Thursday, April 14, 2011

Minda Pengarang: CMP2 usaha terbaru kerajaan lonjak pasaran modal dalam negara

2011/04/14
PELBAGAI usaha dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan pelaburan di negara ini, sama ada bagi tempoh jangka panjang, mahu pun jangka pendek. Selain menarik pelaburan baru melalui pelbagai dasar dan pendekatan, usaha juga dilakukan bagi menambah pelaburan syarikat sedia ada. Sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober tahun lalu hingga kini, sudah empat kali beliau membentangkan kad laporan mengenai perkembangan dan pencapaian terbaru pelaksanaan dasar strategik kerajaan bagi menarik pelaburan. Antara pencapaian itu membabitkan pelaksanaan 60 projek dan inisiatif merangkumi 46 Projek Permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dengan jumlah pelaburan RM95 bilion. Ia dijangka mampu meningkatkan Pendapatan Kasar Negara (GNI) sebanyak RM137.2 bilion dan mewujudkan 224,358 peluang pekerjaan. Ketika menyampaikan ucaptamanya di hadapan lebih 850 peserta pasaran tempatan dan asing pada Persidangan Invest Malaysia 2011 kelmarin, Perdana Menteri terus membayangkan tekad serta kesungguhan kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

ETP mengenal pasti 131 EPP di bawah 12 NKEA dengan sasaran pelaburan sebanyak RM794.5 bilion daripada keseluruhan RM1.4 trilion pelaburan yang diperlukan bagi tempoh 2011 hingga 2020 untuk menikmati pertumbuhan purata ekonomi antara lima hingga enam peratus setahun, menaikkan GNI sebanyak RM1.1 trilion, mewujudkan 3.3 juta pekerjaan dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Berdasarkan pendedahan terkini Perdana Menteri setakat ini, sejumlah 35.1 projek yang disasarkan dalam EPP iaitu 12 peratus jumlah pelaburan yang disasarkan EPP sudah diraih dan sedang berlangsung. Ia adalah 12.8 peratus daripada jangkaan kenaikan GNI dan 6.8 peratus daripada jumlah pekerjaan baru yang disasarkan. Pada kemuncak persidangan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Pelan Induk Pasaran Modal Kedua (CMP2) bagi tempoh 10 tahun yang disasar mampu meningkatkan saiz pasaran modal negara sehingga RM5.8 trilion menjelang 2020 berbanding kira-kira RM2 trilion kini. Pelan itu dirangka untuk mengatasi masalah berkaitan peraturan yang antara lain akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan pasaran modal tempatan kerana negara kini berdepan persaingan sengit dalam merebut modal global khususnya dengan negara serantau lain. Paling menarik, jika dulu pasaran modal Malaysia banyak memberikan tumpuan kepada syarikat besar dan senaraian awam, menerusi pelan itu syarikat kecil yang berdaya maju kini boleh menggunakan pasaran saham bagi mendapatkan pembiayaan ekuiti. Keutamaan penting CMP2 adalah memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggalakkan pembentukan modal dari peringkat permulaan hinggalah kepada pembiayaan usaha niaga inovatif, projek baru yang besar dan teknologi hijau maju. Antara perkara penting lain yang diumumkan pada persidangan itu ialah penyenaraian sebuah lagi syarikat besar milik kerajaan iaitu Malayan Sugar Manufacturing (MSM), anak syarikat FELDA Global Ventures Sdn Bhd iaitu syarikat sulung di bawah kumpulan FELDA yang akan memasuki pasaran saham Julai ini. Justeru, dengan pelbagai usaha dilaksanakan, kita yakin kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam mewujudkan persekitaran kondusif untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.