Monday, November 29, 2010

Kuasa Persekutuan, Raja-Raja dan agama

Oleh Shamrahayu A Aziz

2010/11/30
Kedudukan Islam dalam Perlembagaan tak boleh dipertikai

KEDUDUKAN Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan lagi. Islam adalah agama bagi Persekutuan dan juga agama bagi semua negeri (kecuali Sarawak). Islam adalah juga satu-satunya agama yang disebut dengan namanya sendiri dalam Perlembagaan – bukan saja Perlembagaan Persekutuan, malah perlembagaan negeri-negeri. Atas alasan sejarah dan amalan yang menjadi tradisi dan warisan negara, Perlembagaan Persekutuan menyediakan kerangka tertentu mengenai pentadbiran Islam. Islam adalah urusan negeri yang dinaungi Raja-Raja Melayu. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong pula adalah Ketua Agama negeri baginda dan negeri yang tidak mempunyai Raja.

Secara amalannya Majlis Raja-Raja (satu institusi yang ditubuhkan oleh Perlembagaan – lihat Perkara 38 dan Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan) adalah institusi yang sinonim dengan Islam. Banyak pihak sudah membuat pengaduan kepada Majlis Raja-Raja mengenai urusan Islam. Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana ketiadaan Ketua Agama Islam pada peringkat Persekutuan.

Selain alasan itu, ahli Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam. Oleh yang demikian, ia amat tidak munasabah untuk Raja-Raja mengabaikan Islam, walaupun secara harfiahnya Majlis Raja-Raja tidak diberikan kuasa berkaitan agama Islam oleh Perlembagaan Persekutuan.

Berkaitan peranan Majlis Raja-Raja mengenai Islam mungkin saya boleh katakan bahawa Islam adalah termasuk di bawah perkara yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja.
Hujah saya ialah, Islam (dan adat istiadat Melayu) adalah perkara yang secara nyata dan tidak pernah dipersoalkan, dikhaskan kepada Raja-Raja saja. Undang-undang dan amalan tidak pernah memisahkan Islam daripada Raja-Raja.

Selain Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja, kita tidak mempunyai institusi lain yang ditubuhkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengendali urusan Islam. Pembahagian kuasa dalam sistem federalisme yang kita amalkan, Islam adalah urusan negeri.

Perlembagaan Persekutuan seolah-olah memberikan kuasa berkaitan Islam kepada negeri secara eksklusif. Ini juga sudah dibuktikan dalam keputusan majoriti kes Mamat bin Daud yang dibuat oleh Mahkamah Agong pada 1988.

Dalam kata lain, Perlembagaan Persekutuan cuba menerapkan kuasa autonomi berkaitan Islam kepada negeri. Namun ini tidak sepenuhnya benar. Adakalanya Perlembagaan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang berkaitan Islam.

Sebagai contoh, Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang menentukan bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah syariah.

Dalam aspek pentadbiran Islam di Malaysia, perkembangan semasa menyaksikan penubuhan beberapa institusi pentadbiran Islam pada peringkat Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Penubuhan institusi ini bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri. Dalam konteks ini, walaupun agama Islam adalah urusan negeri (yang dikatakan sebagai kuasa eksklusif negeri-negeri). Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan yang memberi ruang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan urusan pentadbiran dan undang-undang bagi negeri berkaitan agama Islam – bukan saja bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Perkara 76(1)(b) yang menyebut mengenai kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi negeri dalam hal-hal tertentu, termasuk undang-undang bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua negeri atau lebih. Peruntukan ini boleh ditafsirkan sebagai termasuk juga undang-undang berkaitan Islam.

Hujah ini saya tegaskan dengan kehendak Perlembagaan bahawa, apa juga undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen hendaklah mendapat persetujuan negeri menerusi suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri.

Ini menjadikan urusan berkaitan Islam kekal sebagai urusan negeri (lihat Perkara 76(3)), walaupun mungkin inisiatif asal penggubalan undang-undang itu adalah daripada Persekutuan.

Dalam menjalankan urusan pentadbiran, Perkara 133 Perlembagaan Persekutuan pula memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang membenarkan perkhidmatan bersama sama ada atas inisiatif Kerajaan Persekutuan atau atas permintaan negeri.

Maksud perkhidmatan bersama ini ialah penjawat awam yang dilantik untuk menggerakkan institusi ini boleh dilantik untuk memberi perkhidmatan secara bersama kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri atau kepada satu negeri dan negeri yang lain.

Sehubungan dengan peruntukan Perkara 133 ini Parlimen meluluskan Akta Perkhidmatan Bersama (Pegawai-Pegawai Hal-Ehwal Islam) 1997. Tujuan akta ini adalah untuk menubuhkan satu pentadbiran hal-ehwal Islam yang bersepadu antara negeri bagi memudahkan urusan pentadbiran agama Islam.

Di dalam bahagian pengenalannya Akta 1997 ini menyatakan bahawa penggubalan akta ini adalah berdasarkan kepada permintaan sesetengah negeri. Kesan daripada peruntukan akta ini, pihak Persekutuan dan negeri boleh mempunyai penjawat awam di dalam perkhidmatan bersama yang mentadbir urusan Islam di negeri-negeri.

Dalam konteks federalisme, keadaan ini mungkin boleh dikatakan sebagai sesuatu yang berat sebelah dan menyokong Kerajaan Persekutuan. Tetapi alasan saya mudah – ini dibenarkan oleh Perlembagaan dan ia adalah ciri sistem federalisme kita. Sama ada ia adalah peruntukan yang berat sebelah atau pun tidak, tidak harus menjadi persoalan.

Amat benar bagi kita untuk menyatakan bahawa urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri di bawah naungan Raja-Raja, namun Perlembagaan tidak menafikan sepenuhnya kuasa Persekutuan berkaitan undang-undang dan pentadbiran Islam.
Namun, kuasa Persekutuan harus dijalankan atas permintaan atau kebenaran negeri. Ini menjadikan Raja-Raja sebagai berkuasa penuh mengenai urusan Islam dan seterusnya kuasa negeri tidak diketepikan begitu saja.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tuesday, November 16, 2010

Common law sekat hakim lebih kreatif

2010/11/16
Prinsip Islam, adat boleh jadi panduan buat tafsiran undang-undang

PASTINYA semua pihak mengharapkan sistem undang-undang negara mencapai tahap kematangan dengan pembinaan sumber rujukan tersendiri berasaskan kemahuan dan sistem masyarakat negara ini.

