Thursday, October 30, 2008

Suruhanjaya lantik hakim dibentang hujung tahun - PM

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rang undang-undang berhubung penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dijangka dapat dibentangkan di Parlimen menjelang hujung tahun ini.

Perdana Menteri berkata, setelah cadangan penubuhan suruhanjaya tersebut diumumkan April lalu, proses penggubalan undang-undang yang berkaitan kini sedang giat dilakukan dan perkembangannya amat positif.

''Penubuhan suruhanjaya ini bukan sahaja sekadar suatu keinginan sebaliknya ia suatu keperluan kerana sistem semasa boleh menimbulkan keraguan tentang integriti dan kewibawaan (mereka yang dilantik).

''Oleh itu, suruhanjaya ini apabila diwujudkan kelak akan mempunyai strukturnya sendiri dengan penekanan kepada ketelusan melalui proses pelantikan berdasarkan merit,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan LawAsia Ke-21 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi, Presiden LawAsia, Mah Weng Kwai dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Pada awal bulan lalu, Abdullah menyenaraikan tiga inisiatif utama yang akan dilakukannya sebelum melepaskan jawatan pada Mac depan dengan salah satu daripadanya ialah membentangkan rang undang-undang berkaitan penubuhan suruhanjaya bagi melantik hakim.

Sementara itu, Perdana Menteri mengakui wujud cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha memperkenal dan melaksanakan suruhanjaya tersebut di negara ini.

Katanya, pada masa ini pun ada pelbagai pandangan tentang bentuk fungsi serta wajah komposisi suruhanjaya itu.

''Bagaimanapun apabila kita ketepikan segala kepentingan peribadi atau pertubuhan yang diwakili, saya yakin kita mampu mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap bentuk suruhanjaya ini.

''Dan apabila suruhanjaya ini ditubuhkan kelak, terpulang kepada pihak hakim sendiri untuk menjadikan badan kehakiman sebagai satu institusi yang kita dapat banggakan.

''Dalam hal ini, saya yakin para hakim kita mampu untuk memenuhi matlamat ini,'' jelasnya.

Menurut Perdana Menteri, pelantikan Zaki sebagai Ketua Hakim Negara merupakan pilihan tepat kerana beliau dilihat sebagai individu yang mempunyai kesungguhan untuk menjayakan pembaharuan dalam badan kehakiman.

Katanya, ini dapat dilihat walaupun baru sahaja dilantik, Zaki telah menyuarakan hasratnya kepada pihak kerajaan untuk menangani masalah kes tertunggak yang merupakan satu usaha cukup baik bagi mengukuhkan keyakinan rakyat.

''Beliau memaklumkan mahu menambah bilangan mahkamah dan para hakim kerana ia pendekatan utama bagi menangani kes tertunggak.

''Walaupun permintaan itu melibatkan kewangan, namun saya di pihak kerajaan bersetuju memberi komitmen kepada apa yang diminta beliau sekalipun apa yang diminta itu melibatkan wang,'' jelasnya.

Agong serah watikah pelantikan Ketua Hakim Negara





Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan watikah pelantikan Ketua Hakim Negara kepada Zaki Tun Azmi pada istiadat menghadap dan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. -BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 29 Okt. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Sheriff dan Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria di Istana Negara di sini.

Majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Zaki, 63, anak bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Azmi Mohamed, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada September tahun lalu dan dua bulan kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Alauddin, 62, sebelum ini dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 5 September 2007 manakala Ariffin, 58, adalah Hakim Mahkamah Persekutuan sejak tahun 2006 dan berpengalaman sebagai Hakim Mahkamah Rayuan selama enam tahun sejak tahun 1996.

Dalam satu istiadat lain, Tuanku Mizan menerima watikah pelantikan daripada enam duta besar dan seorang pesuruhjaya tinggi asing.

