Monday, June 27, 2011

LID 2011 pertingkat hubungan ekonomi

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/06/28
DIALOG Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini berjaya mencapai matlamat meningkatkan kepentingan dan nilai hubungan perniagaan serta ekonomi antara Malaysia dan Afrika di tengah-tengah perubahan dalam landskap sosioekonomi global.

Penganjurannya secara langsung bukan saja dapat merapatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak malah membuka banyak peluang dari segi perdagangan, pelaburan dan perkongsian bestari untuk manfaat semua pihak. LID 2011 yang menekankan kepada usaha ‘perkongsian menang-menang’ berjaya memberi kesinambungan kepada usaha Pengurusan Teknologi Bagi Kerjasama Komanwel (CPTM) di bawah siri Dialog Perkongsian Bestari negara Komanwel sejak 1995 untuk mempromosikan kerjasama kreatif antara kerajaan dengan sektor dalam merangsang kegiatan ekonomi antara Malaysia dan rantau Afrika. Rata-rata delegasi yang hadir pada dialog kali ini menyatakan kekaguman mereka terhadap pelan transformasi jangka panjang kerajaan yang dirancang rapi bagi mencapai status negara maju pada 2020.

Menteri Sains dan Teknologi Mozambique, Venancio Simao Massingue, berkata konsep proses transformasi dan inovasi yang dilakukan kerajaan adalah sesuatu yang mengagumkan, sekali gus wajar dilaksanakan negara Afrika yang secara umumnya mempunyai kekayaan sumber asli hampir sama seperti Malaysia.

“Proses tadbir urus yang baik seperti yang dibentangkan dalam proses transformasi itu memberi inspirasi yang menyokong sepenuhnya hala tuju pertumbuhan yang berorientasikan hasil,” katanya.

Forum perniagaan Malaysia-Afrika (MABF) yang dianjurkan sempena LID 2011 pula mencapai matlamatnya dari segi mengukuhkan dagangan dua hala antara kedua-dua pihak selain mewujudkan kesedaran di kalangan syarikat tempatan terhadap peluang yang disediakan di benua itu.
Selain itu, forum berkenaan turut berjaya meningkatkan kerjasama perniagaan antara Malaysia dan Afrika untuk membentuk peluang pasaran baru memandangkan wujudnya perubahan dalam sentimen pasaran, sekali gus menyesuaikan kedudukan semasa itu untuk menawarkan produk serta perkhidmatan yang betul ke dalam pasaran.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengambil langkah segera dengan rancangan menganjurkan beberapa siri seminar susulan untuk terus meningkatkan kesedaran di kalangan syarikat tempatan mengenai peluang yang disediakan Afrika.

Program sasaran seperti Misi Belian Masuk dan Misi Pemasaran akan dianjurkan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua komuniti perniagaan tempatan dan Afrika.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Noharuddin Nordin, berkata sebuah lagi pejabat cawangan MATRADE akan dibuka di Lagos, Nigeria untuk menggalak serta memudah cara usahawan tempatan menjalankan perniagaan di Afrika, sebagai tambahan kepada pejabat cawangan sedia ada di Kaherah, Nairobi dan Johannesburg.

“Setakat ini, sebanyak 93 syarikat tempatan beroperasi di 27 negara Afrika. Dagangan dua hala kedua-dua pihak masih rendah dengan Afrika mewakili 2.1 peratus dagangan keseluruhan negara dan Malaysia mewakili 1.6 peratus dagangan keseluruhan Afrika,” katanya.

MABF turut berjaya menghasilkan rancangan membentuk kemakmuran ekonomi dengan adanya sinergi kerjasama perniagaan Malaysia dan Afrika menerusi bertambahnya minat syarikat tempatan untuk melawat serta menubuhkan operasi di benua berkenaan.

Ini dapat dicapai menerusi cadangan mewujudkan perjalanan udara terus dari Malaysia ke beberapa ibu negara utama di Afrika yang dapat meningkatkan trafik antara kedua-dua pasaran, sekali gus membawa lebih banyak peluang perniagaan baru pada masa akan datang.