Saturday, January 17, 2009

Perak perlu pulangkan hak Melayu

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Kerajaan negeri Perak digesa memulangkan semula tanah hak Melayu yang dibuka sebagai penempatan kampung-kampung baru kepada kaum bukan Melayu di negeri itu.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia (Badan Bertindak), Osman Abu Bakar berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan kerajaan negeri tersebut dengan mengambil kira teguran Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah berkenaan hal itu serta hasrat rakyat negeri Perak.

''Kerajaan Perak perlu bertanggungjawab terhadap teguran yang dibangkitkan Raja Nazrin, ia juga perlu ambil kira hasrat rakyat negeri ini khususnya orang Melayu yang sedar hak mereka telah dicuri.

''Tanah hak Melayu itu perlu dipulangkan secara terhormat bagi menghormati hak kaum itu yang telah dirampas," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Raja Nazrin ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini semalam bertitah, raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Titahnya lagi, Rancangan Briggs memberi nikmat kepada 400,000 penduduk setinggan Cina di pinggir hutan berpindah ke kampung baru yang dilengkapkan dengan jalan, bekalan elektrik, air paip, kemudahan sekolah dan kesihatan serta turut dibantu mendapat pelbagai peluang pekerjaan dan kemudahan perniagaan.

Mengulas lanjut, Osman berkata, atas sebab itu, BBPM sedia menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam minggu ini bagi meminta pandangan baginda berhubung hal berkenaan.

Katanya, dua perkara yang bakal dibentangkan dalam pertemuan itu adalah usul supaya tanah tersebut dipulangkan kepada masyarakat Melayu dan status tanah kampung baru yang diberi tempoh masa 999 tahun pajakan berbanding kampung tradisional Melayu yang hanya 99 tahun pajakan.

Jelas beliau, pertemuan itu juga akan disertai pakar dan penasihat undang-undang Perak bagi menentukan tindakan yang bakal diambil badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu masih belum dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan pula berkata, kerajaan Perak perlu mengurniakan tanah pajakan 999 tahun kepada semua kaum tanpa mengira kepentingan politik semasa bagi mengelakkan golongan Melayu terguris hati.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri tersebut juga harus mempertimbangkan pemberian tanah berkenaan kepada anggota keselamatan, polis dan tentera yang berkhidmat menentang komunis bagi menghargai pengorbanan mereka.

''Jika anggota keselamatan terbabit telah meninggal dunia, keluarga mereka perlu diberi pengiktirafan melalui pemberian tanah itu.

''Permainan politik kerajaan negeri Perak hanya akan merugikan bangsa Melayu sekiranya hak golongan bumiputera terus dipinggirkan," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Nizar digesa letak jawatan

Oleh Siti Mariam Md. Zain

IPOH 16 Jan. - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin perlu meletak jawatan kerana tindakannya memberi hak milik tanah kepada penduduk kampung baru yang menggambarkan sikap beliau tidak menghormati dan membelakangkan teguran raja-raja Melayu.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail berkata, sebagai ketua negeri, Mohammad Nizar sepatutnya menjadi 'dahan' kekuatan orang Melayu seperti yang diharapkan, bukannya 'menggadaikan' maruah yang ada demi kepentingan politik semata-mata.

Katanya, tindakan seumpama itu juga jelas menunjukkan Mohammad Nizar tidak langsung berusaha untuk melindungi hak-hak orang Melayu.

''Saya minta beliau insaf dan ingat semula siapa yang melantik beliau menjadi Menteri Besar.

''Kalau beliau insaf, beliau perlu meletak jawatan kerana telah melakukan tindakan mengguris hati dan perasaan raja-raja Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah bertitah, raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Baginda yang dalam keadaan sebak semasa menyentuh perkara itu ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga bertitah, teguran tersebut dizahirkan dalam Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950.

Titah baginda, penempatan semula melalui Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney itu telah menimbulkan rasa kurang senang raja-raja Melayu.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata, sebagai badan bukan kerajaan yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu, pihaknya tidak akan berdiam diri dengan apa yang berlaku dan bakal mengambil tindakan susulan.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin pula menegaskan, tindakan Mohammad Nizar memberikan hak milik tanah tersebut menunjukkan beliau seorang pemimpin yang buta sejarah.

Katanya, sebagai ketua negeri, Mohammad Nizar tidak seharusya bertindak melulu melakukan perubahan untuk kepentingan peribadi.