Mereka ialah Emile Rwamasirabo (Rwanda), Marc Barety (Perancis), Tapio Kalevi Saarela (Finland), Svend Waever (Denmark), Ensar Eminovic (Bosnia and Herzegovina) dan Liu Jian (China) selain Pesuruhjaya Tinggi Papua New Guinea, Veali Vagi.

– Bernama

Mahkamah tolak saman cuai RM136 juta ke atas kerajaan

30/10/2008 4:22pm


PUTRAJAYA 30 Okt. – Kerajaan Malaysia hari ini berjaya mengenepikan saman cuai bernilai RM136 juta yang difailkan oleh 184 penternak babi dan waris mereka yang meninggal dunia akibat wabak virus Nipah 1998-1999 selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mem benarkan rayuan kerajaan dengan kos.

Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan 184 penternak babi itu.

Hakim Nik Hashim dalam penghakimannya berkata, kerugian yang dituntut oleh penternak babi berkenaan dalam saman itu adalah diakibatkan oleh penyakit virus Nipah dan kerugian itu bukan diakibatkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, tuntutan oleh penternak babi itu tidak kukuh dan dengan itu wajar ditolak.

Katanya, dalam sebarang dakwaan terhadap kerajaan, pegawai kerajaan yang Didakwa bertanggungjawab melakukan tindakan itu perlu dibuktikan sebelum kerajaan dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi tindakan itu.

Beliau berkata, tidak memadai untuk sekadar mengenal pasti pegawai itu tanpa memasukkan pegawai itu sebagai satu pihak kerana tindakannya itu perlu dibuktikan. - Bernama

Wednesday, October 29, 2008

Pemilikan ekuiti Melayu hanya 19 peratus

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Pencapaian bumiputera dalam pemilikan ekuiti syarikat senaraian awam setakat ini baru mencapai 19 peratus, jauh daripada 30 peratus yang disasarkan sewaktu Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan kerajaan pada 1970.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, sehubungan itu cadangan agar syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam dimansuhkan tidak boleh diterima sama sekali.

‘‘Sebelum mengutarakan cadangan begitu, pihak-pihak berkenaan harus mengkaji kedudukan ekonomi kaum Melayu dan bumiputera terlebih dahulu,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Meraikan Kejayaan GiatMara di sini hari ini.

Beliau menambah, syarikat bukan bumiputera yang sebenarnya tidak bekerjasama dengan usahawan bumiputera demi kepentingan perniagaan mereka.

‘‘Sebagai contoh, beberapa bulan lalu kementerian saya telah berusaha mempertemukan 260 syarikat bukan bumiputera yang belum mempunyai 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dengan para usahawan bumiputera,” jelasnya.

Namun, katanya, daripada 260 syarikat bukan bumiputera yang dijemput, hanya enam syarikat yang menghadirinya dan program mempertemukan ahli-ahli perniagaan itu disifatkan sebagai gagal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai semalam, yang meminta kerajaan menarik balik syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

Tiong Lai berkata, merit atau daya saing sesuatu syarikat itu yang perlu diberikan keutamaan dan bukannya persoalan berkaitan ekuiti bumiputera.

Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang sengaja mahu menyentuh hak Melayu dan bumiputera demi kepentingan politik mereka.

‘‘Justeru, isu sensitif sebegitu tidak perlu dikemukakan sekarang kerana masalah krisis ekonomi global bukan hanya melanda negara baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar penekanan diberikan terhadap aspek mewujudkan kerjasama yang jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di negara ini.

Tegasnya, dalam memastikan hak Melayu dan bumiputera terjamin seperti dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan BN tidak pernah menafikan hak kaum bukan bumiputera.

Malahan sebagai contoh, katanya, GiatMara telah menerima ribuan pelajar kaum India sungguhpun penubuhan Mara dikhususkan untuk membantu Melayu dan bumiputera.

