan membebaskan mereka. Panel tiga hakim terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwa supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membebaskan lima orang itu tanpa diminta membela diri. Hakim Zaleha berkata, mahkamah Rayuan berpendapat wujud kes prima facie terhadap Rasdi Ngasiman, 29; Samsudin Muhammad Yusuf, 29; Zaini Sabtu, 26; Zainal Sabtu, 28; dan Mohd Yazid Tukimin, 28. Beliau kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk mereka membela diri. Lima lelaki itu adalah antara sembilan orang yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 19 November 2007 kerana kematian Md Ridzuan Jumaat, 19, di padang permainan di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai, Johor Baharu. Bagaimanapun, pihak pendakwa meneruskan rayuan hari ini terhadap lima orang itu selepas ia tidak dapat menyerahkan notis pendengaran rayuan pada empat yang lain. Hakim Zaleha kemudian menetapkan 8 Nov bagi sebutan kes Rosman Jiman, 30; Mohd Eddy Mohamed, 28; Mohd Nazri Dempok dan Mohd Syawal Shamsuddin, 25; selepas timbalan pendakwa raya Najib Zakaria memberitahu mahkamah bahawa beliau akan cuba menyerahkan notis ke atas empat orang itu. Terdahulu, Najib berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad (kini hakim Mahkmah Rayuan) silap bila beliau membebaskan lima orang itu tanpa memerintahkan mereka membela diri. Beliau berkata, pakar patologi mendapati sebab kematian Ridzuan ialah kecederaan berganda, besar kemungkinan disebabkan pukulan benda tumpul. Mayat Ridzuan ditemui terapung dekat tebing sungai oleh seorang pemandu lori Ng Chiew Piae ketika sedang memancing. Najib berkata, hakim perbicaraan membebaskan mereka atas alasan terdapat keraguan tentang sebab kematian sebagaimana dinyatakan oleh ahli patologi yang menyatakan terdapat kemungkinan mati lemas. Beliau berkata, bukti pendakwaan menunjukkan si mati dipukul oleh responden, termasuk dengan helmet dan batang kayu, dan juga ditendang akibat cemburu, yang cukup untuk dibuat kesimpulan bahawa responden memang mahu membunuh Md Ridzuan. Najib berkata, keterangan teman wanita si mati yang menemaninya (si mati) ke padang permainan itu dan mengenalpasti responden sebagai orang yang memukul si mati yang tidak mempunyai peluang untuk mempertahan diri. Peguam K Sandrasegaran berkata, tidak terdapat kaitan antara rantaian peristiwa kerana tidak terdapat bukti yang mengaitkan serangan itu di padang permainan dengan kejadian lemas. - BERNAMA

Saturday, September 24, 2011

Keanggotaan PBB: Malaysia sokong pengumuman Palestin

25/09/2011 1:57pm KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kerajaan Malaysia mengalu-ngalukan sokongan kuat pengumuman Presiden Mahmoud Abbas pada Jumaat untuk keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sungguhpun Israel dan negara-negara lain mempertikaikan bahawa keamanan hanya boleh dicapai menerusi rundingan dan bukan melalui resolusi PBB, Malaysia berpendapat bahawa ini adalah keputusan dan penyelesaian realistik yang paling penting untuk mencari kedamaian selamanya di Timur Tengah. "Malaysia menolak sepenuhnya pertikaian yang dikemukakan Israel mengenai proses keamanan yang buntu khasnya berkaitan isu penempatan haram di Tebing Barat. Dalam pandangan Malaysia, penempatan haram merupakan punca utama masalah dan hendaklah dipindahkan,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan di sini. Kerajaan Malaysia berpandangan bahawa keanggotaan dalam PBB tidak akan menjejaskan proses keamanan, sehubungan itu, pertikaian membantah keanggotaan Palestin di PBB adalah lemah, tidak berasas dan tidak munasabah. "Sudah tiba masanya mereka yang membantah keanggotaan Palestin di PBB mendengar suara majoriti yang jelas dilihat apabila mereka berdiri hormat kepada Presiden Mahmoud Abbas,” kata kenyataan itu. Tawaran Israel untuk mengadakan rundingan serta merta dan usaha Kuarted itu menjadualkan semula rundingan dalam masa sebulan nampaknya usaha terdesak untuk tidak membolehkan Palestin daripada mendapatkan keanggotaan. Malaysia akan membantu Palestin dalam mendapatkan jumlah undi yang diperlukan untuk Majlis Keselamatan PBB di Perhimpunan Agung itu, menurut kenyataan itu. - Bernama