''Sepatutnya beliau melihat atau mengkaji dulu sejarah bagaimana asal usul kampung baru, bukan tergesa-gesa membuat perubahan yang akhirnya menguris perasaan orang Melayu sendiri.

''Mungkin sekarang tidak nampak sangat kesannya tetapi 10 atau 20 tahun lagi, bila sedar, semuanya sudah terlambat," ujar Zainol.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan negeri mahu 'menyumbang', adalah lebih sesuai mereka memberikan hak milik tanah tersebut kepada para pejuang kemerdekaan dan anggota keselamatan yang telah mempertaruhkan nyawa mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham ketika dihubungi untuk mendapatkan reaksinya berkata: ''Saya tidak mahu komen apa-apa kerana tidak percaya dengan laporan Utusan Malaysia."

Wednesday, January 14, 2009

Peguam Kudus, Kayveas bertikam lidah

KUALA LUMPUR: Perbicaraan rasuah bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjadi tegang berikutan pertikaman lidah antara peguam bela dan bekas Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Kayveas.

Ketegangan berlaku selepas Kayveas yang juga saksi pembelaan ke-12 menjawab ‘bukan urusan kamu untuk tahu’ apabila peguam A Srimurugan bertanya siapakah pihak atasan yang membenarkannya mendedahkan nama Abdul Kudus.

Jawapan Kayveas menyebabkan Srimurugan membuat kesimpulan Kayveas mungkin penat berdiri kerana enggan duduk sepanjang prosiding sehingga bertindak melakukan serangan peribadi.

“Saya sangat selesa berdiri,” jawab Kayveas.

Terdahulu Kayveas memberitahu dia menerima maklumat mengenai salah laku Abdul Kudus daripada pihak atasan sebelum membuat semakan dengan ketuanya bagi membolehkannya mendedahkan nama tertuduh.

Hakim Noradidah Ahmad menegur peguam dan Kayveas supaya menghormati mahkamah serta mengarahkan saksi menjawab soalan diajukan manakala Srimurugan pula dinasihati supaya hanya mengajukan soalan yang relevan dengan kes.

Abdul Kudus diperintah membela diri terhadap 24 tuduhan pindaan meminta dan memperoleh rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004 di sekitar ibu negara dan Selangor.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan mendakwa soalan diajukan Srimurugan tidak relevan dengan kes dan kehadiran Kayveas sebagai saksi juga tidak membantu pembelaan sebaliknya dijadikan platform untuk agenda masing-masing.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil semula saksi keenam iaitu pemilik restoran Sri Steven's Corner (SSC), S Steven apabila perbicaraan bersambung hari ini.

Tuesday, January 13, 2009

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.

Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.

Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.

Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).

Begini tulisan beliau:

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

Implikasi polemik ketuanan Melayu

Ketuanan Melayu, Ketuanan Rakyat
Makna dan maksud perlu dihurai
Jangan sampai masuk perangkap
Ketagih pangkat bangsa tergadai

Apakah implikasinya, dan apakah akibatnya, bila seorang pemimpin politik Melayu menolak istilah atau konsep 'Ketuanan Melayu' dan menggantikannya dengan 'Ketuanan Rakyat.' Beberapa jawapan terhadap soalan tersebut telah disuarakan dalam Seminar Ketuanan Melayu di Melaka awal minggu lalu.

Antara jawapan tersebut ialah: Sedar atau tidak, pemimpin politik Melayu itu telah memberi 'bola tanggung' kepada orang lain untuk melakukan Malay bashing sehingga bukan sahaja pemimpin politik berkenaan, malah seluruh bangsa Melayu telah 'terperangkap' dan terjerumus ke dalam satu polemik yang tidak pasti manfaatnya.

Malay bashing dalam konteks ini bolehlah diertikan sebagai 'menggodam Melayu' atau 'menyerang, mencerca dan mengutuk Melayu, manakala 'memberi bola tanggung' adalah satu istilah dalam permainan sepak takraw atau badminton yang bermaksud memberi peluang mudah kepada lawan melakukan serangan (smashing) yang sukar ditangkis.

Para peserta seminar tersebut kesal dan terkilan kerana perbuatan Malay bashing itu dilakukan secara terang-terang atau secara berselindung bukan sahaja oleh orang bukan Melayu, malah sesetengah orang Melayu sendiri. Beberapa kertas kerja mengambil perhatian perbuatan mengungkit-ungkit apa yang dianggap sebagai 'keistimewaan Melayu' dalam sistem politik dan pemerintahan negara.