Dr. Mahathir tidak setuju hapus ekuiti bumiputera

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam tidak boleh dihapuskan sekarang kerana penghapusannya belum tentu menjamin daya saing syarikat-syarikat tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai bahawa penghapusan pegangan ekuiti itu akan memastikan daya saing syarikat berkenaan.

Katanya, apabila sudah mencapai matlamat ekuiti pemilikan 30 peratus bumiputera, maka ketika itu bolehlah syarat tersebut dimansuhkan.

''Kalau sudah tercapai matlamat, ekuiti itu patut kita hapuskan. Sekarang belum tercapai. Banyak lagi nak kena buat. Kalau 20 peratus hari ini tidak berkembang, sedangkan ekonomi berkembang 20 peratus, itu akan kurang, jadi ini semua kena ambil kira.

''Kalau kita sudah capai, kita hapuslah, belum capai tak boleh. Walaupun kita boleh ubah tapi matlamat kita kena jaga. Saya fikir waktu ini tak bolehlah. Bukan masa nak buat penyesuaian apa-apa pun, dunia sedang huru-hara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, sekiranya hak bumiputera mahu dikurangkan kepada 20 peratus maka hak bukan bumiputera seharusnya diturunkan juga.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pertikaian hak-hak istimewa orang Melayu, beliau berkata, orang selalu bercakap tentang hak keistimewaan Melayu tetapi lupa bahawa orang bukan Melayu juga ada hak mereka.

''Ya, kita selalu cakap. Tetapi orang bukan Melayu ada hak juga. Kalau ambil hak Melayu, maka kena ambil hak bukan Melayu. Kita kena cakap secara rasional, jangan tumpu satu pihak sahaja," ujarnya.

Mengulas sama ada wujud perpecahan berikutan pertandingan antara anak beliau, Datuk Mukhriz dan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, Dr. Mahathir berkata, tidak bermakna dengan adanya pertandingan maka timbul juga perpecahan.

Agong serah watikah pelantikan Ketua Hakim Negara

29/10/2008 5:40pm


KUALA LUMPUR 29 Okt — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Sheriff dan Hakim Besar Malaya Datuk Ariffin Zakaria, di Istana Negara di sini.


Majlis dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.


Zaki, 63, anak bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Azmi Mohamed, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada September tahun lalu dan dua bulan kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Alauddin, 62, sebelum ini dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 5 Sept 2007 manakala Ariffin, 58, adalah Hakim Mahkamah Persekutuan sejak tahun 2006 dan berpengalaman sebagai Hakim Mahkamah Rayuan selama enam tahun sejak tahun 1996. - Bernama

Sunday, October 26, 2008

Minyak turun lagi


Datuk Shahrir Abdul Samad

Dijangka tak melebihi 15-20 sen elak pengusaha rugi

PEKAN: Kerajaan akan menurunkan lagi harga minyak akhir bulan ini tetapi tidak akan melebihi 15 sen bagi petrol dan 20 sen bagi diesel berikutan penurunan harga minyak dunia ketika ini yang sehingga kelmarin turun kepada AS$62 (RM221.34) setong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata penurunan sebanyak itu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kerugian mendadak khasnya di kalangan pengusaha stesen minyak.



"Kita tak mahu penurunan harga yang tinggi hingga menjejaskan pengusaha stesen minyak di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Minggu Kesedaran Kewangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, semalam.

Katanya, harga petrol dan diesel akan dikurangkan secara berperingkat sehingga ke paras harga yang berpatutan kepada pengguna.

Sementara itu, di KUANTAN, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan bermesyuarat pada waktu terdekat untuk membuat keputusan mengenai harga minyak itu.


Datuk Seri Najib Razak
"Langkah itu selaras janji kerajaan yang akan menurunkan harga minyak supaya ia melambangkan harga sebenar pasaran minyak dunia.