Oleh itu, proses mencari identiti sistem undang-undang yang tersendiri perlu berterusan. Dalam ruangan ini minggu lalu saya syorkan supaya sistem undang-undang Malaysia mesti bebas daripada legasi British. Saya menyebut bahawa Akta Undang-Undang Sivil 1956 (disemak 1972) yang membenarkan mahkamah merujuk dan seterusnya menerima pakai common law Inggeris perlu disemak semula dengan niat memansuhkannya. Walau apa pun niat British yang memperluaskan pemakaian Akta Undang-Undang sivil ini setahun sebelum kita mencapai kemerdekaan, ia amat memberi kesan ke atas sistem undang-undang kita.

Common law Inggeris adalah istilah yang digunakan kepada undang-undang dibuat oleh hakim di Mahkamah British melalui keputusannya. Common law ini bukan tafsiran kepada undang-undang bertulis. Ia adalah keputusan hakim bersandarkan agama, moral dan amalan setempat.

Syor mengenai pemansuhan akta ini saya kemukakan kerana rujukan dan keterikatan dengan common law Inggeris amat tidak sesuai dalam pembinaan jati diri atau keperibadian undang-undang.

Menurut peruntukan Akta Undang-Undang Sivil 1956, common law yang menjadi ikatan kepada Malaysia ialah common law yang digunakan di England sebelum 7 April 1956 bagi Semenanjung Malaysia, 1 Disember 1951 bagi Sabah dan 12 Disember 1949 bagi Sarawak.
Kita menyaksikan banyak common law Inggeris yang telah dimansuhkan kedudukannya oleh statut atau undang-undang bertulis di England. Malangnya apa juga perkembangan undang-undang di England selepas tarikh yang disebut tidak memberi kesan ke atas sistem undang-undang kita kerana tarikh potong yang saya sebutkan.

Seperti yang diulas minggu lalu, keadaan ini menjadikan undang-undang yang perlu kita rujuk ketinggalan zaman. Mungkin ada yang berhujah bahawa common law Inggeris ini tidak mengikat hakim di negara ini. Hujah ini mungkin benar. Namun, membenarkan rujukan kepada undang-undang itu secara prinsipnya boleh memberi kesan psikologi mengenai keterikatan kita kepada penjajah, bukan saja kepada hakim, pengamal undang-undang dan pelajar undang-undang, tetapi juga orang awam.

Ia juga boleh menyekat hakim di negara ini untuk lebih kreatif dan menghargai sumber undang-undang yang telah sedia wujud di negara kita.

Secara amalannya kebergantungan kepada common law Inggeris ini tidak begitu ketara di kalangan hakim. Sebenarnya penerimaan dan pemakaian common law Inggeris di negara ini juga adalah sesuatu yang menyukarkan bagi semua pihak. Kesukaran ini diperakui hakim Inggeris sendiri sejak dulu lagi, seperti Hakim Maxwell dalam kes Chulas lwn Kolson (1867).

Oleh itu, kelangsungan Akta Undang-Undang Sivil ini tidak memberikan kebaikan kepada sistem undang-undang kita dan ia sebenarnya sentiasa menghantui sistem kita.

Sekiranya pemakaian common law Inggeris ini dimansuhkan, hakim di Mahkamah Sivil boleh menjadikan prinsip agama, terutama Islam dan undang-undang adat sebagai panduan dalam membuat tafsiran dan mencari penyelesaian kepada kekosongan di dalam undang-undang.

Kedua-dua ini (agama dan adat) bukan saja lebih dekat dengan masyarakat kita, tetapi juga diiktiraf Perlembagaan Persekutuan sebagai sebahagian daripada sistem undang-undang negara.

Seperti yang kita maklum, Islam adalah agama bagi Persekutuan dan ia agama bagi majoriti masyarakat. Undang-undang adat pula adalah sebahagian daripada maksud perkataan undang-undang yang disebut dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Rakan-rakan masyarakat bukan Islam tidak perlu gusar mengenai cadangan ini. Undang-undang Islam sentiasa mementingkan keadilan kepada semua. Ia juga tidak pernah mengiktiraf sesuatu yang akan mendatangkan keburukan kepada masyarakat.

Selain itu, kita sebenarnya tidak boleh menafikan pengaruh garis panduan berlandaskan agama Islam dalam sistem undang-undang negara. Ia sudah akar umbi kepada sistem kita. Pengaruhnya amat jelas dan prinsipnya amat ketara.

Sebagai contoh, prinsip undang-undang jenayah Islam mendapat tempat dalam Kanun Keseksaan. Perbuatan sumbang mahram contohnya, sudah sekian lama wujud dalam undang-undang Islam, tetapi pada asalnya tidak ada dalam Kanun Keseksaan. Menerusi pindaan pada 2002, Seksyen 376a dan 376b berkaitan definisi dan hukuman kepada kesalahan sumbang mahram dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan. Peruntukan ini mendapat sokongan daripada semua pihak kerana perbuatan itu sangat terkutuk.

Sehubungan itu, ramai ahli akademik, termasuk Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim sudah lama menyarankan supaya Malaysia membina sistem undang-undang atau common law yang tersendiri. Ahli akademik mencadangkan supaya prinsip agama, adat dan amalan sebagai rujukan. Walaupun secara akademik, istilah ‘common law’ ini mungkin tidak begitu tepat kerana kita mempunyai undang-undang bertulis dan tugas mahkamah hanyalah untuk mentafsir undang-undang, bukan membuat undang-undang, namun, apa yang lebih penting ialah semangatnya – iaitu semangat menjadikan sistem undang-undang negara ini sebagai sistem yang mempunyai keperibadian tersendiri dengan mengambil perhatian kepada kehendak masyarakat dan amalan yang tersendiri tanpa terikat kepada sistem lain seumpama common law yang ketinggalan zaman.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM

Thursday, November 11, 2010

Minda Pengarang: Penubuhan MPPK wajar disokong semua untuk pembangunan pendidikan

2010/11/11
PENUBUHAN Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang berfungsi memberikan nasihat kepada Menteri Pelajaran untuk menentukan hala tuju dan meningkatkan mutu pendidikan negara adalah langkah tepat dan patut disokong semua pihak, khususnya warga pendidik.