Turut digodam dan diserang ialah Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai matlamat serampang dua mata "membasmi kemiskinan dan menyusum kembali masyarakat." Secara berkias atau berterus terang perbuatan Malay bashing itu juga turut mempersoalkan beberapa peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Negara. Juga dipersoalkan status bangsa Melayu sebagai penduduk asal negara ini.

Judul lengkap seminar tersebut agak panjang yang dengan sendirinya boleh menjadi satu polemik, iaitu: "Seminar Nasional Ketuanan Melayu - Konsep dan Cabaran dalam Pembinaan Negara Bangsa dan Berdaulat." Seminar dianjurkan oleh Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (KADMDI) dan dihadiri oleh lebih kurang 100 orang terdiri daripada ahli-ahli akademik, budayawan, guru-guru sekolah dan pegawai kerajaan dari serata Semenanjung.

Saya sendiri dapat kesan bahawa yang mencetuskan inisiatif menganjurkan seminar itu ialah perbuatan Malay bashing. Kerana itu tidak hairanlah bila perbincangan sepanjang seminar bercampur baur antara emosi yang meluap-luap dan analisis yang jitu dan mantap.

Antara perkara yang dipersoalkan dalam beberapa kertas kerja ialah penggunaan istilah 'ketuanan Melayu' yang oleh sesetengah pihak telah diberi pengertian yang menyeleweng dan mengelirukan, apa lagi bila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan istilah Malay supremacy atau Malay dominance atau Malay hegemony.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Burhan dalam kertas kerjanya berhujah bahawa penggunaan ungkapan-ungkapan Inggeris itu sebagai terjemahan untuk ungkapan 'ketuanan Melayu' telah menimbulkan kekeliruan di kalangan bukan Melayu yang mentafsirkannya (atau menyalah tafsirkannya?) dalam konteks hubungan 'tuan' dan 'hamba' atau lord vs serfs/ slaves.

Lanjutan daripada takrifan yang menyeleweng itu, apa saja yang berlabel Melayu terus digodam dan diserang dan dituduh sebagai 'perkauman.' Ini termasuklah perjuangan politik Melayu, pemerkasaan bahasa Melayu, pembaikan ekonomi Melayu dan penggunaan simbol-simbol budaya Melayu seperti keris. Malah beberapa fasal dalam Perlembagaan Malaysia yang dianggap 'memihak' kepada Melayu juga turut dipersoalkan secara langsung atau secara berkias.

Demikianlah implikasi dari tafsiran yang salah itu diheboh-hebohkan untuk memberi justifikasi Malay bashing dengan melakukan pelbagai tuduhan yang tidak munasabah terhadap bangsa Melayu serta mengungkit-ungkit isu sensitif yang menimbulkan ketegangan hubungan kaum.

Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, Pemegang Kerusi Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris juga mempersoalkan terjemahan istilah 'ketuanan Melayu' itu ke dalam bahasa Inggeris yang menggambarkan bangsa Melayu itu sebagai racist yang seakan-akan menyamai puak pelampau Klu Klux Klan di Amerika Syarikat yang mengaku kaumnya sebagai sangat istimewa dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum-kaum lain.

Lanjutan daripada takrifan yang salah terhadap ungkapan 'ketuanan Melayu' itu beberapa pihak, termasuk pimpinan tertinggi negara terpaksa mencari ungkapan alternatif yang diperkirakan akan membawa maksud dan makna yang lebih tepat.

Semuanya secara tidak langsung mengingatkan supaya polemik ketuanan Melayu itu dianggap sebagai 'loceng peringatan' atau wake up call.

Loceng peringatan itu memberi amaran bahawa musuh Melayu sekarang bukan sahaja hendak menggodam dan menyerang dari luar tetapi sudah semakin banyak musang berbulu ayam atau ular menyerupai belut yang hendak mematuk dari dalam.

Malaysia desak masyarakat antarabangsa, PBB selamatkan penduduk Palestin


PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berucap pada Persidangan Khas pencerobohan Israel di Palestin di Dewan Rakyat, semalam.

Berikut ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan usul mengecam serangan rejim Zionis Israel di Dewan Rakyat, semalam.