"Kabinet sudah memberi mandat kepada Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk membuat keputusan dan ini bermakna, jika harga minyak dunia semakin menurun, maka harga minyak tempatan juga akan melambangkan penurunan harga itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada harga petrol dan diesel akan diturunkan ke paras bawah RM2, Najib sambil ketawa berkata: "Tunggu dululah (pengumuman harga baru itu). Setakat ini, kita tidak boleh beritahu bila ia akan turun tetapi akan berlaku dalam masa terdekat ini.

"Mungkin hujung bulan ini tetapi tertakluk kepada bila mesyuarat Majlis Ekonomi itu dan tunggulah berapa harga yang akan diturunkan kelak," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 180 bakal haji Parlimen Pekan, di kediamannya di sini, semalam.

Harga minyak dipam turun tiga kali sejak Ogos lalu iaitu pada 23 Ogos, 24 September dan kali terakhir 15 Oktober. Harga petrol Ron97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol Ron92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20. Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

Tiga bulan lalu harga minyak adalah AS$147 setong berikutan kelembapan ekonomi global yang menyebabkan permintaan terhadap sumber tenaga semakin berkurangan.

Ditanya mengenai trend penurunan harga petrol dan diesel ini dilihat tidak menjurus kepada penurunan harga barang, Najib berkata, kerajaan sedang mengambil beberapa langkah untuk mengatasi perkara itu.

Beliau berkata, setakat ini, sudah ada pengeluar bersetuju menurunkan harga beberapa barangan atau produk yang akan diumumkan dalam tempoh sehari dua ini.

Ketika berucap, Najib berkata, kerajaan akan terus menjana pembangunan hingga ke luar bandar walaupun menghadapi banyak cabaran akibat krisis kewangan dunia yang berlaku sekarang.

Beliau berkata, Malaysia mampu bertahan walaupun keadaan semakin tidak menentu, malah yakin mencatat pertumbuhan ekonomi lima peratus pada tahun ini.

"Malah, mengikut perkiraan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), kita boleh mencapai pertumbuhan ekonomi 4.8 peratus tahun depan tetapi kita akan kaji semula unjuran itu.

"Jadi, saya akan memberi beberapa langkah lebih terperinci berhubung usaha mengelakkan negara daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi pada penggulungan hujah di Parlimen, 4 November ini.

"Selain itu, rakyat juga digesa berbelanja secara berhemah dan memanfaatkan setiap ringgit yang ada sebaik-baiknya," katanya.

Friday, October 24, 2008

ASEAN+3 bincang tangani krisis kewangan global

Daripada Marhaini Kamaruddin



Sebahagian daripada 30 pemimpin termasuk Abdullah Ahmad Badawi menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-7 (ASEM 7) di Beijing, semalam. – Gambar BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



BEIJING 24 Okt. – ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan (ASEAN+3) dalam reaksi segera bagi melindungi rantau Asia Timur daripada kesan langsung krisis kewangan global bersetuju mengumpulkan Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat masing-masing di Manila bulan depan untuk menghasilkan cadangan-cadangan spesifik bagi menangani krisis itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, cadangan-cadangan daripada hasil mesyuarat itu kelak akan dibentangkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Bangkok pada akhir tahun ini.

“Walaupun para pemimpin (ASEAN+3) mengakui negara-negara rantau ini tidaklah teruk sangat mengalami kesan daripada krisis kewangan yang melanda dunia sekarang, namun semuanya bersetuju adalah amat penting untuk mengambil pendekatan dan langkah-langkah bagi menghadapinya,” kata Abdullah kepada wartawan Malaysia di Hotel Kerry Centre di sini hari ini.

Perdana Menteri berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ketujuh yang bermula hari ini.

Menurut beliau, perkara itu dibincangkan oleh pemimpin ASEAN semalam dan dipanjangkan semasa jamuan pagi ASEAN+3 dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao, Perdana Menteri Jepun, Taro Aso dan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak.

