Thursday, May 27, 2010

Robert Kuok kekal individu terkaya Malaysia

SINGAPURA 27 Mei - Datuk Seri Nazir Razak kembali dimasukkan dalam senarai 40 Individu Terkaya Di Malaysia 2010 ketika tokoh korporat Robert Kuok mengekalkan gelarannya sebagai orang terkaya, kata Forbes Asia.

Nazir yang merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, dilaporkan berada di tangga ke-32 dengan jumlah kekayaan AS$145 juta (RM481.4 juta) selepas tercicir daripada senarai tersebut bersama-sama dua lagi individu, Onge Leong Huat dan Abdul Hamed Sepawi.

Leong Huat memiliki kekayaan sebanyak AS$140 juta (RM464.8 juta) manakala Abdul Hamed AS$120 juta (RM398.4 juta).

Pada masa yang sama, Datuk Shahril Shamsuddin Ketua Eksekutif SapuraCrest, berjaya memperbaiki kedudukannya di tempat ke-23 di kalangan 40 individu terkaya di Malaysia.

Shahril dan adiknya, Shahriman yang berkongsi kedudukan itu dilaporkan memiliki kekayaan sebanyak AS$270 juta (RM896.4 juta).

Pemilik Eversendai, A. K Nathan, kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Burj Khalifah di Dubai pula menjadi individu ke-24 terkaya dengan nilai kekayaan sebanyak AS$250 juta (RM830 juta).

Kuok, 86, yang mengekalkan gelaran sebagai individu terkaya di Malaysia sejak 2006, berjaya menambahkan kekayaan sebanyak AS$3 bilion (RM9.96 bilion) tahun lalu kepada AS$12 bilion (RM39.8 bilion).

Ananda Krishnan juga kekal pada kedudukan kedua dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$8.1 bilion (RM26.8 bilion) dan peneraju Kumpulan IOI, Lee Shin Cheng masih ditempat ketiga dengan kekayaan berjumlah AS$4.6 bilion (RM15.2 bilion).

Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary pula masih mengekalkan individu Melayu terkaya di Malaysia, berada pada kedudukan kelapan dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.64 bilion).

Forbes Asia berkata, kombinasi kekayaan individu rakyat Malaysia pada tahun ini telah meningkat 42 peratus dengan jumlah AS$51 bilion (RM169.32 bilion) berbanding AS$36 bilion (RM119.5 bilion) pada tahun lalu.

Katanya, keseluruhan pertambahan kekayaan itu adalah seiring dengan lonjakan Indeks Komposit Kuala Lumpur sebanyak 32 peratus dan kenaikan mata wang ringgit sebanyak 11 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat sejak 12 bulan lalu.

Tuesday, May 25, 2010

Keselamatan rakyat, kelangsungan alam sekitar taruhan pembangunan nuklear

2010/05/25
KIRA-KIRA 24 tahun lalu, bumi Ukraine, ketika itu di bawah Kesatuan Soviet, dikejutkan dengan kejadian letupan di loji jana kuasa nuklear Chernobyl berikutan kegagalan reaktor keempatnya.

Kejadian yang berlaku pada 26 April 1986 itu menyebabkan kepulan asap radioaktif memasuki ruang udara sebelum menyelubungi kawasan berdekatan, termasuk di bandar Pripyat. Asap dan debu radioaktif itu kemudian bergerak meliputi sebahagian kawasan barat Kesatuan Soviet dan sebahagian kawasan timur, barat dan utara Eropah, memaksa lebih 336,000 penduduk Ukraine, Belarus dan Russia dipindahkan. Dilaporkan beribu-ribu nyawa terkorban ekoran kejadian itu, akibat terdedah kepada radiasi dan kemudian ramai lagi mati disebabkan kanser dan komplikasi lain. Begitulah dahsyatnya risiko membabitkan kejadian loji jana kuasa nuklear.

Sehingga hari ini, Chernobyl diklasifikasikan sebagai tragedi terburuk dalam sejarah peradaban manusia sejagat dan menjadi satu-satunya kejadian tahap ketujuh dalam ‘International Nuclear Event Scale’.

Rentetan daripada fakta sejarah itu, tidak hairanlah kenapa sebilangan besar rakyat, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), memberikan reaksi pelbagai mengenai cadangan pembinaan jana kuasa nuklear pertama di negara ini pada 2021.

Persoalan pokok yang menjadi perhatian ialah adakah loji jana kuasa nuklear yang akan dibina itu selamat dan bagaimana sisa buangan radio aktifnya diuruskan?
Beberapa saintis merumuskan opsyen nuklear sebagai sumber tenaga elektrik pasca 2020 tidak boleh ditolak selepas negara diramalkan mengalami krisis tenaga jika masih bergantung kepada sumber fosil yang semakin menyusut.

Hakikatnya, teknologi nuklear bukanlah perkara asing kepada Malaysia kerana negara ini mempunyai reaktor nuklear, Reaktor Triga Puspati (RTP) yang beroperasi sejak 1982 bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan dalam bidang perubatan, pertanian dan kajian neutron.

Malaysia juga dikatakan mempunyai jumlah pakar nuklear tertinggi di rantau Asia Tenggara dengan kebanyakannya bertugas di Agensi Nuklear Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT).

Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meramalkan keperluan kepada sumber tenaga alternatif bagi menjana elektrik semakin kritikal menjelang 2019 selepas sumber fosil khususnya gas semakin menyusut dan tidak lestari.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin pada 4 Mei lalu mengumumkan kerajaan berhasrat meneruskan projek nuklear yang pernah ditangguhkan pada 1970-an bagi menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat ekoran peningkatan populasi dan kepesatan ekonomi.