SAYA mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang hadir walaupun notis dikeluarkan mengenai sidang ini adalah secara tergempar. Saya berterima kasih atas keprihatinan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia, tidak mengira agama, bangsa atau haluan politik, yang bersedia membahaskan bersama satu isu yang sangat rapat di hati rakyat Malaysia iaitu penderitaan semasa yang dialami rakyat Palestin dan masa depan keamanan dan keselamatan bagi negara Palestin. Semua telah menjadi terancam akibat serangan berterusan ke atas wilayah Palestin oleh rejim Zionis di Israel.

Sesungguhnya, tindak-tanduk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa, yang sedang dilakukan oleh mereka di wilayah Gaza perlu dikecam dan dikutuk oleh seluruh dunia. Perkara ini membabitkan isu pencabulan undang-undang antarabangsa, pencerobohan dan kezaliman ke atas manusia yang dilakukan oleh manusia juga.

Demi mempertahankan kredibiliti negara, kita harus bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, khususnya mereka yang berada di wilayah Gaza.

Maka dengan ini saya ingin mencadangkan bahawa mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 27(3) Dewan ini mengambil ketetapan berikut:

Bahawa Israel telah melancarkan serangan ketenteraan yang dinamakan operasi 'cast lead' pada 27 Disember 2008 ke atas wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dari udara dan diikuti dengan serangan oleh pasukan tentera darat bermula pada 3 Januari 2009;

Bahawa serangan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza adalah tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia adalah jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Perlindungan Orang Awam Dalam Masa Perang;


Bahawa rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza; dan


Bahawa rakyat Malaysia berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB, untuk menghentikan serta-merta keganasan negara Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palestin di Gaza.

Dengan ini, Dewan ini mengambil ketetapan seperti berikut:

(1) Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, termasuk bayi dan warga tua dan menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza;

(2) Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata itu;

(3) Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas Perhimpunan Agung PBB – 'uniting for peace' - di bawah resolusi 377a (v) sekiranya pelaksanaan ketetapan Majlis Keselamatan PBB gagal menguatkuasakan ketetapannya yang diputuskan pada 8 Januari 2009;

(4) Menggesa pihak yang terbabit supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel;

(5) Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa dan piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di Asia Barat sekarang;

(6) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;

(7) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;

(8) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza dengan serta-merta;

(9) Menggesa Perhimpunan Agung PBB untuk menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terbabit dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin; dan

(10) mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan Israel ke atas wilayah Gaza.

Israel melancarkan serangan yang diberi nama 'cast lead', dengan izin, pada 27 Disember 2008, menggunakan kelengkapan perang yang serba canggih, termasuk jet pengebom F-16. Tentera udara Israel telah membunuh lebih 200 orang rakyat Palestin pada hari pertama itu saja.

Lapan hari kemudian, pada tanggal 3 Januari 2009, serangan ke atas Gaza diperhebat oleh Israel dengan menggunakan tentera darat, termasuk serangan dan bedilan oleh beratus kereta kebal besar. Pada hari ini, sekurang-kurangnya 800 orang telah mati di Gaza. Lebih 3,000 orang cedera. Hampir 15,000 orang telah menjadi pelarian dalam negeri kerana hendak lari dari kawasan pertempuran.

Persatuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam satu laporannya pada tarikh 5 Januari 2008 menyatakan bahawa keadaan kehidupan manusia di Gaza sangat membimbangkan kerana makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan asas yang lain terlalu kurang bagi penduduk setempat.

Pada 8 Januari 2009, atas permintaan dari Malaysia dan Brazil, Presiden Perhimpunan Agung PBB atau UNGA, dengan izin, mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan sidang tergempar UNGA dan mengambil sesuatu keputusan yang sesuai, khususnya untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB, supaya bertindak untuk mengisytiharkan gencatan senjata tanpa syarat dan memaksa pihak Israel berundur dari bumi Gaza.

Seolah-olah bertujuan menghalang berlakunya Perhimpunan Agung PBB - hasil permintaan dari Malaysia dan Brazil itu - Majlis Keselamatan berjaya bersidang dan meluluskan satu ketetapan atau resolusi pada 9 Januari 2009.

Harap Ahli Yang Berhormat sekalian ambil perhatian bahawa Majlis Keselamatan hanya bertindak setelah mereka membiarkan serangan Israel berlaku selama dua minggu tanpa sebarang keredaan dan kita semua tahu mengapa Majlis Keselamatan tiada maya untuk bertindak. Israel tidak mahu Majlis Keselamatan bertindak dan dia ada penyokong kuat dalam Majlis Keselamatan yang menghalang Majlis Keselamatan mengambil tindakan.