“Jelas pada pandangan saya, reaksi kali ini lebih cepat daripada ketika kita menghadapi krisis kewangan dulu. Sekarang ini boleh dianggap ASEAN+3 merupakan satu mekanisme yang tidak susah diwujudkan, sebaliknya boleh digunakan untuk semua tujuan bagi mengatasi apa jua masalah yang timbul di Asia dan rantau lain,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, Asia Timur sebagai kawasan membangun yang akan bertambah penting pada masa depan perlu mengambil pendekatan rantau dengan memanfaatkan kekuatan ASEAN+3.

Menurutnya, Perdana Menteri Jepun juga berjanji akan membawa pandangan Asia Timur itu ke mesyuarat Kumpulan Negara Maju (G-8).

Dalam hal ini, beliau berharap kegiatan-kegiatan di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah diputuskan akan dilaksanakan dalam waktu ditetapkan bagi membantu usaha merancakkan perdagangan.

Ditanya mengenai penubuhan dana AS$80 bilion yang dicadangkan oleh Menteri-menteri Kewangan ASEAN+3 di bawah Inisiatif Chiengmai pada April lalu, Abdullah percaya perkara itu sedang diperhalusi.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan empat pemimpin iaitu Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo, Perdana Menteri Thailand, Somchai Wongsawat, Perdana Menteri Pakistan, Syed Yusuf Raza Gilani dan Presiden Cyprus, Dimitris Christofias.

Abdullah memberitahu, secara umumnya kesemua pemimpin bersetuju meneruskan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang.

Antaranya, Filipina dan Thailand berharap Malaysia dapat terus memainkan peranan membantu menyelesaikan masalah wilayah selatan yang bergolak di kedua-dua negara itu demi kebaikan bersama.

Menurut Perdana Menteri, Somchai juga akan mengadakan lawatan ke Malaysia dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, Perdana Menteri Pakistan gembira dengan kemasukan ramai pelabur termasuk penglibatan 12 syarikat dari Malaysia dalam projek-projek ekonomi di negara itu.

Tambahnya, Presiden Cyprus dalam pertemuan dengannya hari ini pula memaklumkan situasi di negaranya terutama perkembangan positif dalam hubungan dengan Turki.

Friday, October 17, 2008

Kronologi sistem demokrasi berparlimen, Raja berpelembagaan

Penjajahan dan perluasan kuasa British di Tanah Melayu bermula secara serius pada abad ke-18.

Ini terjadi apabila strategi memanipulasi perjanjian yang dibuat oleh Francis Light dengan Sultan Abdullah pada tahun 1786 yang berakhir dengan penaklukan Pulau Pinang atau dijenamakan sebagai Prince of Wales Island.

Inisiatif awal penjajahan ini akhirnya berjaya membentuk Negeri-Negeri Selat yang terdiri daripada Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pembentukan tersebut adalah bertujuan untuk menyeragamkan pentadbiran dan menjimatkan perbelanjaan pengurusan British di Tanah Melayu.

Maka, ia telah sedikit sebanyak menukar corak pentadbiran awal di Tanah Melayu kepada corak pentadbiran yang bersumberkan kepada autoriti di London.

Berikut adalah struktur pentadbiran Negeri-Negeri Selat;

Selepas tahun 1874, British telah bertindak secara agresif untuk campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu.

Revolusi Perindustrian yang berlaku di British telah menguatkan lagi hasratnya untuk menguasai negeri-negeri Tanah Melayu yang sarat dengan hasil mahsul sumber alam.

Tambahan pula, ketidakstabilan politik di negeri-negeri Melayu turut mengundang dan mengizinkan agenda British di Tanah Melayu.

British telah mula memperkenalkan konsep Residen dan Persekutuan disetiap negeri jajahannya iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Walaupun begitu, sistem ini mempunyai kelemahan yang disebabkan oleh kawalan pentadbiran Gabenor yang lemah, krisis kewangan yang melanda, masalah perhubungan dan krisis keselamatan.

Maka, bagi mengatasi masalah ini, British telah menyatukan negeri-negeri tersebut dan disebut sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu atau Persekutuan 1896.