Loji jana kuasa nuklear yang dicadang dibina pada 2021 dengan anggaran kos RM9.75 bilion mempunyai jangka hayat 50 hingga 70 tahun.

Saintis Jabatan Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Sukiman Sarmani, berkata pembinaan loji jana kuasa nuklear itu tertakluk kepada syarat ketat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi memastikan pembinaannya mengikut spesifikasi keselamatan ditetapkan.

Beliau berkata pembinaannya juga memerlukan persediaan awal, sekurang-kurangnya 10 tahun, bagi memastikan aspek keselamatan, sumber manusia dan lokasinya diperincikan, selain pembinaannya juga memakan masa lama.

“Reaktor yang akan kita bina ialah rektor generasi ketiga... Ia tidak sama seperti reaktor generasi pertama pada 1970-an, termasuk di Chernobyl. Reaktor generasi ketiga lebih selamat dan kurang campur tangan manusia,” kata Prof Sukiman menjelaskan kejadian di Chernobyl berlaku disebabkan kesilapan manusia, bukannya teknologi terbabit.

Secara ringkasnya, jana kuasa nuklear akan menggunakan uranium dalam bentuk isotop untuk menghasilkan haba yang banyak daripada beberapa siri tindak balas sebelum haba itu digunakan untuk memutarkan turbin menghasilkan elektrik.

Ketika ini, lebih 80 peratus daripada penjanaan elektrik negara bergantung kepada sumber konvensional fosil, iaitu gas (60 peratus) dan arang batu (24 peratus) dengan selebihnya dijana daripada hidro dan biomas.

Ini bermakna sumber tenaga alternatif untuk menjana elektrik masih rapuh dengan sebahagian besarnya bergantung kepada bahan api fosil yang tidak lestari dan tidak mesra alam. Keadaan ini bertentangan dengan hasrat Malaysia yang mahu bergerak ke arah ekonomi karbon-rendah bagi menangani perubahan iklim dunia akibat pembebasan karbon dioksida antara lain, melalui pembakaran bahan api fosil.

Malaysia juga menetapkan sasaran mengurangkan 40 peratus emisi karbonnya dan komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Perubahan Iklim di Copenhangen, Denmark, akhir tahun lalu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebelum ini dilaporkan berkata, jika projek jana kuasa nuklear itu dimuktamadkan, Malaysia akan menggunakan teknologi nuklear dari Korea Selatan, China, Perancis atau Jepun.

Jika projek opsyen nuklear itu diteruskan, seorang pakar tenaga boleh diperbaharui Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Dr Mohamad Yusof Sulaiman mencadangkan kepada kerajaan supaya menggunakan ‘Pressurised Water Reaktor’ (PWR) berbanding ‘Boiling Water Reactor’.

“Kedua-duanya ialah rektor generasi ketiga, tetapi PWR lebih selamat,” katanya yang sebelum ini mencadangkan teknologi kuasa angin ‘offshore’ dikaji sebagai sumber tenaga alternatif sebelum opsyen nuklear digunakan.

Profesor Kejuruteraan Kimia, Prof Dr Hamdani Saidi, berkata antara kelebihan nuklear ialah ia tidak membebaskan gas rumah hijau dan mengeluarkan tenaga yang tinggi (bermakna lebih banyak elektrik dijana) berbanding sumber tenaga lain.

“Kosnya juga lebih kompetitif berbanding bahan api fosil,” kata Hamdani yang juga Pengarah Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Media pada Jun 2008 melaporkan wujud tarikan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga elektrik memandangkan kosnya hanya AS$1.72 per kilo watt berbanding AS$9.63 menggunakan petroleum dan AS$6.75 bagi gas.

Hamdani bagaimanapun, mengakui kos permulaan bagi pembinaan jana kuasa nuklear agak tinggi.

Selain aspek keselamatan loji jana kuasa nuklear, antara perkara yang menjadi kebimbangan sebahagian besar masyarakat ialah mengenai pengurusan sisa bahan radioaktif yang dihasilkan.

Isu sama mendapat perhatian beberapa NGO antaranya ‘Centre for Environment, Technology and Development’ yang dilaporkan berkata pembinaan jana kuasa nuklear itu mendatangkan risiko melalui pembuangan sisa radioaktifnya.

Tidak dinafikan sememangnya wujud perkembangan dalam teknologi penyimpanan sisa radioaktif, namun pihak berwajib misalnya, Agensi Nuklear Malaysia perlu memberi penerangan yang telus mengenai perkara ini.

Ini bagi memastikan kejadian membabitkan ‘rare earth processing plant’ di Bukit Merah, Ipoh, yang mendapat tentangan ramai pihak pada pertengahan 1980-an tidak berulang lagi.

Dalam kejadian itu, ‘rare earth processing plant’ milik syarikat Asian Rare Earth (ARE) yang mengekstrak itrium (sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit ditutup pada Januari 1994 selepas didakwa antara lain, tidak menepati standard penyimpanan sisa buangan radioaktif.

Dalam hal ini, pihak terbabit termasuk kerajaan harus sedar dalam memenuhi keperluan bekalan tenaga untuk memacu ekonomi negara, aspek keselamatan rakyat dan kelangsungan alam sekitar tidak boleh diperjudikan dengan kajian mendalam perlu dilakukan.