Sebenarnya, mengenai isu Palestin, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya sebanyak 28 kali dalam tempoh 36 tahun sejak 1973, iaitu menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak.

Marilah kita bersama-sama menyeru bakal Presiden, Barack Obama, melakukan sesuatu yang benar-benar membawa pembaharuan. Amerika Syarikat mengaku negara demokrasi yang terulung di dunia. Mengapa ia menolak keputusan pilihan raya umum di Palestin pada 2006 yang memberi kemenangan kepada parti Hamas. Amerika Syarikat mengaku dirinya jaguh mempertahankan hak asasi manusia. Mengapa ia membiarkan Israel membunuh kanak-kanak, orang tua dan wanita biasa serta orang awam lain, semuanya tidak berdosa.

Benar, pada 9 Januari 2009, Majlis Keselamatan meluluskan Resolusi Nombor 1860 (2009) yang mengisytiharkan gencatan senjata di Gaza, mendesak supaya semua pihak mematuhi gencatan senjata dan tentera Israel diarah undur keluar dari wilayah Palestin. Tetapi resolusi ini senyap saja mengenai kepungan atau 'blockade' yang dikenakan oleh pihak Israel ke atas Palestin.

Tetapi, ada dua perkara yang sangat tidak memuaskan bersabit resolusi ini. Pertama, semua 14 negara anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong resolusi berkenaan melainkan Amerika Syarikat yang mengambil keputusan mengundi berkecuali. Kedua, resolusi itu tidak mengandungi sebarang peruntukan untuk mengadakan satu pasukan antarabangsa, sama ada satu kumpulan pengawasan atau satu pasukan tentera 'peace-keeping', dengan izin, untuk menyelia gencatan senjata dan menentukan segala arahan dipatuhi.

Oleh kerana tiadanya kumpulan atau pasukan antarabangsa, maka tiada siapa untuk menentukan supaya tentera Israel berundur keluar dari wilayah Gaza. Tiada siapa untuk menentukan bahawa gencatan senjata benar-benar berlaku. Inilah kelemahan Resolusi Nombor 9567 itu.

Akibatnya, pada ketika ini - iaitu sudah empat hari sejak gencatan senjata diisytiharkan - iaitu pada masa Dewan yang mulia ini sedang bersidang, serangan hebat Israel ke atas Gaza masih berlaku dan berterusan. Orang di Gaza terus mati dan cedera. Bilangan yang mati bertambah hari demi hari. Bilangan yang cedera dan kehilangan rumah tangga serta harta benda bertambah hari demi hari.

Bekalan makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan asas terus berkurangan hari demi hari. Bekalan bantuan dari dunia luar tidak dapat sampai kepada mangsa peperangan yang memerlukannya kerana jalan-jalan ditutup dan tidak selamat bagi pembantu-pembantu untuk bergerak bebas. Barang bantuan juga tidak dapat sampai menerusi Pantai Gaza kerana lautan sekeliling Gaza di kepung atau, dengan izin, di 'blockade' oleh Israel.

Serangan ke atas wilayah Gaza kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Palestin sejak penaklukan wilayah itu pada 1967. Kanak-kanak Palestin ada yang mati terbunuh kena tembak, dengan izin, 'sniper fire'. Pengeboman dan bedilan kereta kebal Israel secara rambang telah kena tiga buah sekolah yang ditadbir oleh United Nations Relief and Works Agency dan serangan ini mengorbankan berpuluh anak sekolah. Kekejaman tentera Israel terhadap orang Palestin tiada tolok bandingnya.

Malaysia berasa amat sedih dan kesal dengan situasi yang berlaku di Gaza akibat serangan dan tindakan kejam tentera Israel. Beratus orang rakyat Palestin yang tidak berdosa menjadi mangsa. Serangan ini melumpuhkan sebuah wilayah kecil yang tidak berupaya mempertahankan dirinya daripada serangan kejam yang bertubi-tubi. Sekatan atau dengan izin, 'blockade', yang dilakukan oleh tentera laut Israel menyekat bantuan tiba melalui laut wilayah Gaza. Malaysia hampa dengan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan menghentikan serangan ini, terutama kegagalan Majlis Keselamatan PBB.