Berikut adalah struktur pentadbiran Persekutuan 1896;

Justeru, pengenalan sistem pentadbiran ini telah menyebabkan kuasa pemerintahan sultan terhakis dan penglibatan orang-orang Melayu dalam pengukuhan pentadbiran negeri dihadkan.

Pembentukan Persekutuan ini menunjukkan bahawa kuasa utama pentadbiran dan pemerintahan di Tanah Melayu tidak lagi berada dibawah bidang kuasa sultan dan residen secara langsung, sebaliknya adalah Residen Jeneral yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Negeri-negeri lain yang tidak termasuk di dalam Negeri-Negeri Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat ini diklasifikasikan sebagai Negeri-Negeri Melayu Utara dan Johor.

Ia terdiri daripada Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor. Perjanjian demi perjanjian dimeterai diantara British dan Sultan diatas beberapa faktor yang meruncing, maka impaknya kesemua Negeri-Negeri Melayu Utara dan Johor ini telah terpaksa menerima Penasihat British di negeri masing-masing pada tahun 1914.

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942 telah melumpuhkan kekuasaan dan kekuatan pemerintah.

Jepun telah mengamalkan satu dasar pemerintahan yang zalim dan kejam sehingga wujudnya penentangan yang jelas terutamanya daripada kumpulan Tentera Rakyat Tanah Melayu Anti Jepun (MPAJA) atau dikenali juga sebagai Bintang Tiga.

Setelah Jepun ditewaskan pada tahun 1945, kumpulan Bintang Tiga telah berusaha menyebarkan fahaman komunis dan membentuk Parti Komunis Malaya (PKM).

PKM telah melancarkan satu pemberontakan bersenjata untuk menentang Persekutuan Tanah Melayu kerana mereka ingin menubuhkan Republik Komunis Malaya. Pemberontakan ini meninggalkan kesan yang dahsyat sehingga Tanah Melayu mengalami kelumpuhan ekonomi disamping ketidakstabilan politik yang tergugat.

Maka, pada 23hb Jun 1948, Kerajaan British telah mengisytiharkan darurat ke atas seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

Akhirnya, PKM juga telah ditumpaskan oleh British Military Administration (BMA). Kemudian, pihak British memperkenalkan Malayan Union pada 1hb April 1946 di Kuala Lumpur.

Gagasan ini menunjukkan dengan jelas penjajahan mutlak oleh pihak British ke atas Tanah Melayu terutamanya dari aspek pemerintahan negara yang telah mengabaikan peranan sultan sebagai ketua negara.

Oleh sebab itu, penentangan berterusan terhadap gagasan ini akhirnya membuahkan hasil melalui konfrontasi dan meja rundingan. Kemudian, British bersetuju untuk menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1hb Februari 1948 untuk menggantikan Malayan Union.

Sebelum menuju ke arah usaha-usaha membentuk kerajaan sendiri dan mengembalikan status quo serta merintis kemerdekaan, beberapa pilihanraya telah diperkenalkan dan diadakan bersama seluruh rakyat.

Di antara pilihan raya yang pernah dijalankan adalah Pilihan raya Majlis Bandaran pertama yang diadakan pada Disember 1951, Pilihan raya Negeri pada 1954 dan Pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Julai 1955.

Seterusnya, satu suruhanjaya telah dibentuk pada tahun 1956 yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya ini telah diberikan mandat untuk menggubal perlembagaan sepertimana yang termaktub dalam Perjanjian London 1956.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ini mengambil kira beberapa aspek iaitu mewujudkan sebuah kerajaan pusat, negara yang berlandaskan prinsip demokrasi, kedudukan raja-raja Melayu dan perhubungan diantara kaum.

Di antara perkara-perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 setelah dipinda adalah merangkumi Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, pembentukan Parlimen yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta menyatakan dengan jelas Ketua Kerajaan adalah Perdana Menteri dan beliau dibantu oleh jemaah kabinet.