Apa yang penting, pertimbangan untuk meneruskan opsyen nuklear perlu berlandaskan kepada pelbagai faktor dengan memastikan negara benar-benar berkeupayaan menguruskan sebuah loji nuklear dengan efisien dan selamat bagi mengelak kejadian seperti di Chernobyl berlaku di sini. – Bernama

Wednesday, May 19, 2010

Tanpa raja, siapalah Melayu

Oleh Zaini Hassan

AHAD dan Isnin lalu, saya sekali lagi melalui pengalaman yang amat mendalam sebagai orang Melayu. Berada di istana raja Melayu yang penuh dengan adat istiadat. Adat istiadat Melayu yang begitu teliti dan tertib. Adat yang perlu dihormati oleh semua rakyat Malaysia, termasuk orang Cina, India mahupun sesiapa sekali pun.

Ia adalah pengalaman yang cukup teruja. Pengalaman yang memberi kesedaran mengenai kebesaran, ketaatsetiaan kita, rakyat Tanah Melayu ini, kepada raja-raja Melayu yang dikasihi.

Selain menyerah diri kepada Allah SWT yang tiada taranya, tiada yang lain untuk kita serahkan untung nasib bangsa kecualilah kepada raja-raja kita.

Raja Melayu ialah ketua agama Islam - agama yang majoriti daripada kita menyerah diri. Urusan adat istiadat Melayu dipegang erat oleh institusi diraja. Ia adalah amanah turun temurun ratusan tahun bermula daripada kesultanan Melayu Melaka kira-kira 500 tahun lalu.

Kisahnya mengenai adat istiadat Melayu diperturunkan kepada kita melalui karya agung orang Melayu, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Tun Seri Lanang atau Tun Muhammad, pembesar istana berketurunan bendahara-bendahara kerajaan Melayu Melaka dan Johor Lama adalah penulis asal karya itu pada 1612. Tun Seri Lanang diarahkan menulis oleh Sultan Abdullah Maayah Syah dengan titah:

''Bahawa beta minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara peri persetua dan peri petuturan raja-raja Melayu dengan istiadat sekali; supaya diketahui segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu; syahadah beroleh faedahlah ia daripadanya." (A. Samad Ahmad "Sulalatus Salatin". Kuala Lumpur DBP hlm.3)

Tanpa titah raja itu, siapalah orang Melayu hari ini.

Saya berada di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang untuk satu majlis adat istiadat kebesaran diraja.

Berada dalam Balairung Seri adalah satu kebanggaan. Adat Melayu Pahang berbeza sedikit dengan adat-adat Melayu negeri-negeri lain. Masing-masing mempunyai ciri-ciri tersendiri.

Adat Melayu Pahang penuh dengan ketelitian yang cukup halus. Ikatan sampinnya cukup tertib dan mempunyai simpulan unik. Apabila semua orang Melayu memakai baju Melayu ikatan sampin, bertanjak Kesultanan Pahang, masing-masing berasa bangga.

''Inilah kebanggaan orang Melayu Pahang," kata Abdullah Sulaiman atau dikenali di Istana Abu bakar sebagai Pak Dol, tukang pakai sampin ikatan Pahang yang bersimpul erat itu. Beliau yang sudah bersara setelah berkhidmat selama 45 tahun sebagai penjaga barang-barang adat dan istiadat, kini memberi khidmat memakaikan pakaian adat resam Pahang kepada tetamu istiadat istana. Pak Dol mula berkhidmat pada 20 Mei 1965 di bawah Alharhum Sultan Abu Bakar.

Sambil memakaikan sampin, Pak Dol cukup mesra dengan kata-katanya. Kata-katanya cukup berisi, penuh dengan simpulan bahasa dan peribahasa lama.

Melihatkan semua yang dipakainya tertekan, muka berkerut takut lambat ke majlis istiadat, Pak Dol berbicara: ''Berbuku-buku, beruas tidak…" Beliau kemudian bercerita mengenai kisah ular dan helang yang berakhir dengan ''alah bisa tegal biasa'' yang membawa erti ikatan sampin Pahang bukannya susah, jika tahu caranya. Moral cerita beliau ialah: serahkan kepada Pak Dol untuk mengikatnya dan insyaAllah tiada siapa pun yang terlewat.

Coloteh bersahajanya menjadikan semua yang dipakaikan sampin dan tanjak tidak tertekan untuk menunggu masuk ke Balairung Seri sebelum istiadat bermula.

Di Balairung Seri istiadat bermula dengan penuh khusyuk. Raptai sehari sebelum itu telah ditaklimatkan oleh Yang DiHormati Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Yang Mulia Datuk Paduka Maharaja Lela, Yang Hormat Dato' Seri Perkasa, Tengku Dato' Asmawi Tengku Hussin. Cukup teliti penerangan mengenai ketertiban berada dalam balai itu. Cara pergerakan kaki, langkah bertertib, sehinggalah kepada cara berpakaian dan bertegur sapa dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Pada hari kemuncak semuanya berjalan lancar. Istiadat dalam Balairung Seri berakhir kira-kira dua jam, kemudian berpindah di Dewan Santapan Tengah Hari.

Di situlah rakyat jelata beramah mesra dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah - sultan yang dikenali ramai sebagai sultan berakyat di hati.

Keramahan baginda berdua cukup hebat. ''Saya adalah pembaca Utusan Malaysia," tegur perlahan tuanku kepada saya.

