Thursday, January 31, 2008

Anwar, Aliran hina suruhanjaya

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Suruhanjaya Siasatan Diraja menegur kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Aliran, R. Ramakrishnan yang menghina suruhanjaya itu.

Ahli Suruhanjaya, Datuk Mahadev Shankar berkata, beliau diberitahu tentang kenyataan Ramakrishnan yang disiar pada Isnin lalu dalam laman web pertubuhan tersebut.

Satu lagi artikel yang disebut oleh Mahadev ialah kenyataan Anwar kepada Malaysiakini yang disiarkan semalam yang mendakwa suruhanjaya itu dikawal tangan-tangan ghaib.

Artikel bertajuk Inkuiri Lingam: Aliran terkejut dan kecewa menyalahkan keputusan suruhanjaya yang tidak memanggil Anwar dan dua pemimpin PKR, R. Sivarasa dan Sim Tze Tsin sebagai saksi.

Dalam artikel bertajuk Tangan-tangan ghaib menguasai suruhanjaya tulisan Andrew Ong, Anwar mendakwa ada pihak yang tidak kelihatan telah mempengaruhi suruhanjaya dalam keputusannya untuk tidak memanggil Anwar sebagai saksi.

Mahadev berkata, artikel tersebut menghina suruhanjaya memandangkan keputusan pada Isnin lalu menyebut bahawa tiada keperluan untuk memanggil Anwar dan dua lagi sebagai saksi buat masa ini.

Katanya, daripada kenyataan bertulis yang diserahkan kepada suruhanjaya yang disifatkan sebagai tidak mencukupi untuk dijadikan asas untuk memanggil mereka memberi keterangan di hadapan suruhanjaya.

Sehubungan itu, beliau meminta peguam pemerhati bagi pihak Anwar dan Aliran supaya menasihati anak guam masing-masing dan membetulkan kenyataan mereka.

“Kami enggan membiarkan suruhanjaya ini menjadi platform untuk tujuan lain.

“Tangan yang ada di sini hanyalah tangan-tangan kami yang dianugerahkan Tuhan,” kata Mahadev.

Wednesday, January 30, 2008

Kabinet bergambar hari ini – tanda pilihan raya kian hampir

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Semua anggota Jemaah Menteri dijadual mengambil gambar beramai-ramai di Putrajaya esok seolah-olah memberi petunjuk bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Beberapa anggota Kabinet yang dihubungi mengesahkan bahawa satu sesi bergambar dijadualkan selepas mesyuarat Kabinet esok tetapi enggan memberikan sebarang butiran mengenainya.

‘‘Kami diberitahu untuk berpakaian kemas bagi menghadiri mesyuarat esok.

Lazimnya, ia adalah untuk bergambar beramai-ramai (apabila arahan sedemikian dikeluarkan),’’ kata seorang menteri yang tidak mahu dikenali semasa dihubungi.

Beliau berkata, menteri-menteri Kabinet kebiasaannya akan berkumpul bagi mengambil gambar beramai-ramai pada permulaan Kabinet baru, apabila ada rombakan Kabinet atau menjelang tempoh tamat penggal (Kabinet).

‘‘Kelihatannya, kita kini sedang menuju ke arah itu (tamat penggal),’’ katanya.

Seorang lagi menteri, ketika dihubungi, juga bersependapat dengan anggapan ramai bahawa pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tidak lama lagi tetapi mengingatkan bahawa ini tidak semestinya bermakna pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat.

‘‘Ia mungkin dalam tempoh seminggu lagi, dua minggu atau bolih jadi sebulan kemudian. Jika saya tidak silap, kali terakhir (pilihan raya) pada 2004, kami bergambar beramai-ramai adalah dua minggu sebelum pilihan raya,” katanya.

Seorang penganalisis politik meramalkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan sebaik sahaja tamat sambutan Tahun Baru Cina - seawal-awalnya pada 13 Februari, berdasarkan angka 13 yang menjadi nombor kesukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

‘‘Nombor (plat pendaftaran) keretanya adalah 13. Pilihan raya umum lepas, pada 2004, diadakan pada Rabu, 3-3 (3 Mac). Perhatikan apa sahaja nombor yang ada kaitan dengan nombor tiga,” katanya.

Kabinet dijadual bermesyuarat pada 5 Februari (Selasa) dan bukannya pada hari Rabu (6 Februari) sebagaimana lazimnya, kerana hari itu merupakan hari menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Pada pilihan umum 2004, Parlimen dibubarkan pada 4 Mac. Hari penamaan calon adalah pada 13 Mac, manakala hari pengundian 21 Mac.

‘‘Persoalannya sekarang adalah sama ada beliau akan membubarkannya sebelum mesyuarat OIC (Pertubuhan Persidangan Islam) atau selepas mesyuarat OIC,’’ katanya.

Abdullah dijadual menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan OIC di Senegal pada 8 hingga 12 Mac kerana Malaysia akan menyerahkan jawatan pengerusi OIC.

‘‘Jika pilihan raya diadakan semasa cuti sekolah (cuti penggal pertama sekolah pada 9 hingga 16 Mac), katakanlah pada 9 Mac, beliau tidak akan mempunyai masa untuk membentuk Kabinet sebelum menghadiri mesyuarat OIC,’’ katanya.

‘‘Yang sedemikian, jika beliau mahu mengadakan pilihan raya sebelum mesyuarat OIC, beliau perlu mengadakannya selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Jika tidak, beliau perlu menunggu sehingga beliau pulang selepas menghadiri mesyuarat OIC,” katanya.

– Bernama

Tuesday, January 29, 2008

Makna ‘raya’ pilihan raya




Oleh ANIS YUSAL YUSOFF



Calon yang bertanding dalam pilihan raya umum biasanya diangkat oleh parti politik yang diwakili sebelum menerima mandat para pengundi. – Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------



DI mana ‘rayanya’ dalam pilihan raya? Ini adalah satu soalan yang mungkin jarang difikirkan ramai. Kenapa proses pemilihan wakil rakyat, satu usaha yang dianggap serius untuk memilih wakil untuk bersuara bagi pihak rakyat dalam dewan-dewan yang membentuk undang-undang negeri dan negara dikaitkan dengan ‘raya’, iaitu satu perkataan yang selalunya dikaitkan dengan sambutan atau hari keramaian untuk meraikan sesuatu kejayaan.