Majlis ini akan terbabit dalam perancangan, pembangunan dan menyelesaikan isu pendidikan negara. Kita percaya MPPK dapat mendepani pelbagai situasi yang menuntut semua keputusan dan tindakan untuk memantapkan sektor pendidikan negara dapat dibuat dengan tepat dan berkesan. Mengumumkan penubuhannya kelmarin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membariskan tujuh pakar akademik sebagai ahli MPPK. Berdasarkan latar belakang pendidikan dan pengalaman luas tujuh ahli panel MPPK yang dilantik, kita yakin mereka mampu memikul peranan membantu kerajaan mencorakkan pemikiran serta menyediakan kerangka baru sistem pendidikan negara untuk masa depan. Penubuhan MPPK mencatat sejarah tersendiri dunia pendidikan negara. Jika pada 1989 kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) untuk membantu kerajaan menggubal dasar baru ekonomi selepas era 1990-an, penubuhan MPPK pula menandakan pembangunan sektor pendidikan turut diberi keutamaan dalam memacu kemajuan negara. Penubuhan MPPK juga membuktikan kerajaan amat prihatin mengenai perlunya dasar baru pembangunan pendidikan untuk rakyat, sejajar matlamat proses transformasi menjadi negara maju dan komitmen kerajaan melahirkan masyarakat makmur dan berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun lagi. Seiring penubuhan MPPK, sewajarnya sistem pendidikan sedia ada dikaji dan disusun semula bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan. Pelbagai saranan, isu dan polemik berkaitan sistem pendidikan sejak kebelakangan ini harus dijadikan input dalam kajian semula ini, selain memasukkan idea, pendekatan serta tuntutan baru yang sebahagiannya bersifat global. Semua perubahan ini mesti mengambil kira keperluan pelbagai kaum di negara ini agar matlamat kerajaan mewujudkan perpaduan dapat dicapai.

Perkembangan dunia pendidikan hari ini dan akan datang menjadi semakin kompleks dan kompetitif. Perubahan ini menuntut kerajaan memantapkan lagi sistem pendidikan sedia ada supaya negara mempunyai rakyat berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berpengetahuan sejajar keperluan pasaran. Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, peranan awal yang boleh dilakukan MPPK ialah mengkaji kandungan sistem pendidikan negara sekarang, termasuk kedudukan peperiksaan pada peringkat sekolah menengah. Pada masa sama, tahap pendidikan teknik dan vokasional perlu diperkukuh dan dijadikan aliran utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi. Kita percaya langkah menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus pada peringkat SPM dapat meningkatkan lagi persefahaman rakyat pelbagai kaum di negara ini, selain memanjangkan silibus itu ke peringkat pendidikan tinggi.

Dengan tujuh ahli panel dalam kedudukan teratas, majlis itu perlu ada saluran yang menerima input pelbagai bidang melalui satu lagi barisan panel peringkat pegawai. Kita percaya dengan pendekatan ini, MPPK mampu memperoleh input yang dikehendaki dan lebih menyeluruh daripada peringkat akar umbi dan pelbagai pihak, termasuk industri berkaitan. MPPK wajar digerakkan segera dan seiring dengan proses transformasi kerajaan yang sedang dilaksanakan sekarang bagi melonjakkan sektor pendidikan negara ke tahap lebih gemilang.

Mahkamah Khas perlu tertutup

Laporan Anwar Hussin dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
2010/11/11
Keputusan mahkamah berkenaan tidak boleh dicabar seperti mahkamah lain

KUALA LUMPUR: Semua prosiding Mahkamah Khas membabitkan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan sesebuah negeri perlu dijalankan secara tertutup seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 14(A), Peraturan Mahkamah Khas 1994. Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, keputusan akhir bagi sesuatu kes di Mahkamah Khas boleh dilakukan secara terbuka. Terdahulu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mempersoalkan prosiding Mahkamah Khas yang dilakukan secara tertutup tidak seperti mahkamah lain berkuat kuasa pada 18 Januari lalu.

“Mengapa perlu ada mahkamah rahsia yang tidak dibuka kepada orang ramai, malah keluarga yang terbabit dengan sesuatu kes juga tidak dibenarkan masuk.

“Ini berbeza dengan mahkamah biasa yang terbuka dan hanya tertutup untuk kes tertentu saja,” katanya ketika membahas Bajet 2011 peringkat Jawatankuasa.

Nazri berkata, terdapat permintaan daripada pihak Raja-Raja yang mahu kes yang didengar di Mahkamah Khas dilakukan secara tertutup bagi mengelak masyarakat memandang rendah institusi diraja.
“Permintaan dilakukan sebelum undang-undang itu digubal. Kita bersetuju tetapi keputusan mesti dibuat secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata, prosiding di Mahkamah Khas hanya boleh dihadiri anggota Mahkamah Khas, peguam, saksi, pihak terbabit dan orang yang diberi kebenaran untuk hadir.

Katanya, Perkara 182(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Mahkamah Khas mempunyai bidang kuasa eksklusif bagi membicarakan semua kesalahan yang dilakukan dalam Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesebuah negeri tanpa mengambil kira di mana kausa tindakan itu berlaku.