Baginda berdua dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom tidak putus-putus mencemar duli bergambar dengan rakyat jelata selepas majlis santapan. Santapan yang berakhir dengan juadah pencuci mulut istimewa Istana Pahang, puding raja - campuran kuah krim manis kuning berisi pisang salai dan jala mas cukup enak.

Ternyata keramahan kesultanan Pahang tiada taranya. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj bersama-sama kaum kerabat termasuk YAM Tengku Kamaruzzaman Ibni Alharhum Sultan Sir Abu Bakar, adinda Sultan Pahang turut bersama-sama beramah mesra dengan tetamu dan rakyat jelata.

Pengalaman indah dan istimewa berada di Istana Abu Bakar mengingatkan kembali kepada kebesaran raja-raja yang memegang erat adat resam Melayu. Ia perlu dipertahankan sampai bila-bila.

Amat malang, jika ada pihak yang mula mempertikaikan titah baginda raja-raja Melayu. Orang Melayu sepatutnya tidak bersikap biadap terhadap institusi itu. Raja ialah instituisi Melayu. Jika raja disanggah bermakna Melayulah disanggah.

Ingatlah sekali lagi: Tanpa raja, siapalah Melayu.

Menjunjung kasih Tuanku!

Mencari penyelesaian isu AP kereta terpakai

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

DASAR Automatif Negara (DAN) yang diumumkan kerajaan selepas kajian semula antara lain memasukkan pemansuhan AP terpakai/terbuka bermula 31 Disember 2015 sebagai intipati. Selain pemansuhan AP ini, DAN juga mensyaratkan syarikat pengimport kereta membayar caj sehingga RM10,000 bagi setiap kereta yang dibawa masuk.

Bagi kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, langkah penamatan AP dan caj bayaran yang dikenakan itu bertujuan untuk mewujudkan industri automotif tempatan yang lebih berdaya saing.

Matlamat lebih besar pula ialah untuk memastikan syarikat pengimport kereta lebih bersedia dengan pelbagai kemungkinan ekoran perlaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Pelaksanaan AFTA yang kini sedang menjadi tumpuan negara-negara di rantau ini memerlukan semua sektor termasuk automotif bersaing secara kompetitif dan bebas daripada bantuan kerajaan. Bagaimanapun, cadangan memansuhkan AP bermula tahun 2015 mengundang kebimbangan di kalangan usahawan automotif bumiputera mengenai masa depan mereka.

Apatah lagi sehingga kini, masih tiada garis panduan yang jelas bagaimana mekanisme baru kaedah mengimport kereta terpakai selepas penamatan pemberian AP nanti daripada kerajaan. Ini secara tidak langsung meletakkan usahawan automotif bumiputera dalam keadaan terumbang-ambing.

Selain pemansuhan AP yang pada awalnya ditetapkan pada 2020, kerajaan turut mengenakan caj sebanyak RM10,000 bagi setiap kereta yang dibawa masuk. Caj ini juga menimbulkan persoalan di kalangan pengusaha syarikat kereta import terpakai bukan kerana dianggap terlalu tinggi, tetapi perlu dijelaskan sebelum kereta terjual.

Kerana itu sejak kerajaan menetapkan dasar-dasar itu kira-kira setahun lalu, desakan daripada usahawan bumiputera agar ia dikaji semula tidak pernah berhenti. Antara yang kerap tampil ke depan sudah semestinya Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) yang menjadi payung kepada kira-kira 90 buah syarikat pengimport kenderaan terpakai.

Persatuan ini yang mendapat manfaat secara langsung daripada pemberian AP oleh kerajaan dilihat akan berkubur sekiranya dasar itu ditamatkan.

Mereka terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit yang dilaburkan terutama dari sudut membuka pusat jualan kereta yang melibatkan kos yang tinggi. Impak kerugian itu akan menjadi lebih luas kerana sebahagian besar daripada ahli Pekema mempunyai rantaian perniagaan dalam pelbagai bidang seperti hotel, restoran, pasar raya dan sebagainya yang membabitkan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.5 bilion.

Pembabitan mereka dalam bidang perniagaan itu telah membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 70,000 orang rakyat tempatan di seluruh negara. Maka, sekiranya perniagaan teras mereka iaitu penjualan kereta import terpakai yang diperoleh daripada pemberian daripada kerajaan ditamatkan, rantaian perniagaan lainnya juga akan terjejas.

Kerana itu seperti yang dijelaskan oleh Naib Presidennya, Datuk Abang Khalid Abang Marzuki berkata, Pekema berharap kerajaan dapat menilai semula dasar itu dan turut mengambil pandangan daripada usahawan automotif bumiputera sebelum perlaksanaannya.

Ini katanya, bagi memastikan kerajaan mendapat maklumat yang jelas mengenai persekitaran industri automotif bumiputera dan sejauh mana ia membawa manfaat tidak hanya kepada kerajaan malah orang ramai.

Antara yang perlu diambil kira sudah semestinya hakikat bahawa perlaksanaan dasar pemberian AP tidak merugikan kerajaan dari mana-mana sudut sekali pun.

Malah, sektor ini juga menyumbang kira-kira RM1 bilion setahun melalui pungutan duti eksais dan duti import. Ia merupakan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan pungutan cukai industri automotif.

Kerana itu tambah Abang Khalid, Pekema sentiasa bersedia untuk berbincang dengan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mencadangkan mekanisme terbaik dalam perlaksanaan AP selepas ini yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.