Seperti yang sering dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Malaysia di Dewan yang mulia ini, Israel sering kali dan secara berterusan bersikap angkuh melakukan tindakan agresif dan kejam ke atas rakyat Palestin sejak sekian lama. Pelbagai resolusi dilulus oleh Majlis Keselamatan tetapi tidak dihiraukan oleh Israel. Namun, Israel lebih memilih untuk tidak mengendahkan dan membelakangi undang-undang antarabangsa. Sebaliknya, Israel mengambil langkah lebih biadab dan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Malaysia pernah menaruh harapan akan usaha pihak Amerika Syarikat untuk membuka jalan penyelesaian melalui proses damai Annapolis yang diadakan pada 27 November 2007. Ketika persidangan Annapolis itu, persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak, Palestin dan Israel, bagi mengadakan rundingan berterusan agar dapat mewujudkan negara Palestin yang bebas dan berdaulat pada akhir 2008.

Persetujuan semasa persidangan itu disaksikan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk oleh Malaysia yang turut dijemput menyertai. Kita berasa amat kecewa apabila proses damai Annapolis menemui jalan buntu.

Masyarakat antarabangsa merata-rata mengutuk tindakan rejim Israel menyerang Gaza. Demonstrasi dan protes bagi mengecam tindakan Israel itu diadakan di beberapa negara. Malangnya, ada juga pihak yang bersikap serong dan meletakkan tanggungjawab bulat-bulat ke atas pejuang Hamas di Gaza yang melancar roket ke arah Israel. Tetapi, Ahli Yang Berhormat sekalian haruslah sedar bahawa ini adalah tindakan orang yang terkepung, tidak boleh bebas dan merentas sempadan wilayah mereka sendiri.

Pada 27 Disember 2008, Profesor Richard Falk, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah yang diduduki, menyifatkan pengeboman Israel ke atas Gaza sebagai pencabulan besar terhadap perundangan kemanusiaan antarabangsa seperti ditetapkan oleh Konvensyen Geneva.

Bagaimanapun, Malaysia tetap tidak berputus asa. Kerajaan, melalui Kementerian Luar Negeri sudah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York supaya terus berusaha demi keamanan dan keselamatan bumi Palestin. Khususnya, beliau sudah diarah bekerjasama dan berurusan rapat dengan wakil negara anggota OIC dan NAM.

Sekiranya gencatan senjata terus tidak berkuat kuasa dan keadaan buruk di Gaza tidak berubah, maka negara yang sependapat dengan Malaysia mestilah berusaha semula untuk meminta Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar Perhimpunan Agung berlandaskan Resolusi No.377 a (v) tahun 1950 – 'uniting for peace'.

Saya sendiri juga sudah mengutus kepada Setiausaha Agung PBB, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Ketua-Ketua Kerajaan negara anggota Majlis Keselamatan, negara anggota OIC, negara NAM serta beberapa tokoh seperti Pope Benedict XVI, Barack Obama dan Jimmy Carter, untuk membantu dalam usaha mencari kedamaian di Asia Barat amnya dan di Gaza khasnya.

Kementerian Luar Negeri juga secara rasminya sudah mengaktifkan 'Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin' bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Kerajaan sudah menyumbang AS$1 juta kepada penduduk Gaza melalui Mercy Malaysia.

Mengambil kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada Ahli Dewan yang mulia ini untuk turut membantu usaha murni ini dengan menggalakkan semua rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk membantu rakyat Palestin yang kini berada dalam keadaan yang amat daif akibat serangan tentera rejim Zionis.

Selaku masyarakat Malaysia yang sentiasa prihatin dan simpati kepada kesengsaraan golongan yang tertindas, marilah kita sama-sama menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada yang maha Esa agar bencana kemanusiaan ini dapat dihentikan serta-merta. Malaysia akan terus memantau perkembangan krisis di wilayah Palestin di Gaza.

Bantu Palestin pertahankan diri

SETELAH memasuki hari ke-18 pada hari ini, tidak ada tanda-tanda Israel akan menghentikan serangan di Genting Gaza, mahupun mematuhi arahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengadakan gencatan senjata di wilayah Palestin itu. Jika PBB tidak mampu berbuat apa-apa terhadap Israel, siapakah yang mampu menghentikan keganasan rejim Zionis Yahudi di Genting Gaza?

Dalam konteks ini, hanya Amerika Syarikat (AS) sebagai negara pelindung utama Israel mampu menghentikan kekejaman Israel itu. Persoalannya, mengapakah AS dan sekutunya tidak bertindak menghentikan kekejaman rejim Zionis itu?

Jawapannya kerana AS dan sekutunya bukanlah negara-negara yang baik dan jujur terhadap penduduk Palestin dan mereka juga memang tidak berminat untuk menghentikan peperangan di Genting Gaza.