Maka, dengan terbentuknya perlembagaan ini, Tanah Melayu secara rasminya mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan meletakkan Raja sebagai Ketua Negara.


Tiga badan utama yang membentuk sistem pemerintahan Kerajaan Malaysia ialah Badan Legislatif, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman.

Sistem politik di negara ini dibentuk secara bergandingan (inter-dependence) diantara kuasa legislatif dan kuasa eksekutif.

Ahli-ahli eksekutif juga terdiri daripada ahli-ahli Parlimen. Oleh sebab itu, setiap keputusan atau polisi yang dibuat oleh Badan Eksekutif atau Kabinet Malaysia akan diterangkan dan dipertahankan dengan nada yang sama di dalam Parlimen mengikut disiplin collective responsibility. _

Thursday, October 16, 2008

Zaki ganti Hamid jadi Ketua Hakim


Zaki Azmi (kiri) dan Abdul Hamid Mohamad

Mesyuarat Majlis Raja-Raja buat keputusan

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja Melayu semalam difahamkan memutuskan untuk mencalonkan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi sebagai Ketua Hakim Negara yang baru menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Mohamad yang akan bersara.

Keputusan dicapai dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Terengganu.



Menurut sumber, Abdul Hamid akan bersara hari ini dan Zaki yang paling kanan dalam badan kehakiman dilantik menggantikannya.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Raja-Raja melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri.

Pelantikan yang belum diumumkan secara rasmi, dijangka mencetuskan kontroversi berikutan peringatan parti pembangkang sebelum ini kerana Zaki dikaitkan dengan Umno.

Beliau dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada September lalu dan dua bulan kemudian, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Jika dilantik, Zaki kini berusia 63 tahun dan dijangka memegang jawatan itu sekurang-kurangnya tiga tahun kecuali perkhidmatannya dilanjutkan oleh kera-jaan.

Sumber berkata, pelantikan dibincangkan dalam mesyuarat semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar serta Ketua Menteri.

Perogol Nurul Huda terlepas hukuman mati


Mohd Abbas Danus Baksan


PUTRAJAYA: Bekas pengawal keselamatan, Mohd Abbas Danus Baksan, yang didapati bersalah membunuh budak perempuan berumur 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani, di Johor empat tahun lalu, terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan semalam mengenepikan sabitan dan hukuman itu.

Bagaimanapun, hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi kesalahan merogol budak perempuan itu, yang Mohd Abbas mengaku bersalah, dikekalkan. Namun, dia terlepas hukuman sebatan kerana berumur 52 tahun.

Ketika membenarkan rayuan Mohd Abbas, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi, berkata beliau bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa terdapat orang ketiga yang terbabit dalam kes itu.



"Dengan itu semua keterangan keadaan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak menunjukkan kesalahan itu dilakukan sepenuhnya perayu (Mohd Abbas)," katanya ketika memansuhkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Bersidang bersama-sama dengan Hakim Zaki ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Aziz Mohamad.

Mohd Abbas kelihatan tergamam selepas jurubahasa mahkamah menjelaskan keputusan itu kepadanya.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 27 Ogos, 2004, mendapati dia bersalah membunuh Nurul Huda di pondok pengawal keselamatan pencawang utama Tenaga Nasional Berhad di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Johor Bahru antara 9.20 pagi dan 1 tengah hari pada 17 Jan, 2004.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 26 Januari, 2004, selepas mengaku bersalah merogol budak perempuan itu.

Mayat Nurul Huda dalam keadaan bogel, ditemui dalam tandas pondok pengawal itu. Mangsa sebelum itu pergi ke kedai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya untuk membeli barangan.

Mohd Abbas memohon mendapatkan penghakiman daripada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu pada 3 Julai, 2006.