Apa kesamaan pilihan raya dengan Hari Raya? Pasti pihak yang memilih perkataan ‘pilihan raya’ sebagai terjemahan bahasa Melayu untuk perkataan election dalam bahasa Inggeris mempunyai justifikasi tersendiri. Kalau tidak, mungkin kita perlu ubah perkataan bahasa Inggeris untuk menjadi election-celebration.

Pada hemat penulis, ‘pilihan raya’ dipilih mungkin juga kerana suasana ketika kempen dan hari pemilihan itu berlangsung dalam suasana yang riuhrendah dengan kibaran bendera dan poster-poster dan juga berkemungkinan kerana ‘angpau’ bertukar tangan yang memberi gambaran seolah-olah kita sedang berhari raya.

Apa pun alasannya, apa yang lebih penting yang berlaku pada hari tersebut adalah proses pemilihan, di mana rakyat berkuasa untuk memilih wakil mereka.

Soalan selanjutnya yang perlu kita tanya, adakah rakyat benar-benar berkuasa untuk memilih wakil mereka? Atau mereka hanya memilih calon yang telah ditentukan oleh pucuk pimpinan parti politik? Pada kebiasaannya dalam 11 pilihan raya yang lalu mengikut sistem demokrasi di Malaysia, rakyat yang layak mengundi diberi hak untuk memilih calon parti yang ditentukan oleh pucuk pimpinan.

Soalnya pula, bagaimana calon-calon ini dipilih? Bagi seorang wakil rakyat yang sedang berkhidmat, pucuk pimpinan sesebuah parti boleh memilih semula individu ini berdasarkan prestasi mereka dalam mewakili rakyat. Kerja-kerja yang mereka lakukan dalam memaju dan membangunkan kawasannya boleh dijadikan indikator untuk beliau dipilih semula.

Bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain yang juga penting untuk diambil kira, seperti penerimaan rakyat terhadap wakil yang telah memberi khidmat bakti kepada rakyat yang telah beliau wakili.

Sebagai contoh, mungkin terdapat individu-individu di sesebuah kawasan yang telah sedia diterima oleh rakyat setempat dan dikenali akan ketokohan dan budi pekerti yang tinggi, namun mereka tidak dipilih sebagai calon kerana ada percaturan politik lain yang lebih penting kepada parti.

Semua ini merumitkan lagi proses pemilihan. Mungkin di atas kejayaan menangani segala kerumitan ini menjadikan sebab untuk kita rayakan hari di mana pilihan rakyat menjadi penentu kepada segala macam kempen dan strategi politik untuk memancing undi.

Ada banyak lagi persoalan yang tidak terjawab dalam benak pemikiran penulis sebenarnya. Namun sebagai usaha untuk membawa isu ini ke tengah dan dijadikan bahan untuk dibincangkan. Kita perlu memberi fokus kepada kriteria untuk memilih calon.

Bagi calon yang sedang berkhidmat, pucuk pimpinan parti mungkin sudah menyediakan kad laporan mengenai wakil rakyat tersebut dan bagi mereka yang banyak mendapat markah berdakwat merah, mereka ini berkemungkinan akan digugurkan.

Di sini, mungkin parti-parti politik perlu mengambil kira pandangan rakyat, agar markah dalam kad laporan wakil rakyat tersebut sebenarnya dinilai dan diberi oleh rakyat dari kawasan mereka sendiri. Dengan cara ini sekurang-kurangnya rakyat merasakan bahawa mereka juga turut terlibat dan suara mereka juga diambil kira dalam menentukan orang yang mewakili mereka sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau di Parlimen.


Menghormati

Apa yang lebih penting ialah wakil-wakil ini juga harus menghormati rakyat yang diwakilinya, iaitu kumpulan yang sebenarnya memilih mereka dan bukan hanya perlu akur kepada kehendak pucuk pimpinan yang meletakkan mereka sebagai calon parti di satu-satu kawasan.

Pada hari ini, rata-rata wakil rakyat mungkin merasakan bahawa mereka bertuah kerana dipilih oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon parti dan berkemungkinan besar lupa akan tanggungjawab sebenar mereka pada kawasan dan harapan rakyat yang diletakkan di atas bahu mereka.

Sebab itu kalau ada antara rakyat yang rajin menyemak soalan-soalan wakil rakyat mereka di Parlimen, kita akan dapati amat jarang sekali soalan yang dikemukakan bertanyakan mengenai masalah rakyat atau mengenai pembangunan kawasan-kawasan yang mereka wakili. Ada sesetengah wakil rakyat langsung membisukan diri atau ada pula yang hanya bercakap untuk memenuhi kuota yang mereka telah melakukan kerja mereka.

Oleh kerana itu ada rakyat yang menjadi ‘jelik’ bila membaca laporan sidang Parlimen di akhbar-akhbar, bila dilaporkan bahawa wakil-wakil rakyat mereka lebih serius berbincang tentang kain ketat pakaian pramugari daripada masalah kemiskinan rakyat di kawasan mereka.

Rakyat juga menjadi keliru bila membaca tentang wakil yang berhormat mereka yang diletakkan di tempat terhormat di mana undang-undang digubal tetapi mendapati orang yang sama melanggari undang-undang yang mereka terlibat sama gubal. Tidak terlepas juga wakil-wakil yang ditangkap melakukan kerja-kerja yang tidak bermoral.

Soalnya, masihkah ada tempat untuk orang yang semacam ini diberi mandat oleh pucuk pimpinan parti untuk dipilih semula oleh rakyat?

Perkara-perkara inilah yang perlu dibincangkan dan diambil kira oleh parti-parti politik, tidak kira di sebelah mana mereka berada supaya rakyat tidak merasa tertipu. Rakyat negara ini pada masa ini rata-rata berpendidikan dan masanya telah tiba untuk parti-parti politik mengambil serius pandangan dan kehendak rakyat terbanyak.