Jika tindakan Israel melancarkan serangan berterusan ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza itu dianggap sebagai kejam, maka AS dan negara-negara sekutunya dianggap lebih kejam. Ini kerana mereka bukan sahaja tidak menghentikan perbuatan Israel itu, sebaliknya menyokong perbuatan kejam rejim Zionis itu.

Malahan sikap AS lebih hina lagi kerana sanggup mengambil kesempatan daripada penderitaan penduduk Palestin di Genting Gaza sekarang untuk mengaut keuntungan dengan mempertaruhkan nyawa penduduk Palestin.

AS dilaporkan telah pun menawarkan kontrak sewa kapal untuk membekalkan 3,000 tan peluru kepada Israel bagi menyokong kempen ketenteraan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin di Genting Gaza. Jika itu keadaannya, siapakah lagi tempat penduduk Palestin hendak bergantung?

Sementara Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) pula hanya sekadar mampu mengenakan tekanan, dan Liga Arab yang sepatutnya menjadi tempat pergantungan penduduk Palestin pula sudah hilang taring kerana kebanyakan negara anggotanya terikat dengan AS, manakala sebahagian lagi mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Begitu juga dengan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tidak mampu bertindak ke atas Israel kerana kebanyakan negara anggotanya merupakan negara yang lemah dan miskin.

Jika semua negara dan pihak tidak berupaya membantu penduduk Palestin, sekurang-kurangnya berilah peluang kepada mereka untuk membela dan mempertahankan diri sendiri.

Negara-negara lain, terutama negara Islam hanya perlu membantu membekalkan senjata kepada penduduk Palestin untuk mempertahankan diri.

Jika AS boleh membekalkan senjata yang canggih kepada Israel untuk melakukan kekejaman ke atas penduduk Palestin, apa halangannya jika negara-negara lain, termasuk negara-negara Islam membekalkan senjata kepada penduduk Palestin untuk mempertahankan diri mereka sendiri.

Negara-negara Arab yang berjiran seperti Mesir, Jordan dan Syria perlu bersedia membuka sempadannya bagi memberi laluan kemasukan senjata ke wilayah Palestin secara sah, manakala negara-negara Islam yang kaya seperti Arab Saudi dan Kuwait pula menyediakan dana bagi membeli senjata-senjata untuk keperluan penduduk Palestin mempertahankan diri.

Sekiranya, usaha ini juga turut disekat oleh PBB, AS dan sekutu-sekutunya, maka dunia memang bersikap double standard terhadap bangsa Palestin dan mereka sememangnya benar-benar mahu melihat penduduk Palestin hapus daripada muka bumi ini.

Dua orang Islam minum arak didenda RM5,000, sebat 6 kali

KUANTAN 12 Jan. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan sebatan enam kali mengikut syariah ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak.

Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasir Mohamad @ Sulaiman, 38, dan Noorazah Baharuddin, 22, mengaku melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama Islam itu.

Mohd. Nasir dituduh meminum arak jenama Tiger Beer di Fun Pub, Holliday Villa, Cherating, pada kira-kira pukul 11.37 malam, 11 Julai 2008. Dia telah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Kemaman, Terengganu.

Sementara Noorazah yang bekerja sebagai seorang pelayan di sini, dituduh meminum arak jenama Heineken di Black Forest Pub, Jalan Gambut dekat sini kira-kira jam 1.20 pagi pada 12 Julai 2008.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum di bawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Enakmen tersebut turut memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Pelaksanaan hukuman sebat dibuat mengikut Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Rahman berkata, sungguhpun kedua-dua tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara, namun jumlah denda yang tinggi dan sebatan yang dikenakan diharap dapat menginsafkan mereka mengenai kesalahan yang dilakukan.

Mengenai hukuman sebat pula, Hakim Abdul Rahman berkata, ia bertujuan bukan untuk menyeksa, tetapi hendak memberi pengajaran dan perasaan malu kepada diri tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Pahang, Saiful Idham Sahimi

Wednesday, January 7, 2009

Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang SPK, Pencen

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2008 tanpa sebarang pindaan, sehari selepas ia meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008.

Rang Undang-Undang SPK 2008 dan SPRM 2008 dibentangkan buat bacaan kali pertama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 11 Disember lalu.