Nazri berkata, keputusan Mahkamah khas tidak boleh dicabar seperti mahkamah lain, termaktub dalam undang-undang yang keputusan Mahkamah Khas muktamad dan konklusif selain tidak boleh dipersoal di mana-mana mahkamah atas apa-apa alas

Thursday, November 4, 2010

Prosiding inkues Teoh Beng Hock ditutup

SHAH ALAM 4 Nov.2010 - Prosiding inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang bersidang di Mahkamah Koroner di sini sejak 29 Julai tahun lalu berakhir hari ini, selepas pegawai penyiasat kes itu selesai memberi keterangan.
Peguam yang dilantik bagi mengendalikan prosiding tersebut, Tan Hock Chuan memaklumkan beliau menutup inkues tersebut sebaik sahaja Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Nazri Zainal keluar dari kandang saksi.
Koroner Azmil Muntapha Abas kemudiannya mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada 10 Disember ini.
Beliau turut menetapkan 17 Disember ini untuk mendengar hujahan lisan sebelum merumuskan hasil inkues tersebut.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di koridor tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock diadakan ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.
Walaupun pada peringkat awal inkues dijangkakan selesai dalam tempoh sebulan, namun ia berlarutan selama 15 bulan tujuh hari dengan 37 saksi termasuk pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand dipanggil memberi keterangan.
Terdahulu, Ahmad Nazri, 38, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak bercadang menangkap sesiapa kerana tiada sebarang bukti menunjukkan ada individu yang terlibat dalam kematian Beng Hock.
Menjawab soalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, saksi itu turut mengakui beliau tidak mempunyai suspek sepanjang siasatan dijalankan.
''Sepanjang siasatan, tiada bukti menunjukkan ada kesan pukulan yang menunjukkan Beng Hock dicederakan atau ada sesiapa yang menggunakan kekerasan fizikal terhadapnya.
''Saya juga tidak menjumpai sebarang senjata atau tanda-tanda pergelutan di kawasan berhampiran tingkap di tingkat 14,'' katanya.
Menurut beliau, satu lakonan semula peristiwa jatuh dengan menggunakan botol air mineral dan anak patung dilakukan dari tingkat 14 bersama pakar patologi forensik dari Britain, Dr. Peter Venesiz dan seorang profesor tempatan.
Ia dilakukan beberapa kali berdasarkan teori bahawa kedudukan jatuh orang yang tidak bergerak akan selaras dengan tingkap berikutan tiada daya.
Bagaimanapun, Ahmad Nazri mengaku tidak memaklumkan lakonan semula itu kepada mahkamah di peringkat awal kerana berat botol air mineral dan anak patung itu tidak menyamai berat badan Beng Hock.
''Botol air mineral dan anak patung merupakan objek yang ringan. Kita cuba dapatkan patung dummy tetapi tidak dapat kerana ia terlalu mahal,'' jelas beliau.
Menjawab soalan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock, Ahmad Nazri memberitahu, kes setiausaha politik itu disiasat dan diklasifikasikan sebagai kematian secara mengejut (SDR) pada peringkat awal.
Beliau turut mengakui tidak dapat memastikan identiti Au Yong yang dinamakan sebagai penerima dalam nota yang didakwa ditinggalkan oleh Beng Hock sebelum mati.
Sementara itu, seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diarah keluar dari mahkamah kerana mengeluarkan perkataan bodoh semasa prosiding inkues itu berlangsung.
Seorang anggota polis bertindak menghalau lelaki yang memakai baju-T hitam bertulis 'Rakyat Menyokong Beng Hock' itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas memohon agar dia diarah keluar kerana beberapa kali menyebut perkataan bodoh ketika Abdul Razak menyoal saksi.
Ini kali kedua lelaki tersebut dihalau keluar daripada prosiding inkues atas sebab yang sama.
Sebelum itu, Azmil turut mengarahkan seorang kenalan keluarga Beng Hock meninggalkan telefon bimbitnya di luar mahkamah apabila lelaki itu dilihat cuba merakamkan prosiding

Prosiding inkues Teoh Beng Hock ditutup

SHAH ALAM 4 Nov.2010 - Prosiding inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang bersidang di Mahkamah Koroner di sini sejak 29 Julai tahun lalu berakhir hari ini, selepas pegawai penyiasat kes itu selesai memberi keterangan.
Peguam yang dilantik bagi mengendalikan prosiding tersebut, Tan Hock Chuan memaklumkan beliau menutup inkues tersebut sebaik sahaja Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Nazri Zainal keluar dari kandang saksi.
Koroner Azmil Muntapha Abas kemudiannya mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada 10 Disember ini.
Beliau turut menetapkan 17 Disember ini untuk mendengar hujahan lisan sebelum merumuskan hasil inkues tersebut.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di koridor tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock diadakan ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.
Walaupun pada peringkat awal inkues dijangkakan selesai dalam tempoh sebulan, namun ia berlarutan selama 15 bulan tujuh hari dengan 37 saksi termasuk pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand dipanggil memberi keterangan.
Terdahulu, Ahmad Nazri, 38, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak bercadang menangkap sesiapa kerana tiada sebarang bukti menunjukkan ada individu yang terlibat dalam kematian Beng Hock.
Menjawab soalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, saksi itu turut mengakui beliau tidak mempunyai suspek sepanjang siasatan dijalankan.
''Sepanjang siasatan, tiada bukti menunjukkan ada kesan pukulan yang menunjukkan Beng Hock dicederakan atau ada sesiapa yang menggunakan kekerasan fizikal terhadapnya.
''Saya juga tidak menjumpai sebarang senjata atau tanda-tanda pergelutan di kawasan berhampiran tingkap di tingkat 14,'' katanya.
Menurut beliau, satu lakonan semula peristiwa jatuh dengan menggunakan botol air mineral dan anak patung dilakukan dari tingkat 14 bersama pakar patologi forensik dari Britain, Dr. Peter Venesiz dan seorang profesor tempatan.
Ia dilakukan beberapa kali berdasarkan teori bahawa kedudukan jatuh orang yang tidak bergerak akan selaras dengan tingkap berikutan tiada daya.
Bagaimanapun, Ahmad Nazri mengaku tidak memaklumkan lakonan semula itu kepada mahkamah di peringkat awal kerana berat botol air mineral dan anak patung itu tidak menyamai berat badan Beng Hock.
''Botol air mineral dan anak patung merupakan objek yang ringan. Kita cuba dapatkan patung dummy tetapi tidak dapat kerana ia terlalu mahal,'' jelas beliau.
Menjawab soalan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock, Ahmad Nazri memberitahu, kes setiausaha politik itu disiasat dan diklasifikasikan sebagai kematian secara mengejut (SDR) pada peringkat awal.
Beliau turut mengakui tidak dapat memastikan identiti Au Yong yang dinamakan sebagai penerima dalam nota yang didakwa ditinggalkan oleh Beng Hock sebelum mati.
Sementara itu, seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diarah keluar dari mahkamah kerana mengeluarkan perkataan bodoh semasa prosiding inkues itu berlangsung.
Seorang anggota polis bertindak menghalau lelaki yang memakai baju-T hitam bertulis 'Rakyat Menyokong Beng Hock' itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas memohon agar dia diarah keluar kerana beberapa kali menyebut perkataan bodoh ketika Abdul Razak menyoal saksi.
Ini kali kedua lelaki tersebut dihalau keluar daripada prosiding inkues atas sebab yang sama.
Sebelum itu, Azmil turut mengarahkan seorang kenalan keluarga Beng Hock meninggalkan telefon bimbitnya di luar mahkamah apabila lelaki itu dilihat cuba merakamkan prosiding