Thursday, September 15, 2011

Dua akta baru ganti ISA

Oleh Mior Hisham Zulkifli, Nazura Ngah, Ahmad Johari Mohd Ali, A Anand Kumar, Haspaizi Mohd Zain, Badrul Kamal Zakaria, Nasaruddin Parzi dan Aizuddin Sapian bhnews@bharian.com.my 2011/09/16 KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan terus dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik. Malah, Perdana Menteri menegaskan undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan lebih pendek dan sebarang tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah, kecuali undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan di bawah kuasa menteri. Majlis Peguam menyambut baik janji diumumkan Perdana Menteri memansuhkan ISA dan menamatkan kuat kuasa perisytiharan darurat, keputusan berkenaan selaras peruntukan Perlembagaan negara. - Lim Chee Wee, Presiden Majlis Peguam “Umumnya kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman, kecuali undang-undang berkaitan keganasan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung sempena sambutan Hari Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam tadi. Najib menjelaskan undang-undang baru itu bermatlamat memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara, tetapi kerajaan akan tetap memastikan hak dan kebebasan asasi mereka yang terbabit terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Dalam ucapannya, Najib turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1956, selain mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 bagi memenuhi kehendak semasa. “Kita tidak teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan,” katanya sambil menjelaskan secara prinsipnya kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 membabitkan penghapusan pembaharuan tahunan, sebaliknya digantikan dengan pengeluaran lesen tahunan sehingga dibatalkan. Kajian semula terhadap Seksyen 27 Akta Polis 1967 pula akan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Bagaimanapun, katanya, kebenaran berhimpun diberi selaras kaedah yang akan ditetapkan kelak, di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa. Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan langkah-langkah yang diumumkan itu adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib dan berhemah sebagai pelengkap penting kepada inisiatif transformasi ekonomi serta penyampaian awam dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif. Beliau juga menegaskan kerajaan akan terus komited menjunjung sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan kerana pemerintahan hari ini terzahir dan dikudratkan oleh kehendak rakyat. Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan akan membentangkan usul kepada Parlimen bagi mengisytiharkan tiga proklamasi darurat yang diisytiharkan dulu ditamatkan kuatkuasanya mengikut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. “Kecuali darurat akibat konfrontasi 1964 yang dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang diisytiharkan sebelum ini masih dianggap berkuat kuasa sehingga hari ini. “Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau,” katanya. Sejarah negara Malaysia pasca-merdeka memperlihatkan empat proklamasi darurat diisytiharkan, iaitu pada 3 September 1964 ketika konfrontasi dengan Indonesia, diikuti proklamasi darurat 15 Mei 1969 selepas apabila tercetusnya tragedi 13 Mei. Sebelum itu, berlakunya proklamasi darurat 14 September 1966 membabitkan pertikaian politik di Sarawak dan akhirnya proklamasi darurat 8 November 1977 membabitkan Kelantan juga atas alasan sama. Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat atau terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang mengungkai proklamasi atau ordinan itu. INFO: 3 perisytiharan darurat masih berkuat kuasa sejak merdeka •Perisytiharan Darurat 1969 di Persekutuan (diisytiharkan pada 15 Mei 1969 akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969) •Perisytiharan Darurat 1966 di Sarawak (diisytiharkan pada 14 September 1966 membolehkan kerajaan menyelesaikan pertikaian politik di Sarawak yang berbangkit daripada kes Stephen Kalong Ningkan.) •Perisytiharan Darurat 1977 di Kelantan (diisytihar pada 8 November 1977 menyelesaikan pertikaian politik yang timbul di negeri itu yang ketika itu di bawah pemerintahan PAS.)

Wednesday, September 14, 2011

Penentuan tarikh pilihan raya "hak istimewa" kerajaan: Dr M

2011/09/14 PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penentuan tarikh pilihan raya umum di negara ini adalah "hak keistimewaan" kerajaan dan tiada pihak boleh mempertikaikannya. Beliau berkata, sebagai kerajaan yang memerintah, mereka juga mempunyai "keistimewaan" untuk membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya berkenaan. "Dalam dunia ini tidak ada perbincangan berkenaan dengan tarikh pilihan raya. Itu adalah hak mutlak kerajaan...di mana negara-negara pun macam itu. "Kalau dia (pembangkang) nak tentukan (tarikh pilihan raya), biar dia jadi kerajaan dulu...tetapi lepas dia jadi kerajaan dia tidak akan bagi kita pun...," katanya. Dr Mahathir yang juga penasihat Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON) ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tiga unit model Saga "Electric Vehicle" (EV) dan lima unit "Range Extender Electric Vehicle" (REEV) oleh syarikat itu kepada kerajaan untuk dipandu uji di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini. Dr Mahathir diminta mengulas mengenai desakan pembangkang yang didakwa mahu berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai tarikh pilihan raya umum akan datang. Mengenai tindakan pembangkang yang meletakkan beberapa syarat berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen, Dr Mahathir percaya kerajaan akan menerima cadangan mereka jika ia "waras" dan sesuai. "Tetapi kerajaan mungkin ada pendapat yang berbeza," katanya. Sebelum ini, Kabinet bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan dianggotai sembilan anggota Parlimen. Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai lima anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) manakala wakil pembangkang terdiri tiga orang manakala seorang wakil rakyat Bebas. Mengenai desas-desus bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Februari tahun depan, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: "saya kenal (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tetapi saya tak boleh baca hati dia." - BERNAMA

Arifin Zakaria angkat sumpah Ketua Hakim Negara

2011/09/14
KUALA LUMPUR: Tan Sri Arifin Zakaria hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang bersara wajib pada 9 September lalu.

Arifin menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini. Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Selain Arifin, Tan Sri Md Raus Sharif turut mengangkat sumpah dan menerima surat cara pelantikan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula dikurniakan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya. - BERNAMA

Monday, September 5, 2011

Tan Sri Arifin Zakaria dilantik Ketua Hakim Negara

2011/09/05
KUALA LUMPUR: Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib berkata Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal. Perdana Menteri berkata semua pelantikan berkuat kuasa 12 September ini.

"Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Zaki Tun Azmi di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara, khususnya dalam mentransformasikan badan kehakiman sehingga berjaya mengurangkan kes-kes tertunggak di semua peringkat mahkamah, demi memberi keadilan yang pantas kepada semua pihak.

"Saya juga memaklumkan persaraan awal Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun yang telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan amat berterima kasih atas segala jasa beliau kepada badan kehakiman, khususnya dalam memimpin Mahkamah Rayuan," katanya.
Najib juga berkata Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan. - BERNAMA