Rang Undang-Undang SPK dan SPRM merupakan antara janji Perdana Menteri dalam membawa pembaharuan terhadap pentadbiran kerajaan dan meningkatkan integriti badan kehakiman negara serta pencegahan rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menggulung perbahasan SPK 2008 berkata, dakwaan beberapa Senator bahawa rang undang-undang berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas.

‘‘Pejabat Peguam Negara yang berpengalaman menggubal banyak undang-undang telah membuat semakan supaya ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pendapat

‘‘Saya berharap para Senator tidak membuat andaian bahawa wujudnya percanggahan semata-mata kerana mendengar pendapat seorang dua peguam,” katanya.

Hari terakhir sesi Dewan Negara berkenaan turut meluluskan Rang Undang-Undang Pencen (Pindaan)(No.2) 2008 yang membolehkan pelaksanaan empat dasar baru bagi menambah baik faedah persaraan dan faedah terbitan anggota sektor awam.

Antaranya memberi peluang kakitangan yang memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kembali menyertai Skim Pencen.

Ia juga memansuhkan syarat pemastautin di Malaysia bagi pemberian pencen bulanan kepada balu, duda dan anak pegawai atau pesara yang meninggal dunia melebihi 12 tahun enam bulan daripada tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan.

Ketika menggulung perbahasan itu, Mohamed Nazri menjelaskan, lelaki yang mempunyai empat isteri kakitangan awam akan menerima kesemua pencen berkenaan sekiranya keempat-empat mereka meninggal dunia.

Thursday, January 1, 2009

Tanah: Kerajaan negeri tidak ada kuasa

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Kerajaan negeri tidak boleh menjalankan kuasa mengenai tanah dengan sewenang-wenangnya meskipun segala perkara berkaitan tanah merupakan urusan negeri seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, Perlembagaan ada memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang mengenai hal-hal tertentu bagi tujuan tertentu termasuk perkara berkaitan dengan tanah.

Justeru beliau berkata, Kerajaan Perak tidak harus terburu-terburu membuat keputusan memberi hak milik tanah kekal untuk kampung baru dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) kerana ia mungkin boleh menimbulkan konflik perundangan.

''Seperti yang diketahui ramai, perkara-perkara berkaitan tanah adalah urusan kerajaan negeri seperti yang disebut di bawah Senarai Kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

''Namun begitu, ia tidak bermakna kerajaan negeri boleh menjalankan kuasa mengenai tanah dengan sewenang-wenangnya kerana Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan ada memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang mengenainya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shamrahayu berkata, di bawah Perkara 76, Perlembagaan yang bertajuk ''Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi Negeri-Negeri dalam hal-hal tertentu'', Kerajaan Persekutuan boleh menggubal undang-undang termasuk berkaitan tanah bagi tujuan memastikan keseragaman undang-undang dan dasar.

Di bawah peruntukan itu khususnya Perkara 76 (4) Perlembagaan, beliau berkata, Parlimen (bagi maksud memastikan keseragaman undang-undang dan dasar) boleh membuat undang-undang mengenai pemegangan tanah, perhubungan antara tuan tanah dengan penyewa.

''Parlimen juga boleh menggubal undang-undang mengenai pendaftaran hak milik dan surat ikatan yang berhubungan dengan tanah, pindah hak milik tanah, gadai janji, pajakan dan gadaian berkenaan dengan tanah.

''Selain itu Parlimen juga boleh menggubal undang-undang yang menyentuh mengenai hak dan kepentingan lain mengenai tanah seperti pengambilan tanah dengan paksa, perkadaran dan penilaian tanah, dan kerajaan tempatan,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Perkara 76(4) merupakan paksi kepada penggubalan Kanun Tanah Negara dan adalah penting diingatkan bahawa pemakaian kanun tersebut tidak ada pengecualian.

''Satu keputusan kes di Johor menggambarkan bahawa Kanun Tanah Negara merupakan undang-undang utama dalam segala urusan berkaitan tanah di negara ini,'' katanya.

Dalam perkembangan sama Shamrahayu berkata, peruntukan Perkara 76 Perlembagaan tidak harus dilihat sebagai pengambilalihan kuasa Kerajaan Persekutuan daripada kerajaan negeri.

''Sebaliknya ia harus dilihat daripada aspek kestabilan dan keseragaman undang-undang berkaitan tanah di seluruh negara dan harus diingat Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara.

''Apa yang penting, segala perkara berkaitan dengan tanah perlu diseragamkan di seluruh negara dan semua negeri harus patuh kepada peruntukan Kanun tersebut tanpa sebarangpengecualian,'' katanya.