AirAsia diperintah bayar RM206.90

SIBU 4 Nov.2010 - Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini hari ini memerintahkan AirAsia membayar RM206.90 kepada seorang guru Mohd. Ikram Mohd. Rawi kerana gagal melaksanakan tanggungjawab korporatnya kepada penggunanya dalam memberikan perkhidmatan.
Presiden Tribunal itu, Pretam Singh memerintahkan pembayaran itu berikutan bil telefon guru itu yang dibuat untuk membuat pertanyaan mengenai tiket penerbangan yang ditempah melalui Internet tetapi telah dibatalkan oleh AirAsia.
Dalam penghakimannya, Pretam Singh berkata, AirAsia diperintah membayar jumlah itu kepada Mohd. Ikram dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dibuat, kegagalan boleh dikenakan mengikut kesalahan jenayah tertakluk kepada denda sebanyak RM5,000 dan dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
AirAsia tidak diwakili pada hari penghakiman itu.
Sementara itu, setakat hari ini sebanyak 4,642 kes telah dirujuk kepada tribunal itu di seluruh negara termasuk 242 kes di Sarawak, tambah beliau.
Daripada jumlah itu, 4,179 kes atau 90 peratus telah diselesaikan dan 463 masih menunggu untuk diselesaikan, ini termasuk 1,926 kes yang telah ditarik balik dan 184 ditolak untuk didengar oleh mahkamah itu.
Daripada 242 kes di Sarawak, 210 telah diselesaikan sementara 32 masih menunggu untuk diselesaikan, kata Pretam Singh. - BERNAMA

AirAsia diperintah bayar RM206.90

SIBU 4 Nov.2010 - Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini hari ini memerintahkan AirAsia membayar RM206.90 kepada seorang guru Mohd. Ikram Mohd. Rawi kerana gagal melaksanakan tanggungjawab korporatnya kepada penggunanya dalam memberikan perkhidmatan.
Presiden Tribunal itu, Pretam Singh memerintahkan pembayaran itu berikutan bil telefon guru itu yang dibuat untuk membuat pertanyaan mengenai tiket penerbangan yang ditempah melalui Internet tetapi telah dibatalkan oleh AirAsia.
Dalam penghakimannya, Pretam Singh berkata, AirAsia diperintah membayar jumlah itu kepada Mohd. Ikram dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dibuat, kegagalan boleh dikenakan mengikut kesalahan jenayah tertakluk kepada denda sebanyak RM5,000 dan dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
AirAsia tidak diwakili pada hari penghakiman itu.
Sementara itu, setakat hari ini sebanyak 4,642 kes telah dirujuk kepada tribunal itu di seluruh negara termasuk 242 kes di Sarawak, tambah beliau.
Daripada jumlah itu, 4,179 kes atau 90 peratus telah diselesaikan dan 463 masih menunggu untuk diselesaikan, ini termasuk 1,926 kes yang telah ditarik balik dan 184 ditolak untuk didengar oleh mahkamah itu.
Daripada 242 kes di Sarawak, 210 telah diselesaikan sementara 32 masih menunggu untuk diselesaikan, kata Pretam Singh. - BERNAMA

Wednesday, November 3, 2010

Majlis Raja-Raja benteng kebal pertahan Islam, hak orang Melayu

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

2010/11/03
SEKALI lagi Raja-Raja Melayu menzahirkan kegusaran mereka dengan perkembangan terkini tanah air, khususnya dalam kalangan ahli politik yang sejak kebelakangan ini dilihat berlumba-lumba meraih simpati sesetengah pihak sehingga sanggup membelakangkan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Kali ini kegusaran baginda dibuat tanpa berselindung dengan nada yang jelas sambil memperingatkan khalayak ramai norma yang sudah dipersetujui dan terbukti membawa negara kepada kemakmuran sehingga hari ini. Raja-Raja Melayu bukan hanya simbol untuk dikenang. Baginda memainkan fungsi yang amat besar dalam sistem perundangan negara. Baginda adalah payung negara. Kegusaran yang dizahirkan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja itu mempunyai pelbagai maksud yang tersurat dan tersirat. Setiap rakyat perlu meneliti kembali teguran yang dizahirkan itu. Sebelum ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan baginda dengan perkembangan terkini sesetengah kaum yang menuntut hak mereka tidak selari dengan apa yang dipersetujui sebelum ini. Institusi Raja-Raja Melayu sudah menzahirkan kegusaran mengenai tuntutan segelintir pihak memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Baginda Sultan Johor menyifatkan golongan berkenaan sebagai dangkal dan tidak meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang akan merosakkan keharmonian kaum di negara ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Abdul Aziz juga mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya menjaga hubungan antara kaum dengan tidak terlalu mendesak seolah-olah rakyat minoriti di negara ini dizalimi. Sudah acap kali Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan baginda terhadap trend masyarakat ketika ini dan mengajak rakyat kembali kepada semangat yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah juga tidak ketinggalan menyuarakan isu ini. Rakyat seharusnya memahami apa yang ingin dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu dan bukan berselindung di sebalik hak sama rata dalam erti kata begitu luas dan tersasar daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Keistimewaan orang Melayu sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang jitu sehinggakan ia diabsahkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Keistimewaan orang Melayu itu juga sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Inilah toleransi yang dicapai antara kaum di kalangan pemimpin pelbagai kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu mengingatkan kita.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi sehinggakan peruntukan Perlembagaan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidaklah boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Ini bermakna sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara tertentu mestilah terlebih dulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen. Perkara 159 ini bukan saja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan ataupun melanggar peruntukan Perlembagaan.