''Sudah semestinya, kita seboleh-bolehnya mahukan pemberian AP ini diteruskan ke satu jangka masa yang dirasakan sesuai kerana ia merupakan nadi kepada usahawan automotif bumiputera. Dalam masa yang sama, Pekema juga dapat meneruskan agenda membantu usahawan bumiputera sebagai platform untuk mereka terlibat dalam industri ini," ujar Abang Khalid yang juga merupakan Yang di-Pertua Pekema Sarawak.

Begitu pun, usahawan automotif bumiputera juga perlu sedar bahawa mereka tidak boleh selamanya bergantung kepada kerajaan. Sementelah Pekema sendiri sudah mendapat bantuan daripada kerajaan sejak sekian lama atau lebih tepat sejak penubuhannya kira-kira 30 tahun lalu.

Dalam usia yang sudah boleh dianggap matang itu, Pekema seharusnya sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri dan memiliki jaringan perniagaan yang kuat. Namun untuk mengelakkan salah satu cabang industri yang dipelopori oleh bumiputera ini berkubur begitu sahaja, kerajaan sewajarnya tampil dengan satu langkah penyelesaian yang konkrit.

Sekurang-kurangnya, satu tempoh masa yang lebih panjang diberikan atau mekanisme baru yang lebih konsisten boleh dicadangkan supaya sektor ini dapat berkembang dengan maju.

Apa yang lebih penting, ia dapat memanfaatkan lebih ramai usahawan automotif bumiputera kerana tidak ramai yang mampu berkecimpung dalam industri yang lebih banyak dikuasai oleh kaum lain ini.

Tuesday, May 11, 2010

Mahkamah Khas kurang kuorum dengar prosiding

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/05/11
Seorang lagi hakim perlu dilantik kes babit Sultan Kelantan

PUTRAJAYA: Prosiding permohonan habeas corpus untuk membawa Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan, ditangguhkan berikutan kekurangan kuorum hakim. Ini berikutan Perkara 182(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan panel Hakim Mahkamah Khas mesti dianggotai lima hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara sebagai Pengerusi, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan atau Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik Majlis Raja-Raja. Bagaimanapun prosiding semalam yang dijalankan secara tertutup hanya dibarisi empat hakim, terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Linton Albert yang mewakili Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Tuanku Ismail Petra ketika ditemui pemberita berkata penangguhan dibuat bagi membolehkan seorang lagi hakim dilantik bagi melengkapkan panel seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan, selain memberi masa kepada Pejabat Peguam Negara untuk memfailkan afidavit balasan.

Katanya, walaupun baginda sudah dibenarkan keluar dari HUSM, kelmarin, masih ada isu berbangkit dalam permohonan yang difailkan mereka, Jumaat lalu, yang bukan saja membabitkan kepentingan awam pada peringkat nasional malah juga peringkat antarabangsa.
“Ia adalah sesuatu yang amat mengecewakan kerana mahkamah tidak mempunyai kuorum yang cukup. Sehubungan itu, mahkamah mencadangkan supaya perkara itu diselesaikan terlebih dulu sebelum permohonan habeas corpus didengar,” katanya.

Gobind memfailkan permohonan itu, Jumaat lalu bagi pihak Sultan Kelantan supaya dibenarkan keluar dari HUSM dan mendapatkan rawatan di mana-mana pusat rawatan mengikut pilihannya.

Dalam permohonan itu, Tuanku Ismail Petra yang bertindak sebagai pemohon menamakan Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah HUSM, Ketua Pengarah Kesihatan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Permohonan itu turut disokong afidavit diikrarkan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, iaitu putera ketiga baginda.

Tuanku Ismail Petra yang dibenarkan keluar dari HUSM kelmarin menjalani rawatan di pusat rawatan itu selama lima hari bermula Selasa lalu.

SPAD bukan penyelesaian

Oleh RAZALI ENDUN
razaliendun@gmail.com

Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Akta Pengangkutan Awam Darat sudah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru-baru ini. Maka pada 1 Jun 2010 ini, dengan rasminya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD diwujudkan menggantikan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang sekian lama berfungsi mewujudkan usahawan bumiputera dalam bidang pengangkutan dengan pemberian pelbagai jenis lesen pengangkutan awam dan lori.

SPAD diwujudkan bukan sahaja atas inisiatif kerajaan, akan tetapi juga atas permintaan pengusaha dan persatuan-persatuan pengangkutan awam. Meskipun salah satu fungsi LPKP mewujudkan usahawaan bumiputera dalam industri pengangkutan, namun matlamatnya tidak kesampaian kerana beberapa kelemahan yang berlaku.

Persatuan dan para pengusaha pengangkutan berpendapat bahawa bidang kuasa LPKP terhad; ia sekadar mengeluarkan permit semua jenis pengangkutan, itu pun bukan berdasarkan mengikut keperluan permintaan berasaskan kepada kajian, akan tetapi lebih kepada banyaknya permohonan yang diterima oleh LPKP. Dengan demikian berlakulah lambakan permit di pasaran menyebabkan keperluan melebihi permintaan. Maka berlakulah segala macam persaingan tidak sihat.

Bidang teknikal seperti pembinaan badan bas, pemeriksaan kenderaan, penguatkuasaan bukan di bawah satu bumbung. Sebaliknya para pengusaha mendepani sebanyak 16 buah agensi kerajaan yang mempunyai kuasa masing-masing untuk menguatkuasakan Akta JPJ/LPKP termasuk Akta atau Enakmen Bandaraya dan Majlis-Majlis Tempatan, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Manusia dan sebagainya.

Dengan demikian, para pengusaha mengesyorkan supaya kerajaan menubuhkan one stop agency di mana semua agensi yang berkaitan dengan pengangkutan disatukan di bawah satu bumbung. Ia bukan sahaja bagi memudahkan para pengusaha, akan tetapi menyelaraskan segala yang berkaitan dengan industri pengangkutan di bawah satu pentadbiran, termasuk penguatkuasaan.

Kaedah ini juga satu titik mula untuk menyusun kembali serta mewujudkan suatu sistem pengangkutan awam yang efisien, bersepadu dan berkualiti.

Dengan kerajaan sendiri sudah menyedari betapa industri pengangkutan memainkan peranan penting bagi membangun ekonomi negara, maka cadangan kerajaan menubuhkan SPAD sangat-sangat dialukan oleh para pengusaha. Ia bukan sahaja akan memudahkan segala urusan mereka, akan tetapi suatu kaedah sistem pengangkutan dapat diwujudkan untuk rakyat. Manakala rakyat jelata pula mengimpikan suatu sistem pengangkutan awam yang cekap, tepat dan murah bagi memudahkan pergerakan mereka.

Nampaknya kewujudan SPAD tidak menampakkan penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi oleh para pengusaha. Jauh sekali menepati apa yang diharapkan oleh persatuan dan rakyat jelata. SPAD sekadar kesinambungan tugasan LPKP dengan bidang yang lebih luas sedikit, mencakupi pengangkutan rel seperti Keretapi Tanah Melayu (KTM), ERL dan LRT. Oleh kerana Sabah dan Sarawak tidak mempunyi sistem rel, maka SPAD tidak merangkumi kedua-dua negeri itu.

Pegawai dan kakitangan SPAD juga terdiri daripada pegawai dan kakitangan LPKP. Malah Menteri dan Pengerusinya adalah sama, kecuali Ketua Pegawai Eksekutifnya dan Pegawai Eksekutif Operasi yang bukan daripada LPKP.

Penguatkuasaan dalam industri pengangkutan dalam Akta SPAD masih lagi di bawah JPJ, polis, alam sekitar, sumber manusia, majlis tempatan dan sebagainya. Ini bererti masalah yang di hadapi oleh para pengusaha masa kini akan berterusan sekiranya kaedah penguatkuasaan tidak berada sepenuhnya di bawah satu bumbung.

Begitu juga Puspakom tidak dimasukkan secara langsung di bawah SPAD, yang sudah pasti masalah yang dihadapi sekarang tidak akan ada penghujungnya.

Sebelum ini memang ada beberapa kali Unit Perancang Ekonomi yang bertanggungjawab mengendalikan kewujudan SPAD berbincang dengan wakil-wakil persatuan pengangkutan. Kita mengharapkan suatu perbincangan serius diadakan dengan persatuan untuk meneliti draf akta tersebut sebelum dibawa ke Parlimen.

Akta itu sangat penting bagi kami, ia ibarat nyawa kami, survival kesinambungan perniagaan kami. Malangnya kami hanya dipanggil untuk diberi taklimat di Parlimen pada 6 Mei lalu setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Maka tidak ada yang boleh kami perkatakan lagi tentang akta tersebut, sebaliknya dipaksa menerimanya sama ada suka atau tidak. Taklimat itu untuk memberi tahu pelaksanaannya, bukan mendapatkan pandangan kami tentang akta itu.

SPAD lebih mementingkan Akta daripada membuat pelan perancangan pengangkutan awam. Tiada kelihatan "Pelan Induk Pengangkutan" (Transport Master Plan) yang dirangka sebelum kewujudan dan Akta SPAD diluluskan. Jauh sekali melakar sebuah Dasar Pengangkutan yang telah didesak oleh Persatuan 20 tahun lalu untuk dijadikan garis panduan kepada para pengusaha dan kerajaan.

Malang sekali, setelah 53 tahun merdeka, kita masih tidak mempunyai dasar pengangkutan sebagai matlamat mewujudkan sebuah sistem pengangkutan awam yang efisien dan boleh dipercayai. Yang ada hanya kekalutan sistem yang bercelaru yang tidak tentu hala tujunya.

Memang ada perancangan 20 tahun SPAD untuk mewujudkan sistem pengangkutan ini, akan tetapi ia hanya akan dirangka selepas SPAD dilahirkan pada 1 Jun ini. Pengusaha mendambakan suatu perancangan yang konfrehensif meletakkan di mana sebenarnya kedudukan dan fungsi mereka dalam industri ini. Oleh kerana ketiadaan Dasar Pengangkutan Negara dan Pelan Induk Pengangkutan dikemukakan sebelum kewujudan SPAD, maka peranan mereka serta hala tuju industri ini masih kabur.

Misalnya apakah peranan Syarikat GLC yang diwujudkan oleh Kerajaan Pusat seperti Rapid KL dan Rapid Penang di bawah Kementerian Kewangan? Peranan kerajaan-kerajaan negeri yang juga menubuhkan syarikat-syarikat pengangkutan mereka sendiri? (Bas Panorama di Melaka, misalnya).

Syarikat-syarikat GLC ini menerima subsidi sepenuhnya sama ada daripada kerajaan negeri mahupun Kementerian Kewangan. Manakala para pengusaha tidak mendapat sesen pun subsidi daripada kerajaan, kecuali subsidi diesel mengikut kuota yang diluluskan oleh kerajaan. (Di negara-negara maju syarikat pengangkutan diberi subsidi yang tinggi oleh kerajaan).

Kemelut ini menghantui para pengusaha yang telah melabur jutaan ringgit dalam industri ini. Kekalutan ini harus diselesaikan segera agar hala tuju dan matlamatnya jelas supaya para pengusaha lebih yakin terhadap peranan mereka dalam industri ini.

Kalau masih banyak lagi jabatan dan agensi kerajaan terlibat secara langsung dalam industri ini secara bersendirian, tanpa di bawah bumbung SPAD, maka amat sukar meramalkan penyelesaian kemelut yang sedia ada. SPAD seolah-olah memakai baju baru bertanda SPAD menggantikan baju LPKP yang sudah lusuh. Mungkin ini suatu pandangan pesimis, sayangnya tiada ternampak petanda optimisme yang tersedia di hadapan mata.

Dengan adanya senario yang serupa di hadapan mata, SPAD tidak akan ke mana. Kami masih tidak nampak penyelesiannya di mana?

Penulis ialah Timbalan Presiden Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) dan Pengerusi Persatuan Penguaha Bas Melaka (MOOA)

Monday, May 10, 2010

Iktibar kegemilangan Melaka

Oleh TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP

Unit Perancang Ekonomi kini dalam fasa terakhir menyediakan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Jun ini.

RMK-10 akan merangkumi tempoh 2011 hingga 2015. Kebetulan pula, tahun 2011 merupakan ulang tahun ke-500 kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511.

Sebelum kejatuhan itu, terutamanya pad abad ke-15, Melaka amat berjaya dan makmur sebagai pelabuhan perdagangan antarabangsa untuk rantau ini.

Saya percaya banyak perkara penting yang boleh kita pelajari daripada kejayaan Kesultanan Melaka semasa abad ke-15. Saya ingin menghuraikan tiga faktor kejayaan yang menyumbang kepada kegemilangan Kesultanan Melaka yang boleh memberi pengajaran penting kepada kita pada masa kini.

Faktor kejayaan pertama ialah keupayaan Melaka dalam menggunakan kelebihan geografinya. Melaka sememangnya mempunyai kelebihan geografi dan ia menggunakan hampir keseluruhan kelebihan tersebut.

Perdagangan bergantung kepada kapal-kapal yang berlayar dan secara strategiknya, Melaka terletak di tengah-tengah laluan perkapalan utama antara India dan China, selain laluan mudah ke kepulauan rempah ratus Indonesia.

Malah, Selat Melaka adalah terlindung daripada monsun dan ini membolehkan Melaka menjadi tempat penyediaan kapal dan tempat menunggu berakhirnya monsun.

Musim monsunlah yang sebenarnya mengatur lalu lintas laut, dengan barangan dari timur atau barat perlu disimpan sementara menunggu ketibaan pedagang lain.

Di antara Disember dan Mac, kapal-kapal akan tiba dari tanah Barat dan Timur Jauh manakala kapal-kapal dari Jawa dan timur kepulauan Indonesia akan tiba dari Mei hingga September. Kelebihan geografi ini digunakan oleh Melaka dengan:


Membina prasarana pelabuhan dan gudang,


Memastikan keselamatan barangan dan pedagang daripada serangan lanun.


Menyediakan kemudahan untuk pelbagai komuniti pedagang berlainan bagi menghuni dan berdagang di Melaka.

Faktor kejayaan kedua ialah keupayaan Melaka untuk bersepadu dengan rantau ini. Melaka dengan sendirinya tidak kaya dengan sumber asli dan tidak mempunyai pertahanan keselamatan yang kukuh, tetapi ia dapat berkembang maju menerusi jalinan sekutu untuk keselamatan yang berkesan dan keterbukaan kepada perdagangan.

Di awal sejarah Kesultanan Melaka, Parameswara menjalin hubungan kukuh dengan China, yang melindungi Melaka daripada ancaman Siam dan Majapahit.

Melaka terus menyampaikan sumbangan hadiah dan penghargaan ufti kepada ketiga-tiga negara itu, sebagai balasan memudahkannya menjalankan perdagangan.

Keterbukaan Melaka terhadap perdagangan memudahkan kepelbagaian dan semasa kemuncaknya, pelabuhannya adalah sangat kosmopolitan dengan komuniti perdagangan yang meluas, selain mempunyai penutur lebih 80 bahasa di Melaka.

Kejayaan sebagai pelabuhan perdagangan, terus disokong oleh para pedagang Melayu yang mengembara dan berdagang di kepulauan Melayu terutamanya untuk tekstil, rempah ratus dan barangan yang diberikan oleh pedagang Barat dan Timur yang mengunjungi Melaka.

Antara lain, strategi serantau Melaka berkisar kepada pelantikan empat syahbandar yang setiap seorang menjaga keperluan pedagang berbeza; seorang untuk Gujerat, seorang untuk India Selatan dan Bengal, seorang untuk pedagang tempatan (termasuk dari Jawa, Palembang, Borneo) dan seorang untuk China.

Faktor kejayaan ketiga ialah keupayaan Melaka untuk menyediakan sistem penyampaian yang cemerlang. Kejayaan Melaka sebagai sebuah pelabuhan memerlukan penyampaian awam yang cekap dan berkesan.

Melaka diiktiraf sebagai mempunyai kerajaan yang amat tersusun dan ditadbir dengan undang-undang yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka.

Kapten-kapten kapal yang tiba akan melapor kepada syahbandar masing-masing yang kemudiannya akan menyediakan gajah untuk mengangkut kargo mereka ke gudang-gudang tertentu. Para pedagang membayar cukai kastam sebanyak enam peratus berdasarkan nilai kargo mereka.

Apabila cukai sudah dilunaskan, barangan boleh didagangkan dengan pedagang residen. Proses ini dilihat sebagai adil dan pantas. Oleh itu, pedagang diberi jaminan dapat menyempurnakan urusan perniagaan mereka dalam tempoh yang mencukupi sebelum belayar pulang mengikut angin monsun.

Sememangnya kejayaan Kesultanan Melaka adalah amat menakjubkan, memandangkan ia telah berkembang dari hanya sebuah perkampungan nelayan yang dikelilingi empayar seteru, sehingga berupaya menjadi antara pelabuhan yang terkaya di dunia.

Melaka mencapai kejayaan hebat ini bukan hanya kerana asas kedudukannya di selat tetapi lebih kepada keupayaannya memupuk persekitaran yang kondusif untuk perdagangan secara aman.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran, penduduk dan pemimpin Melaka telah berusaha bersama-sama dalam suasana positif dan konstruktif. Mereka dipacu oleh semangat dalaman tetapi dalam pada itu menyedari tentang perkembangan dan keperluan luar.

Mereka sedar tentang kekuatan dan kelemahan dalaman dan luaran mereka, dan menggunakan kekuatan itu untuk mengambil kesempatan daripada perkembangan yang berlaku di luar. Kesultanan Melaka tidak merasakan dirinya kerdil berbanding dengan kerajaan yang lebih tua dan terkemuka di rantau ini.

Sebaliknya, ia mewujudkan pelabuhan yang diuruskan dengan amat baik dan menempatkan dirinya sebagai sebuah negeri yang neutral dan mesra yang mana semua bebas mengunjunginya sambil berdagang dalam suasana aman.

Melaka tidak bergantung kepada pihak lain untuk membantunya berkembang maju. Melaka tidak mudah berasa kasihan kepada dirinya sendiri apabila berdepan dengan masalah hal ehwal dalaman negeri. Sebaliknya, ia berpegang kepada tanggungjawabnya dan bertindak memperbaiki dirinya dalam menghadapi apa sahaja halangan dan cabaran.

Faktor kejayaan Kesultanan Melaka kira-kira 600 tahun dahulu dilihat terus relevan kepada Malaysia pada masa kini.

Ia terutamanya berkaitan dengan apa yang kita saksikan dalam kebangkitan Asia kini, berikutan peralihan keseimbangan kuasa ekonomi, sekali lagi ke Asia.

Ini dapat dilihat dengan kemunculan China, India, Indonesia dan Timur Tengah sebagai penggerak utama bagi pertumbuhan dan kecairan ekonomi, seperti mana yang berlaku di Melaka kira-kira 600 tahun lalu.

Kedudukan unik Malaysia di tengah-tengah pertumbuhan Asia dan beberapa faktor kejayaan Melaka adalah kembali relevan. Saya senaraikan sebahagian daripada ikhtibar pada kurun ke-15 tersebut untuk pengajaran kurun ke-21 di Malaysia kini.

Pertama, Malaysia perlu menggunakan lokasinya yang strategik dalam cara yang relevan dengan teknologi masa kini. Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini adalah perluasan rangkaian laluan penerbangan serantau dari Malaysia ke seluruh Asia dan inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi bagi penghubungan telekomunikasi yang lebih mantap.

Kedua, sebagai negara yang agak kecil, kita perlu bersepadu secara berkesan dengan negara-negara serantau yang besar dan pesat berkembang.

Ini dapat dicapai menerusi hubungan dagang yang kukuh seperti perjanjian perdagangan bebas, serta hubungan pelaburan lebih besar seperti menerusi syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai operasi serantau.

Transformasi industri domestik Malaysia perlu selari dengan pertumbuhan rangkaian nilai pengeluaran untuk rantau ini.

Ketiga, tumpuan berterusan dalam meningkatkan sistem penyampaian awam adalah penting ke arah memperluaskan lagi daya tarikan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan untuk perniagaan dalam dan luar negara.

Kegemilangan yang telah dicapai oleh Melaka kira-kira 600 tahun lalu ini perlu dijadikan semangat bagi kita untuk mengulangi kejayaan tersebut, dalam persekitaran di mana Asia berada pada puncak pertumbuhan dan perdagangan.

Pada abad ke-15, Kesultanan Melaka telah mencipta kejayaan dalam melaksanakan landasan transformasi ekonomi dengan menjadikannya sebagai hab perdagangan serantau, yang agak berbeza daripada model ekonomi sebelum itu.

Bagaimanapun, Melaka mula mengalami kemerosotan pada penghujung abad ke-15, dan seterusnya kecundang kepada Portugis pada 1511.

Kita terpaksa mengambil masa selama 446 tahun untuk mengembalikan kemerdekaan kita. Iktibar daripada pengalaman ini ialah jika kita tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha mencapai kejayaan, kita akan jatuh, dan apabila kita tersungkur, ia akan mengambil masa yang amat panjang dan kesukaran yang amat sangat untuk kembali pulih.

Bagi diri saya, saya amat optimis. Sambil kita mara ke hadapan dan melaksanakan model ekonomi baru untuk mengubah ekonomi Malaysia, kita harus memandang ke masa depan yang lebih cerah, bukan sahaja kebangkitan semula Asia tetapi juga Malaysia yang maju dan makmur, demi generasi anak cucu kita.

Penulis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.