Kelmarin, peguam yang mewakili Mohd Abbas, Jagdish Kaur, berhujah terdapat orang ketiga terbabit dalam kes itu dan Mohd Abbas dalam keterangannya berkata dirinya serta dua lelaki lain bernama Suyaimi Mohd Zin dan "Jojo" merogol budak perempuan itu.

Katanya, pertuduhan asal di Mahkamah Majistret menyatakan Mohd Abbas melakukan kesalahan itu bersama-sama dua lagi lelaki tetapi selepas kes itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, hanya nama Mohd Abbas disebut.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria berhujah berdasarkan keterangan, jelas menunjukkan Mohd Abbas membunuh Nurul Huda kerana hanya dia seorang yang bekerja di pondok pengawal itu dan keengganannya membenarkan polis serta abang Nurul Huda masuk ke pondok itu untuk menyiasat menunjukkan dia menyembunyikan sesuatu.

Katanya, hakikat yang Suyaimi atau mana-mana orang lain tidak didakwa bersama-sama dengan Mohd Abbas menunjukkan yang pendakwaan tidak mempunyai bukti terhadap mereka.

Hakim Zaki berkata, terdapat banyak lompang dalam kes pendakwaan dan penyiasatan pihak pendakwaan juga tidak lengkap. - Bernama

'Jangan sentuh kontrak sosial'

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum bermula Mesyuarat ke-215 Majlis Raja-Raja di Istana Maziah, Kuala Terengganu, semalam.



Majlis Raja-Raja bersuara lindung hak Islam, Melayu

KUALA TERENGGANU: Majlis Raja-Raja mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak lagi mempertikai dan mempersoalkan kontrak sosial, apa lagi menyemak semula atau mengubahnya kerana ia menjadi asas utama pembentukan negara ini.

Dalam kenyataan khas selepas mesyuarat ke-215 di Istana Maziah di sini semalam, Majlis Raja-Raja menegaskan, kaum bukan Melayu tidak perlu bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.



"Adalah diharapkan dengan penegasan itu, segala kekeliruan berhubung perkara ini di kalangan rakyat dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara," kata kenyataan itu.

Kenyataan khas Majlis Raja-Raja itu disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dan dikeluarkan oleh Bernama.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mesyuarat dua hari yang berakhir semalam, dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Engku Ibrahim menjelaskan, Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaum lain di negara ini.

"Tindakan pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara itu yang menjadi asas utama pembentukan negara dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan, telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

"Sebagai tindak balas, beberapa pihak terutama pemimpin Melayu, sama ada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan, telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan," katanya.

Beliau berkata, gejala itu jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum hingga menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

"Untuk itu, Raja-Raja Melayu wajar mengingatkan supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

"Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok," katanya.

Engku Ibrahim berkata, perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Semua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan

Wednesday, October 15, 2008

Tuanku Ja’afar diperintah bayar RM3.8 juta

15/10/2008 11:41am


PUTRAJAYA 15 Okt. – Mahkamah Khas memerintahkan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman membayar hampir RM3.8 juta (AS$$1 juta) kepada Standard Chartered Bank Malaysia Berhad kerana gagal mematuhi akujanji yang terkandung dalam terma-terma pengeluaran kredit berdokumen, hampir 10 tahun lalu.

Panel lima hakim yang bersidang di Istana Kehakiman di Putrajaya di sini diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad memutuskan demikian setelah membenarkan tuntutan saman bank berkenaan.

Panel yang memutuskan keputusan bersejarah melibatkan isu raja-raja itu turut dianggotai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alaudin Mohd. Sheriff, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Dengan keputusan itu, mahkamah turut menolak permohonan Tuanku Ja'afar untuk mendapat perisytiharan bahawa bank berkenaan tidak berhak untuk menggunakan simpanan tetap baginda untuk melangsaikan kredit berdokumen itu.

Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan itu merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-10 ketika kejadian yang didakwa berlaku dalam tuntutan saman tersebut iaitu pada awal 1999.