Antara perkara yang berkaitan ialah Perkara 153. Perkara 153 adalah peruntukan yang panjang mencakupi hal ehwal berkaitan perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agong boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, dana siswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malah dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat itu, adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada kerajaan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri yang difikirkan munasabah dan kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Semua hak yang dinyatakan di atas adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sendiri dan sekiranya hak-hak itu termasuklah hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak mendapat biasiswa dan kemasukan ke menara gading hendak dipinda, persetujuan Majlis Raja-Raja perlulah diperoleh sebelum pindaan itu dibuat. Sekiranya ia dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja, pindaan itu akan menjadi tidak sah. Jika pindaan pun tidak dibenarkan tanpa perkenan Raja-Raja Melayu, apatah lagi tidak menghiraukan keistimewaan itu ataupun membuat perkara yang bertentangan dengan keistimewaan itu.

Begitulah besarnya peranan Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada hak istimewa Islam dan pribumi di Malaysia. Raja-Raja Melayu adalah payung yang melindungi kepentingan Islam dan orang Melayu. Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini Raja-Raja Melayu mula menzahirkan tanggungjawab berperlembagaan baginda mempertahankan hak istimewa Islam dan orang Melayu. Raja-Raja Melayu adalah benteng terakhir dalam mempertahankan agama Islam dan hak istimewa Melayu di Malaysia.

Berbalik kepada titah ucapan baginda Raja Raja Melayu itu, jelaslah sebarang tindakan yang melanggar Perkara 153 memerlukan perkenan daripada Majlis Raja Raja. Sekiranya tidak diperoleh, tindakan yang dibuat itu sudah pasti menjadi tindakan yang tidak berperlembagaan.

Raja-Raja Melayu sudah bersuara. Rakyat segenap lapisan hendaklah mengambil berat titah ucapan Raja Raja Melayu itu yang mempertahankan hak orang Melayu dan kedudukan istimewa agama Islam.

Janganlah mempersoalkan lagi keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu serta kedudukan tinggi agama Islam dalam negara kita. Ia sudah tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah dihormati.

Sebagai undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan ini mestilah dipertahan dan diberi penghayatannya. Pihak kerajaan juga perlu akur dengan kedudukan ini. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga ketika menjelaskan Gagasan 1Malaysia dengan nada yang tegas menyatakan setiap rakyat perlu menerima Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Gagasan 1Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh lari daripada undang-undang tertinggi itu. Malah tanggungjawab berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong amatlah jelas seperti sumpah baginda dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang berikrar mempertahankan Islam pada setiap masa. Jelaslah Raja-Raja Melayu amat prihatin dengan apa yang dilalui oleh negara ketika ini yang semakin hari semakin menyisihkan sejarah dan aspirasi datuk nenek kita sewaktu menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Melupai sejarah akan hanya menghakis jati diri kebangsaan. Memahami sejarah akan menambahkan lagi sikap tolak ansur dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Tuesday, November 2, 2010

Umur bersara hakim syariah dilanjut kepada 66 tahun

2010/11/02
NILAI: Had umur persaraan wajib bagi hakim Mahkamah Syariah akan dilanjutkan kepada 66 tahun daripada 58 tahun mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata. ini bagi menyelaras dengan umur persaraan hakim Mahkamah Sivil. "Tujuannya antara lain ialah agar hakim yang baru dapat menimba berpengalaman daripada hakim yang senior. Selain itu, dengan adanya hakim tersebut kita berharap tidak ada kes tertangguh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Syariah dan Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2010, di sini hari ini. Katanya, amalan sekarang ialah apabila sampai umur 58 tahun, perkhidmatan hakim-hakim Mahkamah Syariah akan disambung secara kontrak setiap tahun.

Semasa merasmikan seminar tersebut, Jamil Khir berkata inisiatif perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan umum terhadap keunggulan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang dapat menjamin keadilan kepada semua pihak tanpa mengira bangsa atau agama.

Beliau juga berkata, Mahkamah Syariah perlu menjadi institusi yang bebas dan disegani dalam menegakkan keadilan tanpa perlu tunduk kepada tekanan luar yang datang daripada pelbagai kelompok organisasi dan masyarakat. - BERNAMA

Monday, November 1, 2010

Sejarah bantu kita fahami akar umbi tamadun bangsa

Oleh Mohd Ayob Abd Razid
ayop_60@yahoo.com
2010/11/01
Langkah jadi subjek wajib lulus pada 2013 bantu generasi muda nilai kemanusiaan, tingkat penghayatan patriotisme

SEJARAH adalah satu cabang ilmu yang berasal dari Yunani pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM). Karya yang mula-mula dianggap sebagai penulisan sejarah ialah Histories, ditulis oleh Herodotus yang dianggap sebagai 'bapa sejarah'. Karya Herodotus ini membawa maksud penyelidikan atau penyiasatan. Ia diterjemahkan oleh G Rawlinson dengan judul The Persians Wars. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh The Modern Library, New York pada 1942. Dalam bahasa lain, sejarah dikenali seperti berikut iaitu historia di negara Latin, history (Inggeris); storia (Itali), historie (Perancis), geschichte (Jerman), gescheiedenis (Belanda), shih (Cina), itihasa dan purana (Hindu) dan tarikh (Arab). Dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia disebut sejarah (syajarah) yang diambil daripada perkataan Arab ‘syajaratun’ yang bererti pohon, keturunan atau asal-usul.

