Friday, October 23, 2009

Tian Chua dipenjara enam bulan, denda RM3,000

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah mencederakan seorang anggota polis dengan cara menggigit lengannya, dua tahun lalu.

Hukuman itu menyebabkan Tian Chua berdepan dengan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerusi tersebut mengikut peruntukan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah peruntukan itu, seorang Ahli Parlimen yang disabitkan bersalah di mana-mana mahkamah dan dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda melebihi RM2,000 akan digugurkan daripada jawatannya.

Majistret Mohd. Faizi Che Abu menjatuhkan hukuman ke atas Tian Chua selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau bagaimanapun membenarkan hukuman penjara dan denda tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Mohd. Faizi dalam keputusannya menyatakan, keterangan tertuduh ketika perbicaraan adalah tidak konsisten, berbentuk penafian semata-mata serta tanpa disokong oleh bukti-bukti.

Menurut beliau, rakaman video kejadian yang dikemukakan oleh pihak pembelaan sendiri tidak memihak kepada mereka sebaliknya menyebelahi pihak pendakwaan.

Katanya, melalui rakaman tersebut jelas menunjukkan tangkapan yang dilakukan polis adalah sah dan mahkamah tidak dapat menerima keterangan Tian Chua yang menyatakan penahanannya oleh polis adalah salah.

''Berdasarkan tayangan video itu jelas menunjukkan keengganan tertuduh untuk menyerahkan kad pengenalan dan arahan polis untuk memberhentikan kereta.

''Keterangan tertuduh yang enggan keluar dari keretanya akan menyebabkan semua orang di situ mengerumuninya di mana dakwaannya orang awam akan beranggapan bahawa dia yang mencetus perhimpunan haram juga tidak boleh diterima oleh mahkamah,'' katanya.

Chua didapati bersalah mencederakan Konstabel Mohd. Rosyaidi Anuar, 22, ketika anggota polis itu sedang menjalankan tugasnya pada satu perhimpunan di Parlimen, 11 Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa perbicaraan, doktor yang merawat Rosyaidi, Dr. Norzilawati Ahmad dalam keterangannya mengesahkan gigitan pada lengan anggota polis itu adalah satu gigitan yang kuat dan meninggalkan kesan.

Chua, 46, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang diwakili tiga peguam bela, Ranjit Singh, Amer Hamzah Arshad dan Radzlan Hadri.

Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, para peguamnya memohon mahkamah mengambil kira Perkara 48 tersebut memandangkan anak guamnya merupakan seorang wakil rakyat yang perlu menjalankan tanggungjawabnya kepada masyarakat.

Menurut Amer, sekiranya jawatan Chua dilucutkan, ia bukan sahaja menghukum anak guamnya malahan menghukum rakyat kerana pilihan raya kecil perlu dilakukan.

Bagaimanapun, Mohd. Faizi menolak cadangan itu dan menyifatkan sekiranya perkara itu diambil kira dalam menjatuhkan hukuman, ia seolah-olah memberikan satu keistimewaan khas kepada ahli-ahli Parlimen.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria pula menyatakan, mahkamah perlu memberi keutamaan terhadap kepentingan awam di samping ia juga melibatkan sikap individu berkenaan terhadap pematuhan undang-undang negara.

Menurutnya, tertuduh sepatutnya menghormati dan mematuhi arahan mahkamah serta polis ketika itu dengan memberi kerjasama.

Sebaliknya, katanya, kejadian itu jelas menunjukkan tertuduh memandang remeh undang-undang negara dan mahkamah harus mengenakan hukuman berat.

Mohamad Hanafiah mengendalikan pendakwaan bersama dua Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof dan Lee Keng Fatt.