Parti-parti politik harus sedar bahawa bukan semua rakyat adalah ahli parti politik. Ramai daripada rakyat yang memilih untuk tidak berparti atau ‘non-partisan’, maka kerana itu parti-parti politik harus lebih berhati-hati dalam meletakkan calon masing-masing.

Bagaimana pula halnya pemilihan kepada calon-calon baru yang akan pertama kali bertanding dan kalau dipilih akan mendapat pengalaman pertama menjadi yang berhormat. Apakah kriteria yang parti masing-masing gunakan dalam memilih calon baru kerana mereka ini tidak ada kad laporan seperti wakil rakyat yang sedang berkhidmat?

Salahkah untuk mereka ini melobi untuk dipilih sebagai calon, sedangkan untuk dikurniakan pingat dan bintang kebesaran pun penerimanya sendiri diminta untuk mengisi borang. Bagaimana pula dengan faktor usia? Berapa umur pencen wakil rakyat yang sedang berkhidmat?

Kalau yang sudah berkhidmat berpenggal-penggal masih terus mahu menjadi wakil walaupun sudah tidak mampu menggalas tanggungjawab, bila pula giliran orang muda yang bertenaga dan berpendidikan tinggi untuk diberi peluang?

Soalan demi soalan yang patut ditanya oleh rakyat biasa juga harus menjadi panduan parti dalam membuat pemilihan. Ada ketikanya apabila sesebuah parti itu gagal mencari wakil daripada kalangan ahli parti untuk dijadikan calon, maka ditawarkan kepada orang di luar parti yang mempunyai pengaruh dan kedudukan. Kita telah melihat beberapa bekas ahli akademik dan penjawat awam yang dipilih sebagai calon dan ramai yang kini bergelar yang berhormat.

Dalam konteks pemilihan calon pada hari ini, parti harus memberi penumpuan untuk menawarkan calon kepada rakyat, seorang manusia yang bakal menjadi orang ‘Yang Berkhidmat’ daripada mereka yang merasakan diri sebagai yang berhormat. Calon terbaik pilihan parti untuk ditawarkan kepada rakyat sebagai calon parti masing-masing haruslah dari awal dipilih daripada kalangan orang yang amanah, bijak dan beriman, cekap, dedikasi, etika tinggi, fikiran terbuka, gemilang peribadi, hati yang mulia dan yang paling penting adalah pada orang yang mempunyai integriti.

Keikhlasan parti-parti politik untuk memberi wakil terbaik di kalangan rakyat harus dilakukan dengan telus. Terutama sekali dalam memperkenalkan latar belakang calon masing-masing. Dalam zaman yang serba moden ini, tidak salah untuk rakyat mengharapkan orang yang bakal mereka pilih adalah orang yang lebih baik dan lebih bijak daripada mereka dalam setiap aspek, dari pendidikannya, kelakuannya sehinggalah kepada kebolehan yang ada pada calon yang boleh membantu pembangunan tempatan.

Mungkinkah pilihan raya yang ke-12 ini akan menjadi permulaan di mana rakyat dapat membaca laporan Badan Pencegah Rasuah serta polis mengenai latar belakang setiap calon yang bakal bertanding? Rakyat ingin tahu bahawa calon-calon yang bakal mereka pilih ini bebas daripada memberi dan menerima rasuah, juga bebas daripada segala salah laku yang menyebabkan mereka mempunyai rekod polis.

Sekiranya ini tercapai, mungkin benarlah dengan perkataan raya dalam pilihan raya itu. Sekurang-kurangnya rakyat dapat merayakan saat itu, atau setidak-tidaknya meraikan hasrat dan harapan untuk melihat integriti dalam pilihan raya terus terpelihara.

* ANIS YUSAL YUSOFF ialah Pengarah Sektor Politik, Institut Integriti Malaysia.

Thursday, January 24, 2008

Stok penimbal ditubuh -- Langkah baru kawal kekurangan bekalan, harga barang keperluan

Oleh HAMDEN RAMLI dan HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 23 Jan. – Kerajaan hari ini mengumumkan pewujudan Stok Penimbal Kebangsaan iaitu inisiatif baru untuk memperkukuh strategi bagi memastikan harga barangan keperluan terus stabil dan bekalannya sentiasa mencukupi di pasaran.

Dua lagi inisiatif yang diperkenalkan ialah penubuhan Pusat Panggilan Kebangsaan yang beroperasi selama 24 jam dan kumpulan pakar yang akan memberi nasihat berhubung segala isu berkaitan harga dan bekalan kepada pengguna.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketiga-tiga inisiatif itu akan diwujudkan di bawah Majlis Harga Negara (MHN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jelas beliau, Stok Penimbal Kebangsaan akan berfungsi menyimpan barangan komoditi tertentu yang boleh diagihkan untuk kegunaan rakyat sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan di pasaran.

‘‘Kerajaan sedar dalam konteks pasaran dunia masa kini dengan tekanan pada harga komoditi maka satu tindakan yang bersifat komprehensif dan berorientasikan tindakan perlu dilakukan dengan segera.

‘‘Usaha terhadap isu tersebut amat penting dan kerajaan sangat prihatin tentang tindakan yang perlu diambil bagi mengawal kepentingan rakyat,” katanya pada sidang akhbar mengenai penubuhan MHN di kediaman rasminya di Sri Satria di sini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal.

Penubuhan MHN telah dipersetujui pada mesyuarat Kabinet 9 Januari lalu dan ia merupakan satu jawatankuasa tertinggi dengan segala keputusannya perlu dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan dan diterima pakai oleh sektor swasta berasaskan peruntukan undang-undang.

Najib berkata, senarai barangan keperluan yang akan dijadikan stok simpanan itu akan ditentukan pada mesyuarat pertama MHN yang dijadual diadakan sebaik sahaja Perdana Menteri kembali daripada menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Mengenai Pusat Panggilan Kebangsaan, beliau berkata, ia akan menerima segala aduan pengguna mengenai sebarang masalah mengenai harga dan bekalan barangan keperluan di pasaran.

“Pusat panggilan itu akan dianggotai oleh para pegawai yang mencukupi supaya pengguna boleh membuat aduan pada bila-bila masa dan seterusnya mengambil tindakan melalui unit penguatkuasaan KPDNHEP atau kementerian berkaitan.

“Melalui aduan itu kita dapat membuat rumusan mengenai harga barangan, bekalan atau lain-lain untuk dijadikan input kepada perbincangan dalam MHN,” katanya.

Di samping itu, katanya, kumpulan pakar yang diwakili antaranya oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan dewan perniagaan pula akan memberi input- input penting kepada MHN.

Kumpulan itu akan diketuai oleh Penasihat Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Dr. Kamal Salleh.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan MHN bagaimanapun tidak semestinya memberi jaminan harga barang akan dikurangkan kerana tujuan utama majlis adalah bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga terus stabil.

“Objektif utama majlis ini adalah untuk meminimumkan kesan kenaikan harga barang terhadap kos sara hidup dan penurunan kuasa beli rakyat,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif terbaru kerajaan itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan selama ini dalam mengawal harga barang dan memastikan bekalan mencukupi yang telah menunjukkan kesan positif.

“Jika tidak, inflasi di negara kita tidak mungkin berada di paras yang rendah seperti pada November tahun lalu, ia hanya berada pada kadar dua peratus.

“Dari sudut antarabangsa, kadar inflasi di Malaysia adalah yang terendah di dunia, ini merupakan cerminan kepada usaha positif yang dilakukan oleh kerajaan selama ini,” katanya.

Justeru beliau menolak kaitan penubuhan MHN dengan pilihan raya yang semakin hampir.

Ditanya adakah kerajaan akan menambah senarai barangan kawalan, beliau menjelaskan, ia terpulang kepada MHN untuk menentukan tetapi yang penting ialah harga barangan stabil meskipun ia bukan barang kawalan.

Sementara itu, Najib menegaskan, penguatkuasaan perlu diperketatkan bagi memastikan barangan keperluan utama di negara ini tidak diseludup ke luar negara.

Bagaimanapun jelas beliau, warga asing termasuk dari Singapura tidak dihalang untuk membeli-belah di Malaysia.

“Kita alu-alukan mereka membeli-belah di negara ini dan kalau hendak membeli barangan keperluan, ia hanya untuk kegunaan dalam negara dan tidak boleh dibawa keluar,” katanya.

Thursday, January 17, 2008

'Hanya saya, PM tahu'



Oleh Anwar Hussin dan Munira Yusoff


BERI KETERANGAN: Samsudin hadir memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Diraja rakaman klip video Lingam, semalam.



Bekas KSN keliru bagaimana Lingam dapat rahsia sulit kerajaan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, tidak tahu bagaimana Datuk VK Lingam mengetahui keputusan sulit kerajaan berhubung pelantikan hakim kerana beliau sendiri tidak mengenali peguam itu.

"Secara jujurnya saya benar-benar tidak tahu. Setahu saya, perkara itu memang sulit kerana ia (komunikasi mengenai pelantikan hakim) hanya diketahui saya dan Perdana Menteri.



"Saya menegaskan bahawa kami (kerajaan) mempunyai tahap keselamatan tinggi untuk memastikan maklumat sulit sentiasa dilindungi. Banyak perkara penting perlu dirahsiakan.

"Dalam hal (Lingam tahu mengenai pelantikan hakim) ini, saya juga keliru," katanya ketika ditanya anggota Suruhanjaya Diraja, Datuk Mahadev Shankar, bagaimana nama dua peguam yang dicadangkan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah kepada Perdana Menteri untuk dilantik sebagai hakim, tetapi tidak diterima Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, boleh sampai ke pengetahuan Lingam.

Mahadev berkata, berdasarkan keterangan Samsudin, adalah jelas maklumat mengenai keputusan Dr Mahathir menggugurkan nama dua peguam yang dicalonkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi itu, tidak pernah diumumkan.


Sebaliknya, isu itu hanya dibincangkan melalui surat dengan Dzaiddin dan surat berkenaan disimpan di Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mahadev juga menyoal bagaimana perkara itu, yang sepatutnya hanya diketahui pihak tertentu, boleh dibincangkan secara terbuka dalam perbualan telefon oleh Lingam seperti yang dirakamkan di rumahnya pada 20 Disember 2001.

"Perbualan Lingam menunjukkan peguam itu mengetahui maklumat sulit (kerajaan) dan boleh menimbulkan andaian bahawa beliau mempunyai akses kepada banyak maklumat sulit lain," tanya Mahadev.

Samsudin menjawab: "Saya juga tidak faham. Malah orangnya (Lingam) pun saya tidak kenal."


Bekas Ketua Setiausaha Negara itu juga mengesahkan 30 surat dan dokumen berhubung pelantikan Ahmad Fairuz yang dikemukakan sebagai eksibit semasa memberi keterangan adalah dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Selain itu, katanya surat yang ditandakan eksibit c41 itu juga tidak diberikan kepada menteri atau timbalan menteri.

Pandangan Mahadev itu dibuat berdasarkan keterangan Samsudin, Dr Mahathir hanya menerima tiga daripada lima nama yang dicadangkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Mohamed Dzaiddin, iaitu bekas Peguam Cara Negara, Datuk Heliliah Yusoff dan dua Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ramly Ali serta Datuk Ahmad Maarof.

Nama dua lagi peguam, Zainudin Ismail dan Dr Andrew Chew Peng Hui, yang turut dicadangkan, digugurkan daripada senarai manakala dua lagi pesuruhjaya kehakiman, Datuk VT Singam dan Datuk Sulaiman Daud, dilantik berdasarkan senarai yang dikemukakan Samsudin kepada Dr Mahathir.

(Nama Zainudin dan Dr Chew timbul dalam perbualan Lingam dengan seorang hakim kanan yang dikatakan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (ketika itu Hakim Besar Malaya)

"Ketika menerima lima pencalonan itu pada 2 Oktober 2001, saya meminta pandangan Peguam Negara, yang menyokong pelantikan mereka.

"Selain lima nama itu, saya juga mencadangkan beberapa nama yang sedang berkhidmat dan pada pendapat saya dapat dipertimbangkan untuk dilantik Hakim Mahkamah Tinggi. Semua pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari 2002," katanya.

Samsudin juga memberitahu Suruhanjaya Siasatan beliau tidak pernah menghubungi Mohamed Dzaiddin bagi membincangkan pelantikan hakim.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan Dzaiddin sebagai Ketua Hakim Negara daripada Disember 2000 hingga Mac 2003, saya tidak pernah berkomunikasi dengan Dzaiddin bagi membincangkan soal pelantikan hakim," katanya menjelaskan soalan peguam pemerhati Majlis Peguam, Ranjit Singh, yang merujuk kepada transkrip perbualan Lingam.

Ditanya Ranjit sama ada beliau tahu Dr Mahathir pernah menghubungi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi membincangkan pelantikan hakim, Samsudin berkata: 'tidak tahu'.

Mengikut transkrip yang diterjemahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) daripada klip video perbualan telefon Lingam, peguam itu memberitahu dia akan menemui Tengku Adnan untuk mengesyorkan Ahmad Fairuz yang ketika itu Hakim Besar Malaya dilantik Presiden Mahkamah Rayuan.

Lingam juga berkata, dia akan meminta ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan mengingatkan Dr Mahathir supaya menganugerahkan gelaran Tan Sri kepada Ahmad Fairuz.

Saya baru kenal Lingam - Dr. M


Tun Mahathir Muhamad keluar daripada Komplek Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri diri sebagai saksi kes Klip Video.
--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 17 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau hanya mengenali Datuk V. K. Lingam selepas melantik peguam itu mewakilinya dalam satu kes saman yang difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau pernah mendengar tentang Lingam ketika peguam itu mengendalikan satu kes lain dan pernah juga membaca laporan akhbar berhubung beberapa kes yang dikendalikan oleh Lingam.

``Saya hanya mengenalinya baru-baru ini apabila saya melantiknya sebagai peguam saya untuk mewakili saya bila Anwar saman saya,'' katanya.

Dr. Mahathir sebagai saksi kelapan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja berkata, beliau membuat kesimpulan sendiri dalam memutuskan pelantikan dan kenaikan pangkat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Katanya, beliau tidak memberitahu orang lain mengenai alasan beliau memilih Ahmad Fairuz walaupun dalam proses membuat keputusan, beliau mendengar pandangan ramai orang termasuk pegawai kanan kerajaan.

``Ia adalah hak prerogatif saya untuk membuat keputusan. Saya tidak perlu beritahu sesiapa pun,'' katanya.

Dr. Mahathir menjawab soalan yang dikemukakan wakil Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong tentang alasan bekas Perdana Menteri menolak pencalonan Allahyarham Tan Sri Abdul Malek Ahmad untuk mengisi kekosongan jawatan Hakim Besar Malaya pada 2001 dan 2002. - Utusan.

Dr. Mahathir saksi pertama prosiding hari ini

17/01/2008 10:39am


KUALA LUMPUR 17 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi saksi pertama pada prosiding hari keempat Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video perbualan telefon peguam Datuk V.K Lingam.

Kehadiran Dr. Mahathir itu turut menjadi tumpuan orang ramai dengan jumlahnya melebihi dari hari biasa dan mereka mula memenuhi Foyer aras 3, bilik Mahkamah Tinggi Kompleks Jalan Duta seawal 6.45 pagi.

Bekas Perdana Menteri itu tiba di kompleks itu pada pukul 9.40 pagi ditemani anaknya, Datin Paduka Marina.

Selain Dr. Mahathir, turut disenaraikan sebagai saksi hari ini ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin dan Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tuesday, January 15, 2008

Rakam di rumah Lingam -- Suruhanjaya Diraja diberitahu perbualan atur pelantikan hakim

Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Dua pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengesahkan bilik yang menjadi lokasi rakaman klip video perbualan seorang peguam mengenai pelantikan hakim-hakim adalah ruang tamu di rumah peguam Datuk V. K. Lingam.

Pengesahan itu dinyatakan oleh Penolong Penguasa Kanan BPR, Shahadan Mohd. Yatim dan pegawai penyiasat BPR, Penguasa Kanan Chuah Lay Choo pada prosiding di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bermula di sini hari ini.

Shahadan, 53, ialah saksi pertama prosiding Suruhanjaya Diraja menyiasat klip video perbualan telefon seorang peguam terkenal bagi mengatur pelantikan hakim-hakim yang dikatakan dirakamkan pada tahun 2002.

Pada prosiding hari ini, klip video yang memaparkan perbualan itu dipertontonkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Diraja, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan empat ahli suruhanjaya itu.

Ia turut disaksikan oleh pihak media serta orang awam yang mengikuti prosiding berkenaan.

Apabila tiba pada bahagian lelaki dalam rakaman klip video itu menyebut ‘‘correct, correct, correct’’ kedengaran suara sinis dan ketawa kecil dari galeri awam.

Klip video selama 14 minit itu yang dirakamkan menggunakan kamera telefon bimbit dipertontonkan melalui empat skrin televisyen berdefinisi tinggi (HDTV) yang diletakkan di empat penjuru bilik Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini.

Ketika peguam R. Thayalan yang mewakili Lingam membangkitkan isu penghinaan mahkamah terhadap ahli perniagaan Loh Mui Fah yang mengakui dalam satu wawancara akhbar bahawa anaknya merakamkan video perbualan telefon itu, ahli Suruhanjaya Diraja, Datuk Mahadev Shanker dengan sinis menyatakan laporan akhbar itu adalah tulisan pemberita yang melaporkan pendedahan Mui Fah.

Saksi pertama, Shahadan yang bertugas di Cawangan Bantuan Teknikal Ibu Pejabat BPR di Putrajaya memberitahu, pada 25 Disember lalu beliau diarahkan oleh Lay Choo supaya mengambil gambar- gambar di rumah Lingam di No. 1, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Katanya, beliau merakamkan 17 keping gambar pegun menggunakan kamera digital di ruang tamu dan bilik tetamu rumah Lingam pada pagi Krismas lalu.

“Pada hari tersebut, saya ditunjukkan klip video yang saya fahami bahawa Datuk Lingam sedang berbual-bual melalui telefon. Saya menjadikan klip video itu sebagai asas dan panduan ketika mengambil gambar di rumahnya.

“Datuk Lingam sendiri yang membenarkan saya memasuki rumahnya. Dia menunjukkan ruang tamu serta bilik tetamu sebelum beredar meninggalkan saya mengambil gambar-gambar di situ,” katanya.

Ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Pegawai Pengendali kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja, Datuk Nordin Hassan, Shahadan menceritakan apa yang dilakukannya di rumah Lingam.

Gambar-gambar yang diambil menggunakan kamera digital itu dirakamkannya di rumah Lingam berdasarkan imej-imej dalam klip video tersebut.

Katanya, gambar-gambar pegun itu diambil mengikut posisi objek-objek yang terdapat dalam klip video berkenaan.

Antaranya beliau merakamkan gambar mangkuk porselin, pintu bilik tetamu, dinding, siling yang mempunyai dua saluran alat hawa dingin, lampu candelier, langsir, sofa, lampu meja serta gambar Lingam dan isteri bersama Sai Baba, tokoh spiritual dari India, yang digantung pada dinding bilik itu.

Menjawab soalan peguam pemerhati dari Badan Peguam Malaysia, Ranjit Singh, Shahadan menjelaskan, daripada imej klip video yang dirujuknya semasa mengambil gambar itu, beliau mendapati bilik itu adalah sama dengan bilik tetamu di rumah Lingam.

Dalam pada itu, Lay Choo, 52, yang dipanggil sebagai saksi kedua siasatan itu berkata, beliau merupakan pegawai penyiasat bagi kes klip video yang memaparkan perbualan seorang lelaki yang didakwa sebagai Lingam.

Katanya, beliau menerima rakaman klip video itu dalam bentuk cakera padat daripada Penguasa BPR Wan Zulkifli Wan Jusoh pada pukul 9.30 pagi 19 Disember tahun lalu.

Beliau yang mengesahkan memberi arahan kepada Shahadan supaya mengambil gambar di rumah Lingam memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa beliau membuat perbandingan antara gambar pegun yang diambil oleh Shahadan dengan imej-imej yang tertera dalam klip video itu.

“Sebagai pegawai penyiasat, saya membuat kesimpulan bahawa terdapat persamaan antara gambar-gambar yang diambil dengan imej-imej dalam klip video itu. Ia dirakamkan di tempat yang sama (di lokasi) Shahadan mengambil gambar-gambar itu,” ujarnya.

Lay Choo berkata, beliau bertanggungjawab memberi alamat rumah Lingam kepada Shahadan malah beliau sendiri pernah pergi ke rumah itu.

Katanya, beliau juga menyediakan transkrip perbualan lelaki dalam klip video itu.

Menurut Lay Choo, beliau turut mengarahkan Wan Zulkifli menghantar klip video itu untuk dianalisis oleh pakar Cybersecurity Malaysia pada 26 Disember 2007 dan menerima semula rakaman itu pada Sabtu lalu.

Lay Choo akan menyambung keterangannya esok dan beliau dijangka mendedahkan identiti dua lelaki yang berbual-bual mengenai pelantikan hakim-hakim seperti yang dipaparkan dalam klip video itu.

Friday, January 11, 2008

Protes di seluruh dunia desak kem tahanan Teluk Guantanamo ditutup

SYDNEY 11 Jan. – Beribu-ribu penunjuk perasaan yang mengenakan jumpsuit jingga dan bertopeng, hari ini mengadakan protes di sini bagi mendesak penutupan kem tahanan Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba.

Menurut pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International, tunjuk perasaan itu merupakan satu daripada siri protes yang dirancang di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam dengan kemuncaknya diadakan di Washington DC.

Pengarah Amnesty Australia, Claire Mallinson berkata, protes tersebut dilancarkan sempena ulang tahun keenam pusat tahanan yang menempatkan suspek Al-Qaeda dan Taliban itu.

Kata Mallinson, pihaknya akan terus melakukan apa sahaja untuk mendesak AS menutup pusat tahanan tersebut.

“Hari ini genap enam tahun para tahanan tersebut terseksa dengan dipakaikan jumpsuit dan kepala mereka ditutup, kaki dirantai besi dan dikurung tanpa bicara di pusat itu.

“Sehingga kini seramai 275 tahanan masih lagi berada di pusat tahanan itu tanpa diketahui apakah nasib mereka nanti,” katanya.

Protes hari ini turut menyaksikan 275 penunjuk perasaan membentuk angka 275 sebagai simbol kepada kesemua tahanan yang berada di Guantanamo ketika ini.

Sementara itu, jurucakap Amnesty International, Katie Wood berkata, pusat tahanan itu hanya sebahagian kecil fenomena dahsyat daripada sebahagian besar pusat tahanan rahsia lain yang dilaksanakan oleh AS.

“Kami menentang seluruh amalan dan polisi tahanan AS walaupun Washington menegaskan ia dilakukan dalam konteks memerangi keganasan.

“Kami mahu semua tahanan mendapat hak yang sewajarnya dan diadili dengan sebaik mungkin,’’ kata Wood.

– AFP

Klip video: Dr. M, Mohamed Dzaiddin terima sapina

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah adalah antara 15 saksi yang disapina untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja yang menyiasat klip video memaparkan perbualan telefon seorang peguam berhubung pelantikan hakim-hakim.

Sapina terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas Ketua Hakim Negara itu dikeluarkan Rabu lalu supaya hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya berkenaan yang akan memulakan siasatan pada Isnin depan sehingga 25 Januari.

Pegawai khas bekas Perdana Menteri, Sufi Yusoff berkata, Dr. Mahathir dikehendaki hadir membantu prosiding siasatan pada Rabu ini.

Menurut Sufi, sapina itu diterima oleh pegawai khas di pejabat bekas Perdana Menteri itu, Datuk Nordin Bachik bagi pihak Dr. Mahathir pada Rabu lalu.

‘‘Dr. Mahathir me- ngesahkan beliau akan hadir sebagai saksi pada hari tersebut,’’ ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamed Dzaiddin ketika dihubungi mengesahkan kehadiran beliau sebagai saksi minggu depan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa pula memberitahu, selain beliau, penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyelaras PKR, Sim Tze Tzin juga akan memberi keterangan pada Selasa depan.

Difahamkan, saksi-saksi lain terdiri daripada pakar forensik digital dari syarikat Cyber Security Malaysia.

Sebelum ini, sebanyak 20 saksi telah diambil keterangan berhubung kes itu oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) termasuk seorang lagi bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Keterangan turut diambil daripada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan dan seorang bekas Ketua Setiausaha Negara.

Suruhanjaya Diraja itu yang ditubuhkan pada 12 Disember lalu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.

Suruhanjaya itu antara lain ditugaskan menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video, mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip video tersebut dan kepada siapa dia sedang bercakap serta orang yang disebut dalam perbualan itu.

Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, prosiding siasatan Suruhanjaya Diraja itu bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang di Mahkamah Tinggi, Aras 3, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdullah Sani Abdul Halim selaku Setiausaha Suruhanjaya Diraja memberitahu, sapina dikeluarkan kepada kesemua 15 saksi mulai minggu ini.Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya akan menghantar lima wakil sebagai peguam pemerhati dalam prosiding tersebut.

Menurut beliau, mereka ialah bekas Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh, Robert Lazar, Ranjit Singh, Christopher Leong dan Razlan Hadri.

Wednesday, January 9, 2008

Denda RM100,000 jika sorok minyak masak

Oleh Mohamed Farid Noh

SUBANG JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memastikan peniaga yang dikesan menyorok atau menyeludup minyak masak serta tepung sepanjang Ops Suri, dikenakan denda maksimum RM100,000.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pembangunan) kementerian itu, Iskandar Halim Sulaiman, berkata sejak operasi dilancarkan Isnin lalu, 10 peniaga dikesan melakukan kesalahan itu membabitkan rampasan 10,316 kilogram minyak masak bernilai RM26,400.

"Peniaga terbabit akan didakwa di mahkamah dan kita akan pastikan mereka dikenakan denda maksimum," katanya selepas melakukan pemeriksaan minyak di pasar raya Mydin dekat sini, semalam.



Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, peniaga terbabit boleh didenda maksimum RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Iskandar Halim berkata, operasi itu akan diperluas ke seluruh negara sehingga bekalan minyak masak dan tepung pulih.

Beliau mengingatkan peniaga catuan minyak masak dibatalkan selepas kerajaan meningkatkan kuota pengeluaran minyak masak subsidi.

"Tidak seharusnya ada catuan kerana bekalan minyak masak lebih daripada mencukupi. Kementerian mengagihkan 3,000 tan minyak masak di seluruh negara mulai semalam.

"Ia membabitkan 80 peratus kawasan terjejas di seluruh negara, kecuali Melaka dan sesetengah kawasan di Pahang yang lewat menerima bekalan minyak masak," katanya.

Isnin lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan mesyuarat khas bagi menangani isu kekurangan minyak masak, memutuskan untuk meningkatkan kuota pengeluaran bahan itu dengan ketara dan mengagihkannya secara lebih berkesan pada peringkat runcit.

Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat itu, turut mengarahkan tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mengelak peniaga menyorok dan menyeludup minyak masak subsidi.

Mengenai kekurangan bekalan tepung pelbagai guna, Iskandar berkata, pengilang bersetuju meningkatkan pengeluaran dalam tempoh terdekat.

"Kita jangkakan bekalan tepung pelbagai guna ini akan pulih dalam tempoh seminggu," katanya.

Larangan penuh -- Minyak masak tidak dibenar sama sekali dibawa keluar sempadan


Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM



PANGKALAN HARAM... Perairan berhampiran Pengkalan Kubor, Kelantan dan Tak Bai menjadi salah satu laluan keluar masuk bot-bot kecil yang dipercayai menyeludup barang kawalan seperti minyak masak, tepung dan beras dari Malaysia ke selatan Thailand atau sebaliknya. – GAMBAR HAFIZ JOHARI.

--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 9 Jan. – Berkuat kuasa serta-merta, rakyat tempatan dan asing dilarang sama sekali membawa minyak masak keluar dari negara ini walaupun hanya sekilogram.

Langkah untuk memerangi penyeludupan dan mengatasi krisis kekurangan bekalan bahan itu akan dikuatkuasakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Roslan Mahayudin berkata, larangan penuh tersebut meliputi semua orang yang keluar masuk sempadan di seluruh negara termasuk di sempadan Malaysia dengan Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Langkah drastik itu diambil kerana kita dapati jumlah stok kuota minyak masak di beberapa tempat di sempadan seperti Rantau Panjang, Padang Besar dan Tambak Johor meningkat.

“Malah, permintaan juga tinggi terhadap minyak masak dari Malaysia kerana harganya murah dan berkualiti selain mempunyai tanda halal,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Bagi mengekang kegiatan penyeludupan, kata Roslan, tiada sesiapa dibenarkan membawa keluar bekalan minyak masak ke luar negara kerana perbuatan itu hanya akan menguntungkan rakyat asing.

Beliau memberitahu, sesiapa yang didapati bersalah membawa keluar minyak masak, walaupun sekilogram, akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Roslan meminta rakyat negara ini tidak mengambil kesempatan di atas subsidi minyak masak yang diberikan oleh kerajaan dan dengan sewenang-wenangnya memberikan hak itu kepada rakyat negara lain.

“Minyak masak adalah barang kawalan yang diberi subsidi. Orang yang berhak mendapat keistimewaan ini hanyalah rakyat Malaysia,” ujarnya.

Di Malaysia, harga jualan sekilogram minyak masak disubsidi cuma RM2.50, tetapi ia boleh mencecah RM5.80 di Thailand.

Kelmarin, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan kuota pengeluaran minyak masak disubsidi dan mengagihkannya dengan lebih berkesan di peringkat runcit.

Keputusan itu dibuat berikutan masalah kekurangan bekalan minyak masak di pasaran yang semakin meruncing sejak beberapa minggu lalu berikutan pembelian panik oleh pengguna dan tindakan segelintir peniaga menyorokkan bekalan serta aktiviti penyeludupan.

Dalam pada itu, Roslan memberitahu, kerajaan juga telah memansuhkan subsidi ke atas peket minyak masak 17 kilogram, tetapi untuk peket lima kilogram subsidi masih dikekalkan.

Bagaimanapun, langkah itu, jelas beliau, menyebabkan pemborong dan peruncit membeli minyak dalam peket lima kilogram dengan jumlah yang banyak.

Sunday, January 6, 2008

Koperal polis terima suapan dipenjara

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Seorang anggota polis berpangkat koperal dihukum penjara tiga tahun dan denda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan suapan RM1,000, enam tahun lalu.

Hakim Nursinah Adzmi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM25,000 terhadap Abdul Rahman Baba, 45, bagi tuduhan meminta wang suapan.

Beliau memerintahkan tertuduh dihukum penjara tambahan 10 bulan jika gagal membayar denda.

Abdul Rahman juga dihukum penjara masing-masing tiga tahun dan denda RM10,000 bagi tuduhan kedua dan ketiga iaitu bersetuju dan menerima rasuah atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara dijalankan secara serentak.

Nursinah di dalam penghakiman ringkasnya berkata, walau tertuduh mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan serta tidak mempunyai sabitan lampau, namun kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Katanya, alasan RM1,000 sebagai ganti rugi berikutan kecederaan yang dialami tertuduh juga tidak dapat diterima kerana dalam masa yang sama dia gagal mengeluarkan saman kepada pengadu yang jelas melanggar undang-undang lalu lintas.

Beliau membenarkan permohonan peguam tertuduh, Dr. Radzuan Ibrahim untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Nursinah memerintahkan tertuduh membayar denda hari ini selain jumlah ikat jamin ditingkatkan dari RM3,000 kepada RM6,000.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa meminta suapan RM5,000 daripada pengadu, Mohd. Hafizi Mohd. Hakim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didakwa melakukan kesalahan lalu lintas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Balai Polis Tun H. S. Lee, di sini pada kira-kira pukul 6.30 petang, 11 Disember 2001.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima suapan RM1,000 bagi tujuan tersebut di tempat serta tarikh yang sama pada kira-kira pukul 7.30 malam.

Abdul Rahman turut didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Mohd Hafizi melalui rakan sekerjanya, Lans Koperal Husin Abdul Rahman pada kira-kira pukul 1.30 petang, 14 Disember 2001.

Dia didakwa di bawah Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama bagi setiap pertuduhan.

Mohon injunksi halang MAIWP tuntut mayat isteri

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Seorang pengurus pusat snuker hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi sementara untuk menghalang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menuntut mayat isterinya yang meninggal dunia Ahad lalu.

Ngiam Tee Kong, 52, turut memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), ejen atau kakitangannya daripada menyerahkan mayat Mong Sau Lan, 53, kepada MAIWP.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan oleh beliau melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau turut memfailkan writ saman dan surat perakuan segera bagi membolehkan permohonan tersebut didengar secepat mungkin.

Permohonan tersebut dijadual didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Lau Bee Lan, esok.

Dalam writ saman tersebut, Tee Kong selaku plaintif menamakan HUKM defendan pertama dan MAIWP defendan kedua.

Melalui pernyataan tuntutannya, Tee Kong mendakwa, Sau Lan meninggal dunia pada 30 Disember tahun lalu dan mayatnya kini masih berada di bilik mayat HUKM.

Beliau mendakwa, mereka berkahwin pada tahun 1979 di Pendaftaran Sivil, Petaling Jaya dan sebelum meninggal dunia, isterinya itu mengamalkan ajaran agama Kristian.

Dakwanya, beliau telah menuntut mayat isterinya dari HUKM tetapi dimaklumkan bahawa mayat tersebut hanya akan diserahkan kepadanya jika beliau mengesahkan bahawa isterinya merupakan seorang beragama Islam semasa meninggal dunia.

Beliau turut dimaklumkan bahawa penyerahan mayat itu kepadanya bertujuan mengadakan upacara sembahyang Kristian dan selepas itu mayat tersebut harus dikembalikan kepada MAIWP bagi tujuan pengebumian secara Islam.

Plaintif mendakwa, beliau enggan mematuhi permintaan tersebut dan menuntut mayat isterinya diserahkan kepadanya sebagai suami yang sah kepada Sau Lan tetapi defendan-defendan tidak bersetuju dengan permintaannya itu.

Katanya, pada 31 Disember tahun lalu, beliau telah diserahkan surat ‘Perakuan Masuk Islam’ isterinya di bawah kuasa Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang bertarikh 31 Disember 2007.

Mengikut surat itu, katanya, isterinya telah memeluk agama Islam pada pukul 10.45 pagi, 24 Disember tahun lalu di sebuah rumah di Flat Sri Melaka, Cheras dan didaftarkan di jabatan tersebut pada 31 Disember lalu.

Tee Kong mendakwa, perakuan masuk Islam tersebut tidak mengikut kuasa yang sah menurut undang-undang bagi mengesahkan isterinya telah memeluk agama Islam apatah lagi ia tidak menyatakan nama Islam wanita itu.

Beliau turut mendakwa pendaftaran pemelukan agama Islam yang dilakukan oleh isterinya selepas meninggal dunia adalah tidak mengikut peruntukan-peruntukan Seksyen 89(1) Akta Pengurusan Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.