Sejarah adalah berkaitan dengan perkara atau peristiwa yang sebenar sudah berlaku (Sir John Seely). Ia merakamkan pengalaman kehidupan manusia dalam masyarakat yang bertamadun (G Renier). R G Collingwood menganggap semua sejarah ialah sejarah pemikiran (idea manusia). Lewis Namier pula menyebut bahan atau mauduk yang menjadi perhatian sejarah ialah mengenai tindakan manusia sehingga mencetuskan peristiwa mengikut keadaan dan masa.

Islam sangat memberi perhatian terhadap sejarah. Misri A Muchsin dalam Filsafat Sejarah Islam (Ar-Ruzz Press, Jogjakarta, 2002) menyebut sekitar dua pertiga daripada keseluruhan ayat al-Quran memiliki nilai atau norma sejarah yang mana al-Quran berbicara mengenai perubahan dalam masyarakat yang sangat ditentukan oleh kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia. Dalam konteks ini, al-Quran berbicara sebab khusus terjadinya perpecahan sosial bangsa yang sudah terlalu jauh menyimpang daripada sendi kebenaran hakiki.

Sejarah sebagai satu ilmu memerlukan kepada penyiasatan dan penyelidikan mengenai peristiwa masa lampau berdasarkan bukti yang ditemui. Daripada bukti atau sumber itu, maka pentafsiran sejarah akan dilakukan oleh sejarawan. Jacob Burchharht menyebut bahawa sejarah ialah pentafsiran berdasarkan kepada sumber. Ini bermakna sejarah ialah pencarian untuk mendapatkan kebenaran, hakikat dan penujuan manusia (Arnold Toynbee).
Dalam konteks ini, Edward Carr menyebut bahawa sejarawan mempunyai dua tugas utama iaitu menyingkap fakta penting dan menyingkirkan fakta historis (bukan fakta sejarah). Sejarawan harus dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan (pembohongan) sumber sejarah. Ibnu Khaldun sangat tegas dalam perkara mengenai fakta sejarah. Beliau menegaskan sejarawan perlu melakukan dua perkara penting, iaitu memberi pemikiran mendalam terhadap berita mengenai sesuatu peristiwa dan membuat kajian terhadap kebenaran dan kejujuran penutur (pencerita) dan penulis berita itu.

Ilmu sejarah adalah ilmu yang menggunakan pendekatan ilmu sosial. Hasil daripada metodologi kajian sejarah itu membolehkan ahli sejarah melakukan interpretasi sejarah terhadap peristiwa yang dikaji. Interpretasi itu pula bergantung kepada dari segi mana sejarawan itu melihatnya, dimensi mana yang diperhatikan serta undur mana yang diungkapkannya. Misalnya, jika ia menggunakan pendekatan politikologis sudah pasti sejarawan itu akan meneliti atau menyoroti pertentangan kekuasaan, ideologi politik, struktur politik dan jenis pemerintahan serta kepemimpinan.

Yang pasti, dalam apa jua pendekatan yang digunakannya, pengkaji sejarah memerlukan pengetahuan mengenai konsep dan teori ilmu sosial seperti antropologi, sosiologi, geografi, politik, ekonomi, bahasa, kesusasteraan, falsafah dan ilmu sosial yang lain. Malah, dalam keadaan tertentu pengkaji sejarah memerlukan bantuan ilmu fizik dan kimia untuk membuat penilaian mengenai bahan berkaitan fosil, batu bata, bahan purba dan dokumen lama yang dikajinya itu.

Pada sekitar 1920-an, ahli sejarah Perancis yang terdiri daripada aliran ‘Annales’ dianggap berjaya meletakkan ilmu sejarah sebagai ilmu bersifat saintifik dengan sempurna apabila berjaya menggunakan kaedah kuantitatif serta menghuraikan secara sahih peranan pelbagai faktor penyebab seperti geografi, struktur sosial dan pemikiran. Justeru, penulisan sejarah yang dihasilkan oleh ahli sejarah Annales telah memberikan satu nafas baru kepada pengajian ilmu sejarah dengan memperluaskan sudut pandangan ahli sejarah, baik dari segi ruang lingkup mahupun perkaedahan (R Suntharalingam, 1987).

Sebenarnya, bagi mereka yang membuat pengkhususan dalam pengajian sejarah, terlalu banyak cakupan ilmu sejarah yang perlu dikuasainya. Misalnya, seseorang penuntut atau pengkaji dalam pengkajian falsafah sejarah perlu memahami mengenai dasar dan persoalan falsafah sejarah, perkembangan pensejarahan (Timur dan Barat), perkembangan falsafah sejarah mengikut periodisasi, epistemologi sejarah, ontologi sejarah, teleologi sejarah, kosmologi sejarah, eskatologi sejarah, nomologi sejarah dan aksiologi sejarah.

Apakah fungsi sejarah? Apakah sejarah itu hanya dilihat sebagai satu nostalgia ataupun romantisisme yang digunakan sebagai satu pelarian seperti yang ditanggapi oleh orang yang bukan ahlinya. Ibnu Khaldun menyatakan bahawa ilmu sejarah adalah ilmu yang dikaji oleh pelbagai bangsa dan generasi untuk mengetahui mengenai kerajaan dan negara serta perubahan yang terjadi dalam sesuatu masyarakat itu.

Melalui sejarah, sesuatu bangsa itu dapat mengenali mengenai akar umbi serta jatuh bangunnya bangsa itu. Daripada peristiwa sejarah itu jugalah kita dapat memahami dan mengenali hukum sebab akibat daripada sesuatu peristiwa supaya boleh diambil pengajaran daripadanya. Nouruzzaman Shiddiqie dalam pengantar Sejarah Muslim (Nurcahaya, Yogyakarta, 1983) menyebut sejarah sebagai peristiwa masa lampau bukan sekadar memberi maklumat mengenai terjadinya peristiwa itu, tetapi juga memberi interpretasi atas peristiwa yang berlaku dengan melihat kepada hukum sebab akibat untuk dijadikan pengajaran.

Sejarah mampu memperteguhkan semangat dan ketahanan sesuatu bangsa dalam menghadapi krisis atau kekacauan dalam kehidupan semasa. Melalui pengalaman sejarah, ia dapat menyediakan arah garis tertentu serta membina keyakinan dan harapan masa depan yang lebih menyakinkan. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihasilkan di negara kita adalah didorong oleh pengalaman sejarah bangsa Melayu yang mengalami keterbelakangan dalam penyertaan ekonomi moden kesan daripada dasar yang diamalkan penjajah. Ia adalah berkaitan dengan kesan dan akibat daripada perjalanan sejarah kolonial di negara kita.

Bagi bangsa yang tidak memberikan perhatian kepada sejarahnya, ia akan kehilangan arah dan identiti kerana perilaku, pemikiran dan tindak tanduknya sudah tersasar dan terputus daripada sejarah akar umbi bangsanya. Hakikatnya, apabila kita meneliti negara dan masyarakat kita, maka kita dapati bahawa negara dan masyarakat kita yang wujud hari ini banyak dikenali melalui pelbagai simbol dan lembaga kenegaraan yang ada hubungannya dengan pensejarahan negara.
Justeru, sejarah nasional wajib menjadi sebahagian daripada unit sejarah dalam pengajian sejarah tanah air.

Pada hemat saya, sejarah tradisional tanah air mampu membawa kita mengenal akar umbi ketamadunan bangsa, manakala sejarah moden tanah air yang berkembang pada abad ke-19 dan 20 pula mampu memupuk semangat kita untuk meneruskan pembinaan negara bangsa yang mempunyai identiti dan jati diri yang kukuh.

Kita juga perlu memahami bahawa proses dan perjalanan sejarah tanah air tidak dapat dipisahkan daripada proses sejarah makro antarabangsa yang dalam keadaan, masa dan ruang tertentu turut mempengaruhi banyak aspek pensejarahan tanah air seperti aliran ideologi, politik, nasionalisme, perdagangan, kemasukan teknologi baru dan migrasi bangsa dari negara luar. Proses sejarah itu telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam proses pensejarahan negara.

Kesimpulan, pengajian sejarah akan menjadikan generasi kita memahami proses pembinaan negara bangsa, membangun intelektual, menghargai usaha dan sumbangan tokoh tanah air, membina nilai kemanusiaan serta membentuk warga negara yang patriotik. Melalui penghayatan terhadap pengalaman sejarah tanah air akan meningkatkan kesedaran, kepekaan dan semangat ingin membabitkan diri dalam proses pembinaan negara bangsa secara aktif dan produktif di atas penghayatan patriotisme yang tinggi terhadap tanah air.

Justeru, keputusan kerajaan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan Sejarah sebagai subjek teras di sekolah rendah mulai 2014 sangat dialu-alukan.

Penulis ialah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Minda Pengarang: Orang Melayu perlu cari titik persamaan demi perpaduan bangsa, agama

2010/11/01
PERINGATAN Raja-Raja Melayu agar tiada lagi mana-mana pihak mempersoalkan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang menjadi asas permuafakatan kaum di negara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Majlis Raja-Raja Melayu, pastinya melahirkan kegusaran itu, selepas mengambil kira perkembangan terkini suasana politik semasa, terutama apabila ada pihak yang berani mencabar Perlembagaan Persekutuan. Kebimbangan Raja-Raja Melayu itu ditambah pula dengan tindakan kumpulan ini yang sanggup memainkan isu perkauman bagi tujuan politik sempit mereka. Mereka seperti dengan sengaja mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, terutama membabitkan hak dan keistimewaan orang Melayu. Semestinya, bagi setiap lapisan rakyat yang cintakan keamanan dan mementingkan perpaduan kaum yang sudah lama terjalin di negara ini, tindakan kumpulan tidak bertanggungjawab ini yang mahu bermain dengan api perlu ditolak sepenuhnya. Majlis Raja-Raja Melayu yang bermesyuarat bagi kali ke-222 di Istana Negara baru-baru ini, sudah mengisytiharkan akan tetap berpegang teguh kepada kontrak sosial itu, sebagai satu semangat permuafakatan serta persefahaman antara kaum dengan persetujuan Raja-Raja Melayu. Kontrak sosial adalah watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil. Sebagai rakyat Malaysia yang taat dan patuh kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara, sewajarnya kita akur dengan nasihat Raja-Raja Melayu itu. Majlis Raja-Raja Melayu adalah benteng penting dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Tiada sesiapa, mahupun parti politik yang berkuasa boleh meminda mana-mana artikel dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

Sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan di negara ini jelas memberi banyak kebaikan dan manfaat kepada rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. Raja-Raja Melayu adalah umpama payung yang memayungi sekalian rakyat tanpa mengira kaum bagi menikmati kemakmuran dan kesejahteraan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, kita tidak menolak ada pihak yang kurang senang dengan sistem kita amalkan sejak merdeka ini dan cuba meruntuhkan sistem sedia ada bagi meraih kuasa politik. Oleh itu, menjadi tugas kita bersama untuk mempertahankan sistem yang ada daripada sebarang ancaman sama ada dari dalam, mahupun pihak luar demi memastikan negara kita terus aman dan makmur. Pada masa sama, Raja-Raja Melayu juga sedar bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana pendirian dan fahaman politik yang berbeza-beza menjadikan mereka lemah. Akibatnya, orang Melayu mudah diperkotak-katikkan. Mereka ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan dan terpinggir daripada arus pembangunan negara. Orang Melayu sepatutnya menjadikan ajaran Islam sebagai teras perpaduan dan pengukuhan tali silaturahim sesama mereka. Persoalannya, sampai bilakah pemimpin dan pertubuhan Melayu di negara ini akan terus bertelagah? Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama sama ada pada peringkat nasional atau negeri pemerintahan masing-masing. Oleh itu, pertubuhan Melayu, termasuk politik di negara ini, seharusnya menerima nasihat Raja-Raja Melayu sejajar kehendak Islam untuk mencari titik persamaan